Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Friday, November 11, 2011

Apa yang merdeka dalam seksualiti?

TIADA MERDEKA DALAM SEKSUALITI MERDEKA
Sensasi..sensasi..itulah suasana negara kita, kita dipersembahkan satu persatu isu-isu panas yang mendapat perhatian di dada-dada akhbar khususnya Utusan Malaysia . Di Malaysia amat mudah sesuatu isu menjadi panas, anda hanya perlu menekan salah satu dari tiga butang bertandakan R, jika anda mahukan panas ke tahap maksima tekan sahaja ketiga-tiga butang R sekaligus, pasti meletup! Tahukah anda apa tiga R itu? Race (perkauman), Religion (agama), dan Royal (raja). Sehingga kini kawalan butang itu berada dalam penguasaan golongan sempit, jadi anda boleh bayangkan kesannya.

Seksualiti Merdeka adalah sensasi terkini yang menimbulkan berbagai persoalan apabila dibuat penilaiannya dari sudut agama dan norma-norma budaya setempat. Mana-mana agama akan menolak untuk mewajarkan satu bentuk kebebasan seksualiti. Bagi mana-mana agama pun seksualiti tidak terbatas kepada hubungan hetroseksual atau sejenis, hubungan terlarang dalam mana-mana agama ialah apabila pasangan itu tidak diikat dengan ikatan suci yang termetrai dari rasa tanggungjawab kepada Tuhan dan pasangan masing-masing. Membataskan seksualiti kepada hanya satu bentuk atau kategori tertentu adalah satu penganiyaan kepada pendefinisian masalah seksualiti.

Sensasinya cerita di sebalik perhimpunan seksualiti baru-baru ini ialah apabila ianya dikaitkan dengan kemerdekaan. Sudah tentu maksud tersirat di sebalik pilihan perkataan kemerdekaan itu ialah isu tersebut menuntut semacam satu bentuk pengiktirafan dari masyarakat dan negara. Agak mengelirukan apabila isu seksualiti ini menuntut satu kebebasan kepada pengamalnya lalu menganggap ia sebagai satu hak yang perlu dihormati. Saya kurang jelas apakah seksualiti merdeka menuntut amalan hetroseksual dan hubungan sejenis diwajarkan melalui ikatan suci atau mereka mahukan satu bentuk undang-undang yang boleh mengizinkan perkahwinan sejenis berlaku?

Ataukah perhimpunan ini menuntut supaya perasaan mereka didengari dengan hati yang terbuka dan cuba memahami mereka sebagai anggota masyarakat yang normal dan mahu hidup dengan orang lain tanpa perlu berasa salah. Mereka tidak mahu dilihat sebagai golongan tersisih maka satu pertemuan diadakan bagi melontarkan kepada masyarakat tentng hasrat mereka yang terpendam. Isu ini diambil oleh Persatuan Peguam atas jalur hak dan sudah tentu memerlukan satu pencerahan undang-undang.

Saya menimbulkan persoalan-persoalan ini kerana mahu memahami dan memberikan keadilan kepada semacam satu bentuk bantaian terhadap perhimpunan ini oleh pemetik-pemetik butang R. Biarlah saya jelaskan disini bahawa hak untuk berhimpun adalah sesuatu yang termaktub dalam perlembagaan kita. Golongan ini tidak terkecuali, dan apa sahaja tuntutan mereka atau rumusan mereka, itu adalah hak mereka dan terpulanglah pula pada anggota masyarakat untuk menerima tuntutan mereka atau tidak.

Kepada mereka yang merasakan dunia ini adalah tentang membuat pilihan salah satu dari warna hitam atau putih, mereka silap kerana dunia hari ini mempunyai berbagai warna antara putih dan hitam, kita hanya perlu mengenal pasti dengan terperinci dan mendalam bukan sekadar di luaran semata-mata.

Telah saya tegaskan di awal penulisan ini lagi bahawa soal seksualiti samada hetro atau sejenis adalah dilarang oleh agama. Apa-apa isu kebebasan atau hak mesti dinilai dari sudut tersebut, entahlah kalau golongan ini mahu mengenepikan agama dan tidak meletakkan penilaian kepada sikap agama seperti sebahagian daripada perjuangan seksualiti di barat. Mereka sebenarnya bukan menuntut hak tetapi mereka menolak hidup keagamaan. Sebab itu kita harus jelas antara persoalan menuntut hak tertentu atau persoalan yang lebih mendasar dari itu.

Sebagai negara yang meletakkan Islam agama resmi persekutuan persoalan moral mesti meletakkan agama sebagai kayu pengukurnya jika tidak kita mempersendakan perlembagaan kita sendiri. Erti kebebasan yang diperuntukkan dalam perlembagaan pula tidaklah mutlak, malah perkataan mutlak itu sendiri bukanlah mutlak semutlaknya. Perkiraan yang wajar adalah sesuatu tindakbalas yang tabiee kepada apa pun persoalan hidup, apatah lagi dalam isu seksualiti.

Tetapi saya tidak pula bersetuju dengan sekelompok manusia yang tidak dapat membezakan antara perlakuan seksualiti dan pelaku seksualiti. Islam jelas dalam permasalahan ini apabila umat Islam dituntut untuk membezakan antara pelaku mungkar dan perlakuan mungkar. Perlakuan mungkar adalah ditentang manakala pelaku mungkar perlu mendapat perhatian supaya dijelaskan keadaan mereka yang boleh merosakkan diri mereka sendiri. Sementara kita menentang perlakuan seksualiti hetero dan sejenis, kita tidak boleh membiarkan golongan yang terlibat tanpa usaha menempatkan mereka dijalur fitrah dan penjelasan.

Kita juga perlu jelaskan bahawa isunya bukan kebebasan seksualiti tetapi hubungan yang bertentangan dengan fitrah dan hubungan yang tidak diikat dengan ikatan suci adalah bertentangan dengan naluri manusia yang dijadikan oleh Allah kerana di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah ia menciptakan kamu berpasangan (lelaki dan wanita) dan untuk pasangan ini disatukan islam mensyariatkan perkahwinan. Saya tidak ada masalah unttuk bertemu dengan golongan seksualiti ini untuk memperjelaskan mereka sikap Islam dan gama lain dalam hal ini, namun untuk saya memperjuangkan hak mereka untuk melanggar fitrah yang Allah jadikan pastinya saya akan menolaknya. Sehingga harapan saya menjadi kenyataan pemetik butang R akan terus dengan gembiranya memetik butang untuk kepentingan sempit mereka

Friday, October 28, 2011

Himpun Yang Tidak Berhimpun

Himpun Untuk Apa?

Ada berbagai makna yang hendak disampaikan dalam perkataan HIMPUN, dari segi tata bahasa 'himpun' bermakna mengumpul sesuatu atau orang di sesuatu tempat. Berhimpun adalah perbuatan di mana terkumpul semua orang atau sesuatu di sesuatu tempat. Sebab itulah kata 'perhimpunan' atau 'himpunan'ialah keadaan di mana semua orang dikumpulkan untuk menyatakan sokongan atas sesuatu. Menarik kerana nama sayap baru Pas ialah Dewan Himpunan Penyokong Pas atau singkatannya DHPP di mana bukan Islam dikumpulkan dan disatukan dalam sayap ini. Namun artikel ini tidak akan menyentuh tentang Pas dan usahanya menarik minat bukan Islam untuk menyertainya, artikel ini ialah tentang satu perhimpunan pada 22hb baru-baru ini yang dinamakan sebagai himpunan sejuta umat.

Selalunya bilangan kehadiran akan menjadi kayu pengukur untuk penganjur menyatakan berjaya atau tidaknya sesuatu perhimpunan. Tema sejuta umat sudah tentu menjadi hasrat penganjur untuk mencapai bilangan yang diinginkan, namun dari sudut quantiti Himpun tidak mencapai bilangan yang digembar-gemburkan, dikatakan hanya 5,000 orang sahaja yang hadir. Implikasi kehadiran dalam program seumpama ini amatlah besar untuk kita menilai tahap keupayaan mobilisasi penganjur yang sebelum tarikh perhimpunan telah mendapat liputan yang meluas oleh media arus perdana.

Himpun tidak dapat dielak dari menjadi mangsa perbandingan dengan perhimpunan Bersih, malah ada sesetengah berpendapat Himpun adalah untuk mengatasi Bersih yang bilangan kehadirannya jauh lebih besar walaupun tidak pernah mensasarkan sejuta peserta. Himpun juga dikatakan untuk mengalih isu daripada persoalan demokrasi tempang dan penipuan pilihanraya kepada persoalan aqidah yang perlu diselamatkan. Isu agama memang menarik kerana ia merentasi kepentingan politik namun perhimpunan sejuta umat itu telah membuktikan bahawa tema itu tidak mendapat perhatian umat Islam. Apakah yang telah berlaku? Betulkah gagal mencapai sasaran kehadiran Himpun diandaikan umat Islam tidak berminat kepada isu Aqidah dan secara perbandingan dengan Bersih lebih minat isu demokrasi berpilihanraya?

Saya tidak melihat andaian itu tepat, ini adalah kerana persepsi terhadap perhimpunan Himpun mempengaruhi kehadiran. Bagi umat Islam, mereka menanggap bahawa Himpun ditaja oleh mereka yang mesra Umno dan kerana itu berasa berat hati untuk hadir. Walaupun isu Aqidah sesuatu yang menarik minat tetapi umat Islam sudah menghidu bahawa Himpun adalah agenda pihak tertentu yang lebih minat untuk menonjolkan dirinya dan kumpulannya daripada memperjuangkan persoalan aqidah yang sebenarnya. Selain dari tokoh seperti Cikgu Azmi dari Teras, siapakah yang boleh diyakini daripada tokoh yang hadir akan mempertahankan aqidah umat Islam? NGO seperti Perkasa, GPMS dan pertubuhan belia tajaan Umno tidak pernah dilihat mempertahankan aqidah apabila dikaitkan dengan Umno. Saya tidak melihat NGO Islam yang lain mampu mobilisasi pengikutnya dalam jumlah bilangan yang ramai, kehadiran mereka hampir tenggelam dengan penonjolan pihak lain atau kehadiran mereka sengaja tidak ditonjolkan. Pada 19 Oktober saya menulis satu artikel tentang himpunan sejuta umat yang bakal diadakan. Saya mengandaikan ia sebagai satu agenda yang akan diambil kesempatan oleh pihak lain yang terdesak walaupun niat penganjur itu suci dan murni. Dalam FB saya, saya menerima komen bertalu-talu yang menganggap saya keterlaluan menuduh niat murni sekretariat, tetapi pada 22hb oktober andaian saya seakan-akan betul apabila kehadiran yang mengecewakan itu seolah-olah menjelaskan persoalan persepsi umat Islam terhadap perhimpunan tersebut.

Himpun di sebalik niat murni penganjurnya telah memberikan isyarat yang tidak baik. Pertama, kehadiran melambangkan lemahnya umat Islam dalam isu mempertahankan aqidah. Secara perspektifnya 'musuh Islam' akan ketawa apabila melihat keberangan umat Islam sebenarnya hanyalah ribut dalam cawan sahaja. Kedua, sikap double standard pihak polis yang memberikan kebenaran kepada Himpun dan tidak memberikannya kepada Bersih. Ini sudah cukup memberikan persepsi yang buruk kepada Himpun, walhal isu Himpun lebih mendatangkan sensitiviti kepada perpaduan nasional berbanding dengan Bersih yang secara spesifik menyinggung persoalan demokrasi berpilihanraya yang merentasi semua kaum dan agama. Ketiga, isu yang diketengahkan di negara ini ditentukan oleh Umno dan bukan oleh tuntutan massa. Selagi ia menguntungkan Umno maka Polis dll terpaksa tunduk, selagi ia memudaratkan Umno maka isu itu akan diangap berbahaya kepada keselamatan awam. Negara kita sudah dijajah oleh Umno, hanya penjilat sahaja yang akan diberi layanan baik manakala penentang walaupun merupakan aspirasi ramai akan dituduh sebagai pengkhianat negara yang akan mencetuskan huru-hara.

Ada seorang sahabat bertanya kepada saya mengapa Pas tidak menyertainya? Saya menjawab ringkas, soal pembelaan aqidah sememangnya sinonim dengan Pas. Pas sudahpun mengatakan kebimbangannya sejak 20 tahun yang lampau malah Presiden Pas telahpun membawa usul adanya rang undang undang murtad bagi memelihara aqidah umat Islam. Sahabat ini terus bertanya kalau begitu mengapa tidak bersama? Saya menyatakan, perjuangan kami sampai ke tahap yang lebih matang, kami telahpun mengadakan dialog dengan pihak gereja dll agama sebagai hasrat membentuk hubungan agama yang lebih damai, ini bukan bermakna Pas cair dalam sikapnya tetapi kami lebih suka melakukannya dengan cara bersemuka dan dialog. Kepimpinan Pas lebih bijak membaca suasana politik daripada mereka yang berjangka pendek dan tidak arif selok belok politik. Saya bertanya balik kepada sahabat saya, bolehkah dibayangkan kalau Mursyidul Am Pas mengarahkan semua ahli Pas turun dalam program Himpun? Mungkin stadium Shah Alam tidak akan dapat menampung kehadiran ahli Pas yang ramai, bolehkah anda bayangkan besarnya peranan Pas dalam menyelamatkan Aqidah umat Islam?

Dr. Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas

Monday, October 24, 2011

Kebebasan Intelektual Tergugat

Malapetaka Bagi Negara Ini

Semasa berita penggantungan Prof Aziz Bari tersebar, wartawan menghubungi saya dan meminta komen. Saya mengatakan dalam bahasa yang mudah "ia adalah malapetaka bagi negara ini" dalam sesebuah negara perkembangan intelektual menjadi antara tunggak utama dalam membentuk negara yang bermaruah dan bertamadun. Apabila golongan intelektual dinafikan hak mereka untuk memberi pandangan dalam bidang kepakaran mereka, kepada siapakah lagi yang kita harapkan untuk dirujuk? Pepatah Arab ada mengatakan: "Orang yang tiada tak akan dapat memberikan apa-apa" Walaupun bukanlah Prof Azizi Barri satu-satunya pakar di negara ini tetapi dengan mengenakan tindakan penggantungan, pihak Universiti tidak mengirimkan isyarat yang betul kepada perkembangan intelektual di negara kita.

Usaha-usaha kerajaan BN hari ini tidak konsisten dalam membuat transformasi dan kebebasan bersuara, walaupun digembar-gemburkan bahawa negara kita akan menuju kepada era Transformasi tetapi kes Prof Aziz Barri telah menggagalkan usaha-usaha ini khususnya dalam membentuk budaya kebebasan intelektual yang menjadi pra-syarat kepada kemajuan sesebuah negara. Setiap kita berhak untuk mempersoalkan tindakan yang dikenakan ke atas Profesor yang pakar dalam bidang perlembagaan itu. Selagi seseorang itu bergelar ilmuan dan pakar ia bukan lagi masalah universiti, ia adalah juga masalah masyarakat yang menumpang keupayaan intelek mereka dan keilmuan mereka. Apatah lagi Prof. Aziz Barri adalah tokoh yang banyak mempunyai pengaruh dalam menyedarkan masyarakat isu-isu keperlembagaan yang menjadi dokumen resmi seluruh rakyat Malaysia. Apakah tanggapan orang ramai, jikalau seorang pakar diambil tindakan hanya kerana pandangan kepakarannya?

Kejayaan mana-mana universiti bukan sahaja terletak kepada kejayaan penyelidikan tetapi kebebasan intelektual adalah asas yang menjamin usaha-usaha penyelidikan dan inovasi berterusan. Dengan penggangtungan Prof Aziz Barri oleh pentadbiran UIA satu isyarat telah terbentuk dalam benak orang ramai bahawa kebebasan intelektual tidaklah sebenarnya bebas. Ia juga seolah-olah satu ancaman kepada masyarakat intelektual di menara gading bahawa mereka harus berhati-hati dalam menyuarakan pandangan mereka jikalau tidak mereka akan dikenakan hukuman. Keadaan ini tidak membantu perkembangan intelek yang sifatnya adalah bebas kongkongan dan berlegar di sekitar kepakaran masing-masing. Dengan kes awalan di UIA tentang kebebasan intelek, masyarakat intelek kini hidup dalam keadaan ketakutan untuk memberi pandangan seolah-olah mereka diperhatikan untuk berfikir!

Universiti seharusnya bebas dari kongkongan politik dan isu politik, walaupun isu penggantungan Prof Aziz Barri adalah di bawah kuasa pihak Universiti Islam namun isu dan pandangan yang diberikan oleh Prof Aziz Barri kemungkinan ditafsirkan sebagai menyinggung pihak tertentu. Saya tidak menuduh, tetapi jikalau UIA membuat keputusan kerana tunduk kepada tekanan pihak tertentu, ini adalah sesuatu yang amat malang kepada kepada pentadbiran universiti dalam membuat keputusan.

Saya menrima banyak aduan dalam Facebook yang diposkan kepada saya tentang nasib mereka yang di bawah seliaan Prof Aziz Barri di tahap post graduate. Mereka tidak tahu apa nasib mereka debgan penggantungan ini kerana ramai yang akan tergantung dengan penggantungan Prof ini. Keputusan UIA nampaknya tidak konsisten, setelah tekanan dibuat oleh pelajar pada hari Jumaat lalu dan setelah menerima feedback masyarakat di luar universiti, pihak pentadbiran seolah-olah cuba melembutkan keadaan bahawa ia bukan penggantungan, ia hanya surat tunjuk sebab. Walhal surat yang diterima menurut Prof Aziz Barri ialah menghalang Prof ini dari masuk ke kawasan Universiti melainkan denan izin universiti! Malangnya Prof kini menjadi orang buangan di tempat yang dia sendiri menjadi pendidik di dalamnya.

Ali Parlimen Kubang Kerian telah membawa usul tergempar untuk dibahaskan dalam Parlimen isu penggantungan Dr Azizi Barri, malangnya usul ini ditolak dalam kamar Speaker lagi. Saya, Yb Kuala Selangor dan Kubang Kerian mengadakan sidang akhbar pagi ini menyatakan kekesalan kami kepada apa yang berlaku ke atas Prof Aziz Barri, kami bersetuju bahawa kes Dr Aziz Barri adalah sejarah hitam kepada perkembangan intelektual di negara kita. Apabila golongan ilmuan dikenakan sekatan untuk memberikan pandangan mereka pastinya kebangkitan untuk perubahan regim semakin mendapat momentum. Ada hadis menyatakan : "Allah tidak akan menghancurkan sesuatu bangsa itu sehinggalah hilang orang yang ilmuan di kalangan mereka" Menyekat kebebasan intelektual adalah prose penghakisan golongan ilmuan.

Thursday, October 20, 2011

Hijaukan Bangunan Kita!

Menuju Pembangunan Hijau

Hijau adalah satu warna yang mempunyai berbagai persepsi bagi sesiapa yang melihatnya. Untuk mereka yang cintakan alam, hijau menjadi lambang ketenangan dan keseimbangan antara manusia dan sekitarnya, ia satu lambang keharmonian. Bagi mereka yang fobia dengan Islam , hijau adalah warna golongan teroris dan ia amat menakutkan, adapun bagi parti-parti politik Islam seluruh dunia ,hijau adalah warna tema yang dipakai. Saya memang meminati hijau bukan kerana ianya warna parti saya, tetapi hijau ini memberikan kesegaran dan semangat alam yang membara.

Kebetulan saya amat meminati isu-isu pembangunan yang hijau karakteristiknya. Ia akan menjadi aspek utama dalam komponen pembangunan bagi meningkatkan kecekapan guna tenaga, meminimakan penyahan karbon diaoksidan dan mengurangkan kos penyelenggeraan. Walaupun negara kita sudah mula beralih kepada insentif kehijauan, namun jalan menuju kehijauan masih lagi di tahap permulaan. Dasar Hijau yang diperkenalkan setakat ini lebih bersifat zero kos, ini adalah kerana kos untuk "going green" masih lagi tinggi memandangkan pasaran komponen alat dan bahan hijau masih terhad dan terpaksa bersaing dengan komponen dan bahan tidak mesra alam yang lebih murah. Walaupun kereta hybrid yang mesra alam diberi pelepasan cukai namun alat-alat, bahan dan komponen lain yang hijau masih belum lagi diberi insentif pengecualian cukai. Bahan seperti batu bata yang mesra alam, konkrit dan bahan tingkap-tingkap bangunan yang mesra cahaya suria masih lagi belum menjadi industri walaupun kajian dan penyelidikan bahan hijau telah banyak dilakukan oleh universiti tempatan.

Aspek kehijauan mestilah terbina atas set minda yang baru dan ia mesti menyeluroh bermula dari sikap, dasar dan bentuk fizikal yang bercirikan mentaliti hijau. Contohnya dalam struktur membina bangunan yang hijau, ia bermula dengan rekabentuk yang mesra cahaya suria dan memaksimakan penggunaan cahaya semulajadi, pengudaraan yang meminimakan penggunaan hawa dingin, sistem penebatan haba dan rekabentuk syling yang memberi laluan pengudaraan yang efisyen. Bahan binaan juga mestilah mesra alam dan menggunakan bahan-bahan yang tidak memberi kesan kepada alam sekitar serta meminimakan konsep kitar semula dari bahan-bahan buangan. Pemilihan tekstur warna juga penting untuk mengurangkan penyerapan haba sebagaimana kitaran sisa pepejal dalam bangunan juga perlu kepada pengursan yang efisyen. Segala sumber semulajadi seperti hujan mesti dimaksimakan bagi penjimatan konsumpsi air yang boleh digunakan untuk penyiraman dan lain-lain kegunaan.

Konsep besar dalam memindahkan set minda membina bangunan yang mesra alam masih baru di negara kita. Kita baru bercakap penjimatan tenaga dalam bangunan tanpa kos. Keputusan majlis tenaga yang memutuskan untuk menggunakan penghawa dingin pada kadar minimum 24 celcius  pada bulan Ogos yang lalu masih belum diedarkan kepada bangunan bangunan kerajaan untuk dilaksanakan, walaupun ia akan menjimatkan kerajaan sebanyak 40 juta. Ia satu tindakan yang lambat sedangkan ia tidak memakan apa apa kos pun, ia hanya soal sikap dan sejauhmana kerajaan bersegara untuk mengedarkan arahan yang mudah seperti ini. 

Satu akta diperlukan untuk memastikan penguatkuasaan teknologi hijau dari semua sudut dapat dilaksanakan. Walaupun adanya Kementerian Teknologi Hijau, dasar hijau masih lagi dibatas mind set tanpa kos dan tidak ada insentif menyeluroh untuk melonjakkan teknologi hijau khususnya dalam bangunan-bangunan yang bakal didirikan dalam fasa kedua projek mega di lembah baru Sungei Besi. Bangunan Hijau bukanlah bermakna bangunan itu berwarna hijaun dan dikaitkan dengan Pas, tetapi bangunan hijau adalah konsep masadepan yang menjadi komponen terpenting perancangan pembangunan dalam semua sudut kehidupan. Selamat Datang Ke Alam Masadepan....

Wednesday, October 19, 2011

Himpunan Sejuta Umat

Niat Murni Mungkin Dieksploitasi oleh Golongan Rasis

Satu perhimpunan yang bernama sejuta umat akan diadakan di Shah Alam pada sabtu ini. Perhimpunan tersebut adalah anjuran NGO Islam yang akan membawa isu-isu Islam untuk diperjuangkan bersama oleh umat Islam. Tujuan murni perhimpunan bawah tema memelihara aqidah umat Islam adalah sesuatu yang wajar namun demikian, saya berhak untuk berasa bimbang perhimpunan akan lari dari hasrat murni penganjur.

Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena pada perhimpunan ini bukan kerana usaha mengumpulkan sejuta umat tetapi persolannya ialah sifatnya yang mungkin mengancam usaha-usaha keharmonian hubungan antara agama di negara ini. Saya ada beberapa alasan untuk berasa khuatir dalam konteks hubungan antara agama di negara ini:

1. Perhimpunan ini diadakan dalam suasana hubungan antara agama di negara ini dalam keadaan rapuh dan apa sahaja suasana permusuhan tidak akan membantu usaha usaha mewujudkan keharmonian hubungan antara agama di neagra ini.

2. Perhimpunan ini dikhuatiri akan dieksploitasikan oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan tegang dalam hubungan antara agama.

3. Lebih buruk ia dikhuatiri satu perancangan jahat yang menjadi agenda parti yang terdesak untuk terus berkuasa dengan cara mencetuskan ketegangan.

4. Dikhuatiri nama baik Islam tercemar dan sekaligus membawa imej Islam sebagai agama permusuhan dan menggalakkan benci membenci antara satu sama lain.

5. Tema memelihara aqidah tidak salah tetapi apakah dengan sekadar perhimpunan akan selesaikan masalah, bukankah dialog antara agama adalah lebih berkesan untuk menegaskan sikap Islam kepada pemurtadan dan isu isu sensitif yang lain?

Dan akhirnya saya merakamkan rasa kesal saya terhadap pihak polis yang double standard memberikan permit dalam perhimpunan ini dan melarang BERSIH tempoh hari untuk berhimpun dalam bilangan peserta yang lebih kecil. Jelas ia satu sikap yang di bawah telunjuk pihak tertentu. Saya tidak pernah menentang perhimpunan aman, tetapi sikap polis yang tidak profesional amat mengecewakan rakyat Malaysia.

Sekian

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Dialog Antara Agama Rantau Asia Tenggara.
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas Pusat

Tuesday, October 18, 2011

Polis Terlibat dalam Kes Mat Sabu?

Ucapan Bajet 2012

Setelah satu hari menunggu giliran untuk berucap bahs bajet 2012 akhirnya hari ini sebelum rehat pkl 1 saya memulakan ucapan dan kemudian menyambongnya pukul 2.30. Kami diberi 20 minit. Banyak yg nak diperkatakan tp masa tak cukup. Saya menyentuh beberapa tajuk besar antaranya tanggungjawab membuat keputusan terbaik, kritikan bajet secara menyeluroh, soal alam sekitar, keselamatan dan peranan agama.

Paling kontraversial ialah isu kegagalan dasar kerajaan dalam menangani kesan alam sekitar. Saya membawa contoh Bukit Merah yang pernah dicadangkan untuk tapak loji nadir bumi yang akan dikendalikan oleh Mitsubishi dari Jepun. Usaha itu mendapat tentangan pada tahun 1982 sehingga 167,000 penduduk Pekan Papan dan sekeliling telah membantah kerna kesan alam sekitar yang membahayakan kesihatan mereka antaranya leukimia, keguguran, cacat kelahiran dan kanser paru- paru. Kejayaan menutup tapak itu adalah tanda kejayaan ngo menimbulkan kesedaran dan penduduk yg prihatin. Walaupun kini ada 800,000 ton sisa radioaktif yg belum dihapuskan dengan menelan belanja US100juta. Malah kematian akibat kesan radioaktif ini juga tinggi iaitu 9 kes kematian kerana leukimia. Tiba-tiba hari ini kita dikejutkan dengan tapak yang sama yg akan dibuka di Gebeng, Pahang oleh syarikat Lynas Corp dari Australia. Kalau Bukit Merah hanya 9 ekar, kini di Gebeng luasnya 100ekar iaitu seluas 140 padang bola! Apa sikap kerjaan yg lebih melihat laba ekonomi dan keuntungan dari kesan jangkapanjang yang mengancam keselamatan dan kesihatan awam?

Saya sempat juga menyentuh isu keselamatan di mana saya mendedahkan surat yang saya terima secara misteri. Saya hanya menrima dari orang lain surat itu minta supaya mendedahkan dokumen surat resmi dari PGA Briged Tengah ang mengarahkan anggotanya dan keluarga serta pesara polis supaya menandatangani memorendum membantah kenyataan Timbalan Presiden Pas Mat Sabu. Saya mempertikaikan kalau betul ini surat arahan dari Pegawai Tinggi Polis maka polis tidak professional dan campurtangan dalam persoalan yang sifatnya politik! Adakah ada campurtangan polis menimbulkan kemarahan yang disengajakan terhadap Mat Sabu? Ataukah Polis menerima arahan dari pihak atasan dari tuan tuan politik mereka? Saya minta Menteri Dalam Negeri memberikan penjelasan tentang surat ini. Saya diganggu dalam ucapan saya oleh Kulim-BandarBharu yang menuduh saya membuat fitnah! Saya kata saya cakap dalam parlimen dan bukan di kedai kopi! Saya bertanggunjawab atas soalan saya.

Krna diganggu masa saya terjejas jadi isu peranan agama saya tak sempat nak perincikan. Saya mencadangkan hubungan antara agama mestilah memperbanyakkan dialog dan perbincangan secara bertamadun bukan dengan menimbulkan kemarahan atau isu yang sensitif. Saya mencadangkan juga akta zakat bagi memperkemaskan pengurusan dan kawal selia zakat bagi membantu pengukuhan umah. Malangnya masa tidak cukup dan saya terpaksa berhenti setelah diarahkan oleh Tuan Speaker.

Selesai ucapan saya membuat sidang akhbar bersama rakan dari Kuala Kedah atas dua isu. Pertama sikap kami secara peribadi dalam perhimpunan sejuta umah di mana kami melihat ini eksploitasi Umno dan golongan desperate untuk menimbulkan kebencian antara agama dan bukan keharmonian antara agama. Kedua saya mendedahkan surat yang saya terima secara misteri yang memberi petunjuk bahawa Polis dari PGA terlibat mengarahkan secara resmi supaya anggotanya , keluarga dan pesara menandatangan kempen membantah Kenyataan Mat Sabu. jikalau ini berlaku ia sesuatu yang malang bagi Polis yang tercalar imej mereka kerna menjadi alat kepada pihak tertentu yang desperado untuk berpegang kepada kuasa mereka yang semakin terhakis.

Saturday, October 8, 2011

Peguam Syarie Sokong Hudud di Kelantan

Sokongan Persatuan Peguam Syari'e Malaysia Terhadap Undang Undang Hudud di Kelantan

Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Shariah Lawyers Association of Malaysia)
Sekretariat PGSM
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan,
Jalan Damansara, 50675 Kuala Lumpur
Tel : 03-2274 1499 Fax : 03-2274 1499
Website : http://www.peguamsyarie.org
E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com







8 OKTOBER, 2011 bersamaan 10 Zulkaedah 1432H.

KENYATAAN MEDIA

PGSM Sokong Pelaksanaan Hudud

Hasil pertemuan pimpinan PGSM dengan YAB Menteri Besar Kelantan pada hari ini, Sabtu 8 Oktotober 2011, PGSM dengan ini untuk mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-
1. PGSM menyokong penuh sebarang pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini termasuk pelaksanaan hukum Hudud yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran al-Karim.
Hudud adalah undang-undang Islam yang telah ditetapkan oleh Allah (swt) dalam al-Quran dan sebagai umat Islam kita tidak boleh menolak.

Hudud dapat melindungi masyarakat daripada berlakunya sesuatu jenayah dengan mencegah jenayah daripada berlaku. Hukuman berat yang ada dalam hudud boleh mendidik maystarakat daripada melakukan jenayah hudud.

Hukuman Hudud memberi pengajaran kepada penjenayah agar tidak mengulangi jenayah yang sama. Hudud juga membersihkan dosa penjenayah dan menyelamatkan penjenayah daripada azab akhirat.

2. PGSM berpendirian sudah sampai masanya hudud dilaksanakan di negara ini, dengan mengambilkira peningkatan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat Islam dari setahun ke setahun, seperti zina, kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi, jenayah ragut, rompak, samun dan sebagainya. Justeru itu Undang-Undang yang lebih tegas, tinggi kadar hukuman dan mampu mencegah umat Islam daripada terjerumus ke lembah maksiat yang boleh merosakkan nasab keturunan umat Islam ini amat wajar dilaksanakan.
Dari 1999 hingga 2003, daripada 70,430 kes, sebanyak 30,978 pendaftaran anak luar nikah membabitkan anak orang Islam. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi (12,836), diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439) dan Johor (8,920). Statistik Jabatan Pendaftaran Negara tahun 2007 mencatatkan sebanyak 16,100 pendaftaran anak luar nikah berbangsa Melayu, meningkat sebanyak 16, 541 tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.
Manakala statistik kes pembuangan bayi yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga 2010. Ia menunjukkan aliran peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008), 79 kes (2009) dan 91 kes (2010). Bagi 2011, dalam bulan Januari saja sebanyak 34 kes buang bayi dilaporkan di akhbar utama Malaysia.

3. PGSM mendesak kerajaan persekutuan membentangkan usul di Parlimen untuk meminda atau memansuhkan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) yang menjadi kekangan atau sekatan melaksanakan Hudud di negara ini.
Akta 355 tersebut telah menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah dengan hanya memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 ; atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan tidak lebih 6 kali sebatan [5:3:6].
Akta 355 adalah undang-undang yang diluluskan Parlimen. Apa-apa pindaan Akta 355 perlu mendapat persetujuan majoriti (simple majority) Ahli Parlimen.

Pada masa ini, jika ada Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang yang berlawanan dengan Akta itu, maka undang-undang itu akan menjadi ultra-vires dan terbatal setakat mana yang berlawanan. [Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan].

4. PGSM menggesa dan menasihatkan masyarakat bukan Islam di negara ini tidak perlu berasa gusar, khuatir atau takut dengan pelaksanaan hukum hudud di negara ini, kerana pelaksanaan hudud hanya untuk orang Islam sahaja.
Sesungguhnya hanya undang-undang sivil yang sedia ada sahaja yang boleh dikenakan terhadap orang bukan islam. Hudud tidak akan membabitkan masyarakat bukan Islam.

Hukum Hudud hanya terhad kepada enam jenis kesalahan iaitu zina, menuduh orang berzina, minum arak, mencuri, merompak dan murtad. Justeru bagi orang Islam yang melakukan kesalahan lain selain daripada enam kesalahan tersebut mereka boleh dihukum dengan undang-undang sivil yang sedia ada.

Pindaan undang-undang jenayah secara total ke atas undang-undang jenayah sivil yang ada pada hari ini juga tidak perlu dilakukan kerana pelaksanaan hudud adalah untuk orang Islam sahaja.

5. PGSM bersedia membantu kerajaan Negeri Kelantan dan kerajaan negeri lain yang bersedia melaksanakan hudud, untuk memberi penerangan kepada masyarakat bukan Islam khususnya, dan juga kepada masyarakat Islam umumnya, tentang pelaksanaan hudud di negara ini.
Sesungguhnya masyarakat yang menolak hudud adalah masyarakat yang tidak faham dan kurang maklumat mengenai hudud. PGSM percaya sebahagian besar masyarakat Islam bersetuju dengan hudud kerana ia hukum yang ditetapkan Allah swt yakni suatu ketetapan atau hukum yang tidak boleh ditolak sewenang-wenangnya.

Justeru itu usaha penerangan kepada masyarakat perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh dan konsisten demi memastikan pemahaman yang jelas terhadap hudud dikalangan umat islam dapat ditingkatkan dari masa ke semasa.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sempena 60 tahun

60 Tahun Dan Masih Bertenaga

Muqaddimah

Umur 60 tahun jika diukur dari umur persaraan seorang kakitangan awam menandakan seseorang itu berundur dari perjawatannya dan memasuki umur rehat atau pencen. Namun bagi Pas sebagai sebuah parti politik yang kuat ideologi politik Islamnya, umur 60 tahun hanyalah permulaan kepada era kecermelangan dan pengukuhan kedudukannya dalam persada politik tanahair. Pas tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengundur diri bahkan staminanya untuk berjalan 100 tahun lagi bukan sesuatu yang mustahil.

Rahsia Pas

Bagi yang baru mengenali Pas, anda perlu bertanya apakah rahsia kekuatan Pas sehingga mampu bertahan sampai hari ini? Soalan ini penting untuk kita membuat satu bentuk penilaian memandangkan suasana dan ruang demokrasi tidaklah berapa selesa dalam konteks sebuah parti pembangkang. Kengkangan dan keterbatasan serta sistem pilihanraya yang tidak telus tidak banyak membantu parti pembangkang seperti Pas untuk berkembang dengan sehat. Namun di sebalik latarbelakang tidak-mesra pembangkang Pas tetap muncul sebagai parti Islam yang disegani oleh kawan dan lawan. Tanyalah kepada ahli Pas , mereka akan mengatakan talihayat yang senantiasa memberikan mereka nafas untuk hidup ialah dasar Islam yang Pas jadikan sebagai pegangan politiknya. jika tanpa Islam, sudah lama Pas berkubor tanpa batu nesan dan menjadi bahan dalam lipatan sejarah.

Kekuatan Pas

Kenyataan di atas benar jika dibuat perbandingan dengan parti parti pembangkang yang lain telah berkubor dengan berlalunya masa. Parti Negara, Parti Sosialis, Parti Buroh dan Semangat 46 semuanya hilang ditelan zaman sedangkan Pas yang lahir pada tahun 1951 dan muncul secara resmi tahun 1953 terus mengukohkan keberadaannya dalam politik negara. Islam telah memberi kekuatan kepada organisasi Pas dalam segala maknanya, bermula dari ideologinya, organisasinya, pembudayaan ahlinya dan isu yang diperjuangkan semuanya memberi satu nilai tambah kepada perjuangannya. Apatah lagi sistem pentarbiyahan ahlinya yang meyakini bahawa usaha mereka dengan parti adalah sebahagian daripada kebajikan untuk menghambakan diri kepada Allah. Anda perlu memahami bahawa Pas dan ahlinya bukan sahaja bergerak dalam kitaran politik semata mata tetapi ia adalah sebuah kehidupan dan ibadah pada waktu yang sama. Antara lagu yang berkumandang yang menjadi siulan oleh ahli Pas dan kepimpinannya ialah: "bergeraklah ke medan jaya, kalah menang bukan alasannya, sucikanlah niat di hati, hingga nyata benarnya janji Rabbi" Ahli Pas juga terdidik dengan budaya memberi kepada parti daripada menerima. Itulah rahsia kegagahan Pas di umurnya 60 tahun hari ini.

Pencapaian Pas

Pas bermula dengan permulaan yang agak perlahan dari sudut kerusi yang dimenanginya. Bermula dengan kerusi Krian Laut yang dimenangi oleh calon Pas, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin pada tahun 1955 (Federal Election), Pas tidak menoleh ke belakang lagi, Pilihanraya 1959 menyaksikan Pas menguasai Kelantan dan Terngganu dan menang beberapa kerusi Parlimen. Pilihanraya 1964 menyaksikan Pas melebarkan sayapnya ke Utara walaupun terpaksa melepaskan Terengganu pada tahun 1963. 1969 adalah prestasi terbaik Pas dengan penguasaan 15 kerusi Parlimen dan hampir merampas Perlis dan Kedah. Pilihanraya 1974, Pas menyertai BN dan terdedah pengalaman mentadbir negara, setelah gagasan Barisan Nasional diangkat menjadi wahana untuk negara terus ke hadapan dan meletakkan kepentingan nasional. Pilihanraya 1978 menyaksikan Pas hampir malap dan kecundang dalam arena politik. Krisis Kepimpinan Pas dan perancangan licik menjatuhkan Pas Kelantan menyebabkan keputusan PRU 1978 bagi Pas cahaya malap yang disambut oleh ahli Pas dengan kekecewaan. 1982 memburukkan lagi suasana apabila krisis Pas berada di kemuncaknya apabila Datuk Asri yang bertanggungjawab membawa Pas ke era kecermalangan disingkir oleh ahli Pas sendiri.

Kebangkitan Pas

Episod malang ini cuba dipulihkan dengan innovasi dan penjelmaan baru Pas yang kini menggelarkan dirinya sebagai Kepimpinan Ulamak di bawah kepimpinan Tuan Haji Yusof Rawa. Kebangkitan semula Pas dengan wajah baru ketika itu mengejutkan kawan dan lawan apabila gagasan kepimpinan baru digandingi oleh Datok Fadhil Nor dan Haji Hadi Awang mencetus satu fenomena baru yang menarik minat generasi muda menyertai Pas. Dakian gelombang kedua Pas ialah pada tahun 1990 apabila Pas berkolusi dengan Semangat 46 dan berjaya merampas Kelantan. PRU 95 dan seterusnya 99 membuka jalan kepada Pas untuk terus cemerlang apabila menguasai 25 kerusi Parlimen di bawah kepimpinan Datok Fadhil Nor. 2004 adalah tahun malang bagi pembangkang dan hanya pada tahun 2008 Pas bersama rakan politiknya PKR dan Dap berjaya menuguasai 83 kerusi Parlimen di mana Pas menguasai 23 kerusi.

Msa Depan Pas

Sejarah ringkas Pas yang diukur dari sudut pencapainnya dan kejayaan mentadbir Kelantan di bawah tokoh ikonik Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat adalah dokumen penting untuk kita memahami susur galur dan liku liku yang dilalui oleh Pas. Satu soalan yang mendesak jawapan kepada pemerhati politik, apakah Pas mampu bertahan lagi? Bagaimankah nasibnya pada perkembangan lanskap dan kematangan politik tanahair, mampukah Pas terus bernyawa?

Keseimbangan yang Bijak

Jawapannya adalah di dalam satu kebijaksanaan politik yang mesti diterokai oleh Pas, iaitu keseimbangan antara menyahut perkembangan semasa dan kemampuannya mengekalkan prinsip Islam yang menjadi raison de tere perjuangannya. Jika kita melihat perkembangan Pas dari sudut mengekalkan kedudukannya Pas telah membuat satu penjenamaan semula selepas krisis zaman Datuk Asri dengan gagasan kepimpinan ulamak dan berjaya bangkit dari kemungkinan pupus secara organisainya. Gagasan itu telah membawa Pas ke era kecermelangannya, namun tabiat garisan lekuk teori pembelajaran mengandaikan Pas akan berada pada titik garisan tepu dan akan menurun, bukankah sudah tiba masanya Pas mencipta lekuk baru? Lekuk baru ini penting untuk Pas terus kekal bersaing, apatah lagi lambaian tuntutan masyarakat sivil yang semakin kuat mendesak perubahan besar besaran lanskap politik negara. Isu Islam semakin mendesak supaya Pas mengolahnya dalam paradigma baru, persaingan dengan Umno yang mahu dilihat lebih Islamik dari Pas hari ini menuntut Pas menghadapinya dengan sikap yang lebih terbuka dan dinamik.

Aspirasi Nasional

Kini setelah 60 tahun tembok halangan yang selama ini memisahkan Pas dengan masyarakat bukan Islam telah berjaya di atasi. Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong Pas atau DHPP adalah satu epidod baru tersenarai dalam pencapaian organsiasi Pas. Bakal calon bukan Islam yang akan bertanding ats tiket Pas adalah sesuatu yang menarik untuk disaksikan dalam PRU 13 nanti. Perlebaran ke Sabah dan Sarawak akan menjadikan Pas benar-benar menjadi parti beraspirasikan nasional. Cakap cakap ke Putrajaya bersama rakan Pakatannya membuktikan Pas bukan parti kampongan dan tok lebai. Ia satu kuasa pencatur politik tanahair yang tidak boleh dipandang enteng oleh kawan dan lawan. Dengan umurnya mencecah 60 tahun hari ini, apa lagi yang boleh dikatakan pada Pas melainkan, Selamat Berjuang!

"Selamatlah Parti Islam Melangkah, membimbing umat ke medan siyasah,
Berpandukan Al Quran dan Sunnah, Suburlah hidupnya dan pasti berbuah...." (lirik lagu bersatulah kaum muslimin, lagu resmi Pas)

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas
Ahli Parlimen Malaysia

Tuesday, October 4, 2011

Bajet PAKATAN Menarik

Kesejahteraan Untuk Semua

Belanjawan Pakatan memperuntukkan RM220 bilion untuk memastikan kesejahteraan dinikmati oleh rakyat. Dalam usaha mengembalikan pengurusan kewangan yang jurang pendapatan agak ketara, Pakatan cuba mengemukakan bajet yang dalam jangkapanjang akan mengurangkan jurang ini. Contohnya, 80% dari pendapatan seisi rumah hanya menikmati purata RM 2,500 sebulan. Dari sudut pendapatan menyeluroh golongan pendapatan tinggi yg 20% mewakili 49% kekayaan manakala 40%paling bawah hanya mewakili 15% dari pendapatan negara. Masalah besar yang meruntun negara ini kepada berbagai masalah ialah subsidi korporat yang merugikan majoriti rakyat dan mega projek yang tidak menguntongkan rakyat serta ketirisan akibat rasuah dan salahurus.

Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini.

Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.

Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

- Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.

- Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.

- Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.

- Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.

- Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

Pembelaan rakyat terbanyak

Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:

a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.

b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.

c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.

d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.

f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.

Mengembalikan martabat rakyat

a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.

b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.

c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.

d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.

e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.

g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.

h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.

Thursday, September 22, 2011

NAJIB JADI PM TRANSISI SEBELUM PERUBAHAN BESAR

APA SELEPAS ISA?


Saya bersetuju dengan pandangan bahawa ketika ini adalah masa yang terbaik untuk semua pihak melihat penghapusan ISA sebagai satu dimensi baru hasil perjuangan yang selama ini diperjuangkan oleh semua pihak yang prihatin tentang prinsip-prinsip keadilan. Walaupun perdebatan tentang siapa yang perlu mendapat kredit kerana penghapusan ini sedap untuk diceramahkan dalam pentas-pentas politik namun kita tidak perlu terheret jauh dengan perdebatan ini, apa yang harus kita lakukan ialah, perluaskan perbincangan tentang prospek ‘apa selepas ISA?’, meneruskan usaha reformasi politik dan lebih penting ialah mendidik masyarakat kita memahami dan menghayati tanggungjawab kewarganegaraan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang ada.

Saya masih belum sepenuhnya boleh meyakini bahawa Najib akan menamatkan ketempangan yang kita alami selama ini bukan kerana pesimis tetapi pengalaman gelombang reformasi di merata ceruk dunia tidak mungkin dibuat dari regim yang sudah sekian lama berkuasa, ia memerlukan identiti politik yang baru dan dinamika gerakan yang baru. Alasan kepada pemikiran ini bukanlah sukar untuk difahami, ini adalah kerana regim yang sudah lama berkuasa seperti BN (dulunya Perikatan) tidak mempunyai intipati yang diperlukan untuk melakukan perubahan dan dikukuhkan lagi oleh persepsi bahawa bebanan ketempangan ini dipikul dan dipertahankan oleh mereka sendiri selama ini. Isu kejujuran walaupun bukan alasan untuk diperdebatkan tetapi konteks sejarah lampau tetap menjadi beban kepada regim lama untuk melakukan reformasi.



Intipati perubahan yang diusahakan pula mestilah bercirikan kepada pandangan dan fahaman secara menyeluruh kepada prinsip-prinsip yang memudaratkan atau menghalang tertegaknya Keadilan, Kebebasan dan Pertanggungjawaban. Mana-mana elemen dalam dasar dan undang-undang negara serta amalannya yang mencemarkan tiga nilai ini tetap dianggap masih tempang. Sebab itu ketika Najib mengistyharkan penghapusan ISA, saya tertanya-tanya adakah ISA masalah kita ataukah prinsip-prinsip utama yang terjejas teruk kerana tidak dibela oleh pemimpin-pemimpin yang berkuasa selama ini? Kita menentang ISA kerana berlaku pencerobohan jelas terhadap hak untuk dibicarakan dan kuasa menghukum yang dirampas oleh Menteri (eksekutif) yang mana sepatutnya ia dipertanggungjawabkan kepada pihak kehakiman. Begitu juga tempoh tahanan polis yang lama (60 hari) boleh membawa kepada penyiksaan mental dan fizikal untuk mendapat pengakuan. Demikianlah seharusnya kejelasan kita terhadap sesuatu isu, walaupun ISA dihapuskan tetapi apa yang diganti tidak sepatutnya mencerobohi prinsip-prinsip keadilan, bukan namanya yang dibenci tetapi amalannya yang dipertikaikan.
Kebebasan Media turut disinggung oleh Najib dengan memberikan pendekatan baru kaedah pemberian izin operasi sekaligus. Walaupun pengumuman itu menampakkan perbezaan dari sudut tidak perlu diperbaharui secara berkala namun asas persoalan kebebasan media tetap dipersoalkan iaitu apakah “definisi bebas bahan yang dipaparkan?” Adakah jikalau pemerintah melihat bahan yang dipaparkan mengancam kepentingan mereka, izin akan dibatalkan? Jikalau begitu memberi izin sekaligus tidak akan menyelesaikan kebebasan media. Kebebasan Media mestilah dengan kepercayaan dan pertanggungjawaban yang terkawal dengan nilai-nilai budaya setempat dan undang-undang yang menjamin kebebasan tersebut. Bagaimana dengan media elektronik yang kelihatan rigid dan tidak menjadi forum mendidik maklumat dari sumber yang berbagai? Selagi dasar media menjurus kepada kongkongan dan kawalan ketat bahan dan isi kandongan selagi itulah isu pemberian izin tidak mampu menggarap persoalan sebenarnya tentang kebebasan media.

Jikalau Najib mempunyai gambaran menyeluruh tentang apa yang perlu dibuat untuk reformasi negara ini, perkara utama yang sepatutnya disentuh ialah tentang SPR. Walaupun pendedahan demi pendedahan dibuat tentang manipulasi senarai daftar pemilih, pemerintah masih bisu dan berdolak dalik. SPR seperti biasa menyalahkan pemerintah kerana katanya mereka terikat dengan undang-undang yang ada, tetapi manipulasi bukan soal peruntukan undang-undang, ia satu tanggungjawab SPR membersihkannya secara jujur dan telus. Jikalau Najib memerlukan rujukan untuk membuat reformasi SPR ia hanya perlu bertanya kepada Bersih 2.0 dan tak perlu merujuk kepada konsultan-konsultan luar negara. Apa yang berlaku dalam ketempengan SPR ialah menafikan hak ‘satu orang satu undi’. SPR juga menceroboh kuasa memilih melalui pilihanraya yang adil apabila undi pos disalahgunakan. Inilah prinsip yang perlu dibela melalui langkah-langkah reform jika Najib benar-benar mempunyai intipati jiwa seorang reformis.

Kelemahan regim lama yang berkuasa untuk membuat perubahan juga dinilai dari sudut motif pengistyharaan dibuat, apakah kerana ia satu pertanggungjawaban ataukah kosmetif efek untuk sokongan politik? Jikalau kosmetik efek ia akan dilihat tidak tulen dan akan terserlah kepincangan yang lebih buruk. Jikalau ia satu pertanggungjawaban maka ia sesuatu yang berisiko tinggi terhadap kepentingan politik regim lama kerana dengan berbuat demikian regim lama membuka jalan mudah kepada kemunculan identiti politik baru yang akan mendapat menfaat dari semua ruang-ruang yang yang ada. Ini yang berlaku kepada BJ Habibi di Indonesia dalam waktu peralihan kepada era reformasi. Saya pernah menulis semasa Pak Lah mengambil alih dari Tun Mahathir, bahawa Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) akan menjadi Perdana Menteri Transisi jikalau apa yang disebut tentang reform yang cuba hendak dibawa berlaku. Pak Lah menamatkan kepimpinannya dalam suasana tertekan dari dalam Umno sendiri dan legasi beliau kearah reform dilihat dalam akta SPRM, Suruhanjaya Kehakiman dll. Kini Najib mengorak langkah dengan nada yang sama tentang melakukan reformasi, apakah Najib akan jadi Perdana Menteri Transisi untuk kemunculan identiti politik baru menguasai pemerintah kelak selepas PRU 13? Apa selepas ini?

Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

Mat Sabu Kena Lagi

Mat Sabu Di Dakwa Lagi!

Semasa dalam perjalanan ke Langkap, Perak semalam, saya terdengar dari suara radio dalam kereta saya berita bahawa Mat Sabu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok (21 Sept). Saya terus tersentak dan secara spontan memberitahu sahabat saya Man: "jom kita pi esok!" Man yang memang terkenal orang yang setia dengan perjuangan parti terus respon pantas dengan hanya satu perkataan "mesti!" dengan jaminan itu saya tahu saya ada teman esok nak ke mahkamah memberi sokongan moral kepada Timbalan Presiden saya yang didakwa di atas pengkhianatan awam yang membawa maksimum penjara 2 tahun.

Pagi tadi mahkamah Sesyen Butterworth tidak seperti biasa, ada banyak polis dan orang ramai sedang menunggu secara berkelompok di sana sini sehingga ke pintu masuk utama. Setelah bersalaman dengan ramai yang berhimpun di luar dan dalam perkarangan parkir bangunan Mahkamah saya bersapa dengan para wartawan di pintu masuk utama. Saya mengambil keputusan untuk naik atas di bilik perbicaraan dengan harapan dapatlah saya bertemu dengan Timabalan Presiden Pas itu dan terus memberi sokongan moral kepadanya.

Baru sahaja tiga hari sudah, pegawai khas saya abang Hamdan menunjukkan gambar saya, Mat Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipakaikan dengan topi bintang tiga (komunis) sambil ditulis di bawahnya "mujahid kata balai polis bukit kepong yang diserang adalah sasaran penjajah" Agak besar juga gambar yang bersaiz poster itu ditampal semasa program Raya di Sg Aceh Nibong Tebal yang dihadiri oleh TPM. Semasa saya sedang melayan pemikiran saya yang melayang ke poster nakal tempoh hari tiba- tiba saya terserempak dengan peguam Mat Sabu yang juga rakan baik saya iaitu Sdr Aminudin, YDP Pas Tanjung Malim. Dia terus bercakap dalam BI "what an insult, they asked us a bail of 15ks, earlier they asked for 60ks! The charge actually does not amount to that figure!" dia pun menerangkan pada saya bahawa tempoh hari kumpulan PSM pun hanya dikenakan jaminan 8k sahaja, kalau dibanding pendakwaan ke atas geng PSM lagi berat kata dia. "Ini memang betul-betul insulting!"

Ya saya setuju, ia sesuatu yang cukup menghinakan, malah saya menganggap kenyataan Mat Sabu hanyalah satu opini yang seharusnya didebatkan di pentas akademik samada untuk menafikan atau menyokong dengan hujah- hujah yang ilmiyah. Lagipun sejarah bukan maksom sehingga tak boleh dipersoalkan! Disiplin sejarah sendiri memperuntukkan ruang untuk menilai semula penulisan sumber sejarah itu sendiri, bukankah ini semua akademik? Saya tidak boleh bayang nanti bagaimana perbicaraan akan jadi bilik kelas untuk subjek sejarah di mana peguam akan membawa buku dan bahan sejarah manakala hakim akan menentukan fakta sejarah mana yang betul, bukankah itu melucukan? Sepatutnya kontraversi Mat Sabu dibahaskan oleh ahli akademik untuk dijadikan alasan menilai semula bagaimana sejarah kita ditulis dan apakah faktor kepengaruhannya sehinga beberapa fakta dilihat bercelaru? Dan sepatutnya yang menilai hujah ilmiyah ini semua ialah pakar sejarah yang neutral (pastinya bukan dari Majlis Profesor Negara) yang akan membuat rumusan untuk dibaiki fakta sejarah kita. Tapi apakan daya, kehendak orang politik sempit di negara kita ini terlalu bacul untuk mendebatkannya secara terbuka kerana nanti kelak akan terbongkarlah banyak perkara lagi tentang fakta sejarah yang cuba dimanupulasikan. Lagipun saya penuh yakin isu Mat Sabu yang menginterpretasikan sejarah demikian rupa dibalas oleh Umno dengan niat jahat untuk 'membelasah' Pas melalui Mat Sabu. Mereka tak mungkin belasah Pas atas pentas ceramah atau forum, maka cara terbaik ialah heret ke mahkamah atas alasan ada 27 laporan polis terhadap Mat Sabu. Umno juga mahu apabila kes dalam perbicaraan tidak ada sesiapa yang boleh bercakap soal ini lagi, noktah!

Depan pintu bilik perbicaraan penuh dengan orang ramai dan wartawan, saya melalui celah orang ramai untuk masuk ke dalam dan lega apabila pintu dibuka, Mat Sabu betul- betul di hadapan saya sambil tersenyum menyambut saya. Beliau yang berjaket hitam dan memakai t shirt kolar bulat berwarna hijau bersalaman dengan saya cara komrade seraya berkata: "terimakasihlah mai, depa la ni dok haru, dalam dok serang saya, Prof mana pulak bawak mai kata kita tak dijajah!" Mat Sabu sempat berseloroh dengan saya:"SPM dan PMR tahun ni kena tangguh dulu pasai nanti budak keliru nak jawab periksa! Kena jajah ka atau kena naung?" dia juga ucap terimakasih kat saya kerana antara yang awal menyokong kenyataan dia tentang sejarah kerana saya ada membuat satu artikel dan dihujung artikel saya mengatakan " tahniah Mat Sabu kerana memaksa ahli akademik memunggah buku- buku yang selama ini tertimbus dalam perpustakaan tentang sejarah Malaysia!"

Saya mengenali Mat Sabu sejak beliau baru mula nak naik ketika saya belajar di pondok Pak Man Kedah. Kalau ada ceramah Mat Sabu kami akan keluar pergi dengar dan sebagai pelajar waktu itu saya harus akur agak tertarik dengan gayanya dan " loklaknya" ketika berceramah. Mat Sabu juga sering menyebut tentang ayah saya yang dianggapnya sebagai idola kerana ketegasan prinsip Pak Yusof Rawa. Atas alasan itu semua, saya mengenali Mat Sabu, apatah lagi apabila berkecimpung dalam Pas semasa Dewan Pemuda dan kini AJK Pas Pusat hubungan dengan Mat Sabu agak rapat. Khusus tentang Dewan Penyokong Pas yang saya terajui, terdiri dari bukan Islam dalam Pas , Mat Sabu banyak membantu dan menggalakkan perkembangan Dewan ini.

Pagi tadi sehingga tengahari, seluruh negara menanti apakah episod seterusnya? Pada 27hb Oktober beliau akan dibicarakan dan pastinya ia sesuatu yang menarik kerana bilik perbicaraan akannjadi kelas sejarah! Semasa Mat Sabu dan kumpulan lawyernya melangkah keluar dari pintu bicara, berpusu-pusulah wartawan mengerumuni Mat Sabu, saya terpaksa ketinggalan di belakang kerana orang ramai tolak menolak untuk mendapatkan 'hero' mereka yang akan membuat PC di pintu utama bangunan. Semasa PC saya ada di sebelah Mat Sabu dengan kilauan lampu kamera dan lensa video wartawan, Timbaan Presiden Pas itu dengan tenang berucap: " mereka memilih untuk debat di mahkamah dan tidak di pentas politik, saya dikenakan ikatjamin RM 15k, ini cukup memeranjatkan sedangkan saya dalam semua perbicaraan saya sebelum ini tidaknpernah tidak hadir perbicaraan kecuali dimaklumkan awal atas sebab yang tidak dapat dielakkan......" Demikian antara lain isi PC yang dibuat, sejurus kemudian kereta Camry putih meluncur di hadapan orang ramai dan Mat Sabu di bawa oleh unit amal masuk ke dalam kereta. Ada seorang lelaki agak berumur sebelum Mat Sabu beredar dengan penuh semangat berkata: "Mat sabu! Kuatkan semangat!" Sejurus kemudian orang ramai pun bersurai dengan berlalunya kereta Camry putih. Saya yakin ramai yang kalau boleh mahu mengatakan kata semangat yang sama seperti lelaki akhir tadi, apatah lagi Timbalan Presiden Pas itu menjadi mangsa politik regim BN yang ada. Biarlah saya tegaskan lagi, isu Mat Sabu isu yang dipolitikkan untuk melengkapkan usaha membina imej Najib yang baru dan BN yang baru, ia bukan soal siapa bersalah dan siapa tidak, ia hanya keperluan BN dan Najib untuk terus berkuasa! Moga Mat Sabu tabah!

Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Pengerusi Perpaduan Nasional

Saturday, September 10, 2011

Profesor Hina Perjuangan Kemerdekaan

Kenyataan Akhbar

Kenyataan Prof Zainal Kling yang menganggap Malaysia tidak pernah dijajah oleh British kerana yang berlaku ialah perjanjian berkonsepkan naungan adalah sesuatu yang memalukan dan menjatuhkan kredebiliti beliau sebagai ahli akademik yang sayangkan perjuangan bangsanya. Kenyataan beliau yang mewakili MPN (Majlis Profesor Negara) menghina perjuangan bangsa yang selama ini menjadi sumber inspirasi generasi anak merdeka. Kurikulum sejarah sekolah-sekolah sejak sekian lama memahamkan pelajar kita bahawa British adalah penjajah dan kita merdeka dari penjajah dengan laungan Merdeka! Ia tidak memerlukan seorang Profesor untuk memahami bahawa 'MERDEKA' membawa pengertian kebebasan dari sesuatu penjajahan dan bukan naungan.

Kenyataan beliau turut menghina pejuang bangsa selama ini kerana jikalau bukan penjajahan mengapakah adanya istilah ' pejuang kemerdekaan'? Mengapakah adanya semangat nasionalisma menentang penjajahan British? Bukankah perjanjian pangkor menandakan penjajahan kepada kekayaan negara dan eksploitasi kekayaan hasil bumi untuk memberikan kekayaan kepada penjajah? Tidak cukupkah maruah bangsa diinjak apabila anak bangsa tidak ada suara dalam menentukan nasib bangsanya selama dijajah? Saya tidak tahu apa maksud Profesor ini apabila memutarbelitkan istilah penjajah kepada penaung? Adakah beliau mahu mengatakan bahawa generasi anak merdeka telah ditipu oleh buku-buku sejarah atau tawarikh yang kita baca di bangku sekolah dan di universiti?

Oleh itu saya menuntut supaya pihak MPN melucutkan beliau dari terus menganggotai MPN bagi memelihara kredibeliti majlis ini dan menuntut supaya gelaran Profesor ditarik balik kerana menghina sejarah bangsanya sendiri dan penghayatan kemerdekaan yang baru sahaja kita sambut. Saya juga menuntut beliau menarik balik kenyataannya bahawa kita tidak dijajah, kita hanya dinaungi oleh British. Jika beliau tidak menarik balik, ini menandakan bahawa seluruh rakyat Malaysia yang masih hidup dan yang mati selama ini telah ditipu dengan mempercayai bahawa kita telah dijajah sedangkan kita hanya dinaungi sahaja. Saya menyeru kepada Kementerian Pelajaran supaya mengambil tindakan yang tegas terhadap Profesor ini yang menimbulkan kekeliruan yang amat berbahaya terhadap perjuangan bangsa yang terbina selama ini.

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Perpaduan Nasional PAS

10 Sept 2011

Thursday, September 8, 2011

SEJARAH ATAU PENULISAN SEJARAH?

PERLUKAH SEJARAH KITA DINILAI SEMULA?

MUQADDIMAH
Kenyataan Sdr Mohammad Bin Sabu Timbalan Presiden PAS, atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu telah menggegarkan seluruh negara, ia bukan sahaja menjadi polemik di kalangan ahli politik, kali ini ahli akademik diheret dalam isu besar yang membabitkan sejarah negara. Ia menjadi besar sehingga ada cakap-cakap untuk menilai semula sejarah negara khusus yang menyangkut soal-soal patriotisma. Saya tidak tahu samada isu ini sengaja ditimbulkan sebagai sensasi politik bersempena 31 Ogos ataupun ia cover-up isu untuk menutup segala kelemahan BN dan kepimpnan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa pun semua pihak rasa teruja hendak mengambil bahagian dan seperti biasa ramai yang menjadi mangsa keadaan tanpa di sedari. Betulkah sejarah kita perlu dinilai semula?

PENAFSIRAN SEJARAH
Saya merasakan politik negara kita bukan dikuasai oleh ahli politik yang bijak pandai menafsirkan sejarah untuk dijadikan bahan pencetus kebangkitan, tetapi otak mereka dikuasai oleh kepentingan sempit yang hanya memikirkan diri mereka dan tidak melihat perspektif sejarah dalam skop kepentingan nasional. Tangapan ini bukanlah sesuatu yang pelik tetapi ia bersandarkan kepada satu pandangan yang melihat bahawa sesuatu penulisan sejarah terpengaruh dengan keadaan dan suasana yang lebih besar seperti sistem kenegaraan, komunikasi, propaganda dan kecenderungan politik si penulis. Pandangan besar ini datang dari tokoh falsafah sejarah Islam Ibnu Khaldun yang melontarkan ide ini dalam karya agungnya Muqaddimah (1377). Tokoh sejarah agung ini membawa konsep baru ketika itu iaitu sejarah dahulu perlu diberi intepretasi memandangkan kepada berbezanya satu zaman dengan satu zaman yang lain dan pengaruh-pengaruh ketika sesuatu penulisan itu dibuat.

KEPENTINGAN POLITIK
Apabila polemik mempertikaikan sejarah negara muncul, kita harus jujur untuk memahami bahawa apa yang diperbincangkan ialah bagaimanakah bahan sejarah itu dituliskan dan apakah pengabsahan kepada data-data maklumat yang terkumpul, ia soal akademik yang perlu perdebatan dengan ‘kepala yang sejuk’ bagi kita membetuli apa yang kita anggap benar setakat ini atau dalam istilah pengajian sejarah dikenali sebagai Political Correctness (Pembetulan secara Politik). Ahli akademik harus juga jujur mendidik rakyat dengan kesempatan yang ada tentang prinsip-prinsip kajian sejarah. Apa yang negara ini tidak perlu ialah ahli akademik yang dicucuk hidung untuk berkata apa yang dikehendaki oleh tuan-tuan politik mereka kemudian akan ‘dilambung’ pula oleh media-media ‘kelas jamban dan longkang’. Itulah cara rakyat dididik tentang falsafah sejarah di negara kita! Tidak pelik pandangan ‘Political Correctness’ kerana Jepun yang dikatakan maju sering diberi contoh tentang penulisan sejarah yang cuba menyembunyikan fakta ‘ Penyembelihan Nanking’ dalam kurikulum sejarah mereka. Begitu juga di Amerika apabila sejarah ‘Perang Saudara’ antara Utara dan Selatan cuba dilunakkan fakta-faktanya bagi mengelak sensitiviti. Penulisan sejarah Jerman turut dikritik kerana lebih tunduk kepada pengaruh UNESCO dan masyarakat dunia daripada melihat kepentingan ‘superpatriotism’ Jerman sehingga merendah-rendahkan kebanggaan negara. Jadi apabila isu “Peristiwa Bukit Kepong’ muncul secara tiba-tiba dengan ‘keseronokan’ media ‘membelasah Mat Sabu’ di manakah ahli akademik yang jujur dengan disiplin ilmunya mendidik massa?

PERSPEKTIF SEJARAH RAKYAT
Bercakap tentang sejarah massa ada satu lagi kajian sejarah yang melihat pendekatan rakyat sebagai bahannya dari perspektif rakyat awam, menggambarkan sejarah perjuangan dari bahasa golongan marhaein, golongan non-conformist atau dari sudut bahan dari nama-nama mereka yang tidak disebut atau diabaikan nama-nama mereka. Ini juga satu perspektif, kalaupun apa yang ditimbulkan oleh Mat Sabu dari nama ‘Mat Indera’ itu satu nama yang cuba diabaikan atas apa juga alasan penulisan sejarah, seharusnya ia diperdebatkan dalam kerangka akademik dan diberi penilainnya dalam perspektif ‘People’s History’ dan bukan menyalahkan kajian-kajian yang menyebut nama Mat Indera sebagai salah dan tidak tepat. Soal keluarga anggota polis yang menjadi mangsa Peristiwa Bukit Kepong terguris dengan isu ini tidak timbul dari perspektif objektiviti kerangka kajian sejarah kerana jika dilihat kepada keluarga Mat Indera yang dipersepsikan begitu rupa, apakah keluarganya tidak terguris? Apa yang dipermainkan oleh media tertentu yang bertaraf ‘longkang dan jamban’ hanya bermain sentimen dan emosi lalu aspek objektiviti dan kerangka sejarah diabaikan dan begitulah kehendak golongan bangsawan yang mahu menginjak-injak kerangka ‘people’s history’. Bagi saya secara akademiknya ia satu kesalahan dan dari sudut moralnya ia sesuatu yang jijik kerana menutup kebenaran!

SUMBER SEJARAH
Sumber sejarah adalah bahan yang penting untuk memastikan matlamat nasional yang besar tercapai dan ia akan menjadi bahan rujukan sesuatu bangsa untuk mereka mengenali sejarah lampau bagi membentuk masadepan yang hebat. Namun aspek yang besar ini turut terdedah kepada manupulasi dan faktor kepengaruhan yang disebutkan di atas oleh Ibnu Khaldun. Oleh itu apa yang diperdebatkan ialah penulisan sejarah dan kesahihan sumber maklumat. Sumber kepada ilmu sesuatu sejarah itu dilihat dalam tiga kategori. Pertama ialah apa yang tertulis semasa peristiwa itu berlaku, kedua ialah apa yang diperkatakan orang ramai dan ketiga ialah bekas yang ditinggalkan secara fizikal. Ketiga-tiga kategori ini bukanlah muktamad kerana apa yang membezakan antara sumber dan apa yang dibaca ialah penulisan sejarah itu sendiri. Penulisan inilah yang perlu dibahaskan kerana sejarah akan tetap menjadi sejarah walau apapun diperkatakan oleh generasi kemudian. Kita hanya boleh memperdebatkan pendekatan penulisan dan cara maklumat itu dikumpulkan dan saya mengharapkan isu ucapan Mat Sabu dipandang dari sudut yang lebih terbuka dan minda yang melambangkan kemajuan berfikir bukan gaya dan cara yang dipaparkan oleh media-media yang mendidik pemikiran rakyat kearah lawan jam. Apapun tahniah kepada Mat Sabu kerana mencetuskan pemunggahan semua kerangka pemikiran disiplin sejarah dan falsafah yang selama ini hanya tertimbus dalam buku-buku akademik.

YB DR.MUJAHID YUSOF RAWA
AHLI PARLIMEN MALAYSIA
PENGERUSI PERPADUAN NASIONAL PAS PUSAT

Wednesday, August 31, 2011

merdeka!

Salam Merdeka, sapa yang tentang British zaman penjajah pasti dicop kiri atau komunis. Golongan kanan atau konservatif adalah pilihan British kerana mengikut hemat British golongan ini akan ikut telunjuk British dan mudah ikut plan British. Penentang yang keras dan mahu negara ini mengikut acuan sebenar pejuang kemerdekaan dicop kiri atau komunis.
Golongan konservatif akan mengekalkan penguasaan British.
Pada kemuncak penentangan British iktiraf golongan konsevatif sahaja dan yg lain dianggap komunis. Isu Bkt Kepong tahun 1950 adalah serangan ke atas sasaran penjajah bukan kepada anak bangsa sendiri. Polis waktu itu adalah apparatus penjajah, penyerang pula adalah mereka yang menentang penjajah, apakah kerana ini mereka menjadi komunis?
Umno adalah golongan konservatif yang menjadi anak didik British, malangnya setelah 54 thn merdeka Umno masih mempertahankan British cuma Umno tidak sedar mereka adalah Radio Burok hari ini di mata rakyat yang sudah merdeka!

Mujahid Yusof Rawa
31 Ogos=2 Syawal

Monday, August 29, 2011

DEDIKASI TULISAN INI UNTUK SAHABAT-SAHABATKU PARA PENYUMBANG DAN UMAT ISLAM





RAMADHAN MENINGGALKAN KITA


Ramadhan meninggalkan berbagai kenangan dalam hidup kita dan yang paling enak ialah keterikatan jiwa kita kuat mahu melaksanakan perintah Allah. bermula dari ibadah puasa, tarawih, membaca al quran dan penghayatan ibadat yang lain. Ia berbekas dalam hidup kita kerana kita diajar erti ketaqwaan.



Kebaikan Ramadhan tidak hanya pada diri kita tetapi ia menjangkaui orang lain yang berada di sekeliling kita. Kasih sayang keluarga lebih terjalin erat dengan berbuka, bertarawih, membeli baju baru kepada anak-anak. Buat isteri tersayang pula pengorbanan menyediakan makanan dari rezeki suami yang halal dari sahur hinggalah berbuka puasa mempunyai nilainya yang tersendiri. Ia nikmat yang tidak terhingga seolah-olah Ramadhan adalah kursus praktikal rumahtangga bahagia yang dididam-idamkan oleh pasangan yang bertaut kerana Allah.



Ramadhan juga menimbulkan keinsafan kepada mereka yang tidak bernasib baik dari kalangan fuqara dan masakin. Mereka menimbulkan keinsafan lalau memberi ruang untuk kita berbakti dan membela nasib mereka. begitu juga dengan golongan fi sabilillah yang jasa mereka memberikan tumpuan untuk Islam dihargai melalui zakat dan infaq yang datang mencurah-curah. Alangkah hebatnya bulan Ramadhan dengan keberkahannya membuatkan limpahan sifat pemurah dari kita yang selama ini tersekat dilepaskan untuk kebaikan golongan-golongan ini.



Al Quran bagai irama dan lagu dengan Ramadhan tidak terpisah umpama isi dan kuku. Kehebatannya mengingatkan hubungan dengan langit yang selama ini pintu hati manusia tertutup untuk menikmati hidangan Al Quran, ia hidangan Rahman yang dihidangkan kepada hambanya melalui munajat dan doa yang tidak akan ditolak kerana langit sentiasa terbuka pada malam-malam Ramadhan. benarlah kata hadis qudsi: "..barangsiapa yang berkata kata dengan hujah al-quran benarlah hujahnya, barang siapa yang beramal dengannya diberi ganjaran, barangsiapa yang berhukum dengannya pasti adil dan barangsiapa yang menyeru ke jalannya telah pasti dia menyeru ke jalan yang lurus"



Sifat pemurah manusia di bulan bulan ini telah menyerikan pakej Ramadhan. Ke mana sahaja kita pergi sambutan sumbangan orang ramai demi memenuhi dana membela golongan yang berhak amatlah hebat sekali. Para jamaah di mesjid dan surau di Kuala Lumpur khususnya menunjukkan satu akhlak yang mulia dalam mengikis sifat bakhil yang menghalang manusia dari berbelanja di jalan Allah.



Mengenangkan semua itu dan pada saat saya menulis di malam 1 syawal air mata tidak tertahan mengalir kerana terpaksa berpisah dengan tetamu mulia Ramadhan Al Mubarak. Tetamu ini datang dengan penuh penantian oleh pencintanya dan dia pergi ditangisi jua oleh pencintanya. Menangis bukan sekadar sedih dan pilu tetapi bimbang apakah pencintanya akan bertemu lagi dengan tetamu agung ini tahun depan? Ya Allah ketemukan kami dengan Ramadhan lagi dan jadikan kami hambamu yang bersyukor di Syawal ini. Dari jendela rumah, kedengaran Takbir Raya sayup kedengaran dan di dalam hati saya terbisik firmanNya:"..hendaklah kamu sempurnakan masa Ramadhan untuk berpuasa dan kemudian bertakbirlah di atas apa yang diberi petunjuk kepada mu (1 syawal) dan moga-moga tergolonglah kamu di kalangan hamba-hambanya yang bersyukor.." Allaho Akbar, Allaho Akbar Wa lillahhil Hamd!




Mujahid Yusof Rawa
1Syawal




(Tulisan ini didekasikan untuk para penyumbang yang membantu Tabung Infaq Ramadhan Parlimen Parit Buntar yang telah selesai diadakan sepanjang Ramadhan, terimakasih kerana diberi penghormatan mendapat jasa sahabat, anak murid, rangkaian ukhuwah dan penderma lain yang tidak mahu namanya disebut, moga Allah memberkati niat kalian)

Zakat Dalam Perspektif

MASALAH INSTITUISI ZAKAT DALAM PERSPEKTIF

Isu konflik JAIS dan Gereja Metodis Damansara Utama (GMDU) telah membuka ruang kepada berbagai permasalahan lain, antaranya melibatkan persoalan instituisi penguatkuasa Islam dari sudut perundangannya dan arahtuju pendekatannya dalam menjalankan tugas-tugasnya. Begitu juga persoalan yang timbul dari sudut usaha Pemerintah dalam menangani persoalan murtad yang menjadi topik panas mendasari konflik JAIS vs GMDU. Topik yang mendapat liputan besar selepas perhimpunan aman Bersih ini turut mengheret persoalan instituisi zakat yang dikatakan gagal menangani permasalahan kemiskinan yang diambil kesempatannya oleh pihak Gereja untuk ‘memurtadkan’ umat Islam.


Saya tertarik untuk menyentuh persoalan zakat walaupun kegagalan inistituisi ini bukanlah segala-segalanya punca kepada berlaku pemurtadan dan tidak adil pula untuk kita sekadar melontarkan sesuatu alasan tanpa memberi penilaian yang objektif kepada apa sebenarnya yang berlaku di sebalik ‘kegagalan’ ini. Al Fadhil bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr Mohamad Asri Zainal Abidin (Maza) lantang mengheret permasalahan disebalik konflik JAIS vs GMDU kepada instituisi zakat di mana Dr Maza mempersoalkan ke mana pergi duit-duit zakat yang seharusnya membela umat Islam yang miskin dan susah sekaligus menghalang mereka daripada menjadi mangsa pihak gereja yang mengambil kesempatan di sebalik kemiskinan di kalangan orang Melayu Islam.Dr Maza juga memberikan buah fikirannya secara umum mengapakah kegagalan ini berlaku namun tidak menyentuh secara spesifik instituisi zakat negeri manakah yang dimaksudkan.


Sebelum saya membuat sedikit komen kepada heretan Dr Maza ini, saya ingin menyinggung beberapa perkara yang membabitkan permasalahan murtad yang dikaitkan dengan soal kemisikinan. Isu penglibatan pihak Gereja yang mengambil kesempatan ‘menolong’ orang susah di kalangan umat Islam bukan sahaja berlaku di Malaysia malah perdebatan ini mendapat perhatian oleh ulamak dan umarak di seluruh dunia Islam khususnya di negara-negara Islam yang miskin. Perdebatannya bukanlah tentang bantuan yang dihulurkan tetapi persoalannya ialah ‘mengambil kesempatan’ dari bantuan tersebut untuk memurtadkan umat Islam. Setiap bantuan yang dihulurkan mestilah ikhlas dan tidak boleh berselindung di sebalik bantuan niat untuk menukar agama seseorang. Alasannya mudah, agama mana-manapun, baik Islam seharusnya mempamerkan kekuatan agamanya melalui hujjah intipati agamanya untuk meyakinkan orang ramai dan bukan melalui ‘paksaan’. Mengambil kesempatan atas kemiskinan untuk seseorang menganut sesuatu agama adalah bentuk ‘paksaan’ yang lembut dan semestinya ditolak cara ini. Di atas dasar ini, apa juga cara yang tidak lahir dari keyakinan kepada intipati agama tertentu tetapi melalui kaedah lain untuk memeluk sesuatu agama seperti secara sihir atau atas dasar percintaan semata-mata antara pasangan yang berlainan agama boleh dianggap sebagai merobek ruang kebebasan beragama dan telah mencemarkan erti pemelukan agama yang sebenarnya. Ya kita tidak menghalang pihak Gereja untuk membuat kebajikan, yang semestinya ditentang ialah berselindung di sebalik bantuan dan kemiskinan orang lain untuk memurtadkan orang yang sudah beragama.


Dalam Islam peruntukan zakat kepada ‘mualaffatu qulubihim’ (muallaf) walaupun diperuntukan dalam bentuk wang ringgit mesti difahami di atas premis bahawa seseorang itu sudahpun jinak hatinya dengan Islam (walaupun belum Islam lagi) melalui dakwah intipati Islam yang telah dijalankan dan peruntukkan itu bukan kerana kemiskinannya tetapi kerana menghargai hatinya yang sudah berjinak dengan Islam. Pada zaman Umar Ibnu Khattab r.a, definisi muallafatu qulubuhim diberi makna baru apabila mengikut ijtihad beliau, hanya yang baru memeluk Islam diberikan peruntukan zakat dan bukan yang belum Islam tetapi jinak hatinya dengan Islam. Hari ini pengagihan zakat secara resmi kepada muallaf adalah mengikut pendefinisian Umar r.a. Sebab itulah, adalah satu kesilapan untuk kita menganggap zakat asnaf muallaf adalah kerana kemiskinan dan sebab itulah para mualaf juga harus memahami bahawa mereka tidak boleh selamanya mengharapkan peruntukan zakat atas asnaf ini kerana dikhuatiri bahawa mereka memeluk Islam semata-mata kerana kepentingan duit ringgit dan bukan kerana keyakinan kepada intipati agama Islam.


Berbalik kepada persoalan ‘kegagalan’ instituisi zakat, kita seharusnya menilai permasahan ini secara ‘attributive’ demi mencari jawapan yang objektif dan bukan emotif. Saya bersetuju bahawa instituisi zakat tidak memaksimakan keberkesanan peranannya, tetapi ada beberapa persoalan yang harus dibereskan terlebih dahulu untuk insitituisi ini menjadi berkesan. Saya yakin Dr. Maza sebagai bekas Mufti Perlis lebih arif mengapa ini berlaku kerana saya mengandaikan beliau berada dalam jawatankuasa urusan zakat di Perlis satu ketika dahulu dan tahu bagaimanakah pengurusan zakat di sana. Ataupun mungkin pembaca artikel beliau boleh berkongsi pengalaman bagaimana usaha yang telah beliau jalankan untuk memaksimakan keberkesanan pengagihan zakat di Perlis satu ketika dahulu supaya negeri lain dapat mempelajarinya. Bagi memahami instituisi zakat, kita seharusnya memahami keabsahan kerangka institusi ini wujud dan apakah undang-undang yang melindungi kewujudannya selaku instituisi serta bagaimanakah struktur insitituisi zakat ini berfungsi dan apakah cabaran-cabaran yang dihadapinya dalam menjalankan tugas secara berkesan.


Dari sudut keabsahan wujudnya zakat sebagai instituisi, pada awalnya ia berada kepada kuasa majlis agama masing-masing dan bagi negeri-negeri Melayu, Sultan atau Raja-raja Melayu adalah pemegang amanah kepada kutipan dan pengagihan zakat. Pulau Pinang yang tidak mempunyai Raja Melayu contohnya, adanya Peraturan Fitrah Pulau Pinang 1962 dan kemudian Peraturan Pungutan Zakat dan Fitrah Pulau Pinang dalam tahun 1979. Penubuhan PUZ (Pusat Urus Zakat) di negeri-negeri lain pula adalah sebahagian daripada usaha menswastakan institusi zakat bagi mempertingkatkan keberkesanannya. Setiap negeri mempunyai keabsahan undang-undang zakat sendiri kerana ia berada pada kuasa kerajaan negeri masing-masing. Malangnya di sebalik instituisi zakat dianggap sebagai mempunyai peranan besar dalam masyarakat ia masih ‘menumpang’ sistem yang sedia ada. Dengan kata lain ia bukan berada pada arus perdana yang memimpin usaha-usaha membasmi kemiskinan tetapi ia hanya menumpang satu sistem lain yang menganggap instituisi zakat hanya satu bentuk instituisi keagamaan untuk umat Islam menjalankan tugasnya. Walaupun ada peruntukan enakmen penguatkuasaan namun ia longgar apatah lagi dengan kekurangan tenaga kerja pihak yang mengendalikan zakat. Jadi untuk kita membuat andaian kegagalan tanpa melihat kerangkar besar kewujudan institusi zakat itu dan kengkangan yang ada kepadanya adalah sesuatu yang tidak adil.


Struktur zakat sebagai sebuah entiti organisasi yang berdaftar di bawah Pendaftaran Syarikat turut memainkan peranan dari sudut keberkesanan. PUZ Pulau Pinang contohnya dipimpin oleh Pengerusi bersama dengan 10 lembaga pengarah. Seorang CEO dilantik sebagai Pengurus Besar PUZ yang mengendalikan pentadbiran eksekutif PUZ. PUZ dari sudut Jabatanya terdiri daripada Jabatan Kutipan dan Pemasaran, Jabatan Pengurus Besar, Jabatan Agihan an Pembangunan Masyarakat. (rujuk http://www.zakatpenang.com). Masalah yang dihadapi antaranya ialah Lembaga Pengarah tidak berperanan menentukan halatuju PUZ secara strategik, ini adalah kerana perlantikan Lembaga Pengarah adalah perlantikan politik dan kurangnya tumpuan untuk memimpin halatuju insitituisi zakat. Selain itu saya setuju bahawa budaya institusi zakat ini terperap dengan perintah-perintah dari orang politik atau pihak tertentu dan kerana itu pihak pengurusan lebih tertumpu untuk menyedapkan orang-orang politik dan pihak tertentu daripada memainkan peranannya secara berkesan. Apa yang berlaku ialah sesuatu bantuan itu hanya tertumpu di DUN tertentu kerana digunakan untuk meraih sokongan politik, akhirnya sasaran bantuan sebenarnya tersasar atau bantuan hanya di tempat-tempat tertentu sahaja. Kewujudan PUZ dan pengaruh politik negatif akan senantiasa menggagalkan keberkesanan PUZ di mana sahaja mereka berada dan siapa sahaja yang menguasai kerajaan-kerajaan negeri.


Saya mencadangkan supaya hubungan PUZ di mana-mana dengan politik mestilah atas dasar rakan bijak yang boleh membantu halatuju PUZ, bukan ‘tuan’ yang menguasai halatuju PUZ. Kalaupun ada input daripada ahli politik mestilah bersesuaian dengan halatuju PUZ dan bukan PUZ tunduk kepada selera ahli politik. Secara hubungannya, organisasi PUZ hanya berhubung dengan Jawatankuasa Qaryah dari sudut maklumat dan data tentang orang-orang miskin dan yang memerlukan pembelaan. Tidak dinafikan Pusat-pusat khidmat DUN dan Parlimen pun mempunyai senarai, jikalau itu boleh membantu maka penyelarasan yang baik akan melahirkan rakan kepada PUZ untuk memaksimumkan pengagihan zakat kepada yang layak. Dengan cara itu PUZ mempunyai rakan lain selain dari saluran biasa yang mungkin tidak mampu membekalkan data yang menyeluruh.


Dari sudut cabaran-cabaran yang dihadapi, masalah paling besar pengagihan ialah data yang tidak lengkap dan sistem pungutan data yang konvensional, dengan kata lain tidak ada data yang terkumpul secara statistic dan tersusun. Dalam hal ini PUZ Pulau Pinang memulakan langkah awal dengan menubuhkan Jabatan Statistik dan bekerjasama dengan amil-amil dengan membekalkan mereka maklumat yang mereka perlu untuk mencari data fakir miskin. Amil-amil yang hanya dianggap pengutip zakat seharusnya ditingkatkan perananya menjadi ejen-ejen yang dibimbing untuk mengutip dan memantau data-data yang dikumpulkan. Selain itu cabaran sumber manusia yang tidak mencukupi untuk mengendalikan organisasi zakat turut menjejaskan keberkesanan fungsinya. Bagi instiuisi zakat yang diswastakan seperti Pulau Pinang, organsiasi ini bergantung kepada sumber kewangan dari bahagian Amil dan kerana itu ia perlu berhati-hati membelanjakan bahagiannya. Kerajaan negeri seharusnya memperuntukkan geran untuk pengurusan PUZ negeri supaya mereka dapat menguruskan keperluan sumber manusia dengan lebih berkesan. Perbelanjaan sesetengah PUZ yang mewah dalam perjalanan-perjalanan ke luar negara turut menjejaskan perbelanjaan yang berhemah. PUZ Pulau Pinang baru-baru ini mengorak langkah berhemah apabila mengurangkan bilangan peserta ke luar negara dalam lawatan resmi Lembaga Pengarah dan pentadbiran ke Timur Tengah.


Paling besar cabaran ialah membuat perubahan kepada aspek budaya organisasi PUZ yang seharusnya bersikap professional. Cabaran trek budaya dalam mana-mana organsiasi memang sukar tetapi kita tidak ada pilihan. PUZ Pulau Pinang telah mengorak langkah dengan kertas yang dibentangkan untuk melakukan pembudayaan semula dalam satu pemukiman 3hari untuk menilai semula dan memperkasakan peranan. Trek pembudayaan akan memberi kesan kepada satu lagi aspek penting untuk PUZ melonjak ke arah reformasi iaitu meningkatkan Kepercayaan kepada instituisi zakat. Ini termasuk membudayakan ketelusan pengagihan dan perbelanjaan serta menjadi pilihan umat Islam untuk menyumbang zakat mereka. Maksud saya , kerana kurang kepercayaan ada di kalangan masyarakat Islam yang lebih selesa membayar zakat kepada pihak lain.


Saya amat bersetuju instituisi zakat dipertingkatkan mutu profesionalisma , saya bersetuju instituisi zakat direformasikan dan saya setuju orang politik membantu halatuju zakat dan bukan menggunakan zakat untuk kepentingan politik mereka dan yang utama ahli lembaga pengarah zakat semestinya membekalkan kepimpinan dan dasar strategik bagi melicinkan perjalanan pentadbiran zakat. Saya cuma tidak bersetuju apabila kenyataan yang umum tidak membantu peningkatan instituisi zakat dan lebih buruk ia akan terus menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap insititusi penting untuk umat Islam hari ini. Negeri-negeri yang sedar peranan yang sepatutnya dimainkan oleh instituisi zakat seharusnya membebaskan zakat dari cengkaman pengaruh politik mahupun individu tertentu, zakat bukan milik pihak tertentu tetapi milik umat Islam yang diamanahkan untuk dikendalikan pengurusannya dan pentadbirannya kepada pihak tertentu.

YB Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Ahli Lembaga Pengarah PUZ Pulau Pinang
Pengerusi Promosi dan Pemasaran PUZ Pulau Pinang

Monday, August 22, 2011

Perginya "seorang tua di kaki gunung"

Azizi Abdullah nama dikenali kerana "seorang tua di kaki gunung" saya mengenali beliau sebagai sahabat dalam perjuangan. Perjuangan beliau bukanlah baru, sebelum ini beliau aktivis pengguna dan telah menyumbang berbagai penulisan bagi menimbulkan kesedaran pada orang ramai. Pertama kali saya bertemu dengannya ialah pada tahun 2001 semasa dijemput untuk berceramah di Kulim. Saya bertemu dengannya semasa kuliah magrib. Saya tidal mengenali beliau pada mulanya, tubuhnya yang kecil dan agak rendah suaranya menyebabkan siapa pun tidak menyangka beliau adalah Azizi Abdullah. Dia berpakaian jubah putih berkolar malam itu. Selepas isya kami berceramah dan semangat nampaknya orang ini, hanya setelah ceramah saya diperkenalkan Azizi Abdullah si sastrawan hebat. Mulai saat itu kami berkawan.

Terakhir bersamanya dalam program ialah di Kolej Insaniah Kedah di mana kami disatukan dalam Forum Nusantara bersama professor dari Thailand Dan Indonesia. Tahun sudah saya menziarahi beliau di hospital Pulau Pinang semasa menanti jadual pembedahannya. Beliau kelihatan sehat dan ceria menceritakan pada saya beliau sibuk mengisi borang LHDN untuk diisi kerana royalty yang diterimanya. Saya mendoakan kesihatannya dan meninggalkan beliau dengan harapan segera menjalani pembedahan jauntung dengan selamat. Itulah kali terakhir saya bertemu denganya.

Semasa berita pemergian sahabat saya ini diterima, saya termenung mengenangkan ketajaman penanya. Satu buku yang saya terkesan karangan allahyarham ialah "jiwa hamba" Moga Allah mencucuri Rahmat ke atas Azizi Abdullah "seorang tua di kaki gunung"

Dr Mujahid Yusof Rawa
9.15 pg, 22 Ramadhan
Parit Buntar

Sunday, August 21, 2011

Orang Susah bantu orang Susah

Saya sering menyifatkan diri saya sebagai orang susah memberi bantuan pada orang susah. Yalah apa tidaknya selama 3 tahun menjadi wakil rakyat, saya tidak diberi peruntukan yang layak sebagai wakil rakyat kecuali gaji saya. Menjalankan tugas sebagai wakil rakyat bukanlah mudah apatah lagi terpaksa menggunakan dana yang besar bagi kerja kebajikan. Namun setakat ini saya masih hidup Dan bernafas walaupun sesekali sesak juga. Saya berasa terharu dengan simpati kawan kawan dan mereka yang memahami situasi kami. Saya terpaksa merayu dan mengadu kepada jamaah-jamaah di tempat saya mengajar dan berkuliah dan mereka banyak membantu saya meringankan beban ini.

Satu kisah yang menyentuh hati saya ialah apabila saya pergi ke satu tempat di kepala batas untuk berbuka puasa dan tazkirah. Tempat itu di pinggiran pekan Kepala Batas dan kebetulan tempat itu adalah antara cawangan Pas yang awal. Ayah saya yang mereka panggil Pak Yusof Rawa kebetulan kerap menziarahi cawangan ini untuk mengukohkannya, kini cawangan itu sudah ada Balai Islamnya sendiri hasil orang kampong kumpul duit mereka mempunyai aktiviti yang hebat juga di sekitar kawasan itu. Jemputan mereka tak mungkin saya tolak mengenangkan jasa ayah saya di cawangan mereka,malah sebahagian besar kepimpinan di cawangan itu per ah menjadi kepimpinan Pemuda Pas zaman ayah saya dan mereka bangga menceritakan bagaimana mereka senantiasa mendampingi ayah saya ke sana kemari mengiringi ayah yang ketika itu Presiden Pas. Apa yang menyayat hati ialah sebaik sahaja tamat program bendaharinya menghulurkan sampul surat sambil memegang erat tangan saya seraya berkata: "maaf ustaz, inilah saja yang kami dapat membantu kawasan ustaz bagi meringankan began ustaz, kami tau ustaz susah di sana" kata-kata itu benar-benar meruntun hati saya mahu saya menangis di situ juga tetapi saya menahan sebabk di dada. Semasa hendak pulang,Abang Lah ketua cawangan berbisik pada saya:"ustaz nanti nak balik singgah sat rumah saya, ada nak bagi beras sikit" masyaallah saya berkata dalam hati besarnya hati mereka ini. Saya terharu kerana mereka pun susah tetapi jiwa untuk membantu dan meringankan beban saya, saya cukup kagumi. Dalam perjalanan pulang hati saya sayu Dan sebak setiap kali mengenangkan kemulian jiwa mereka membuatkan saya insaf.

Kelmarin saya berucap dalam majlis sumbangan fakir miskin di Parit Buntar dan menceritakan perihal orang susah membantu orang susah untuk sumbangan pada orang susah. Saya memberi contoh di sebuah cawangan Pas pinggiran Kepala Batas. Rupa rupanya selesai majlis, ada seorang berbisik ke telinga saya: "Yb..ni Ada orang miskin bagi kat YB," rupanya dalam beg kertas Ada beberapa sampul duit. Saya bertanya: "apa ni" katanya "ni duit yang dia dapat dari orang lain,dia bagi kat tabung infaq, dia ambil duit yang YB bagi aja, yg lain dia nak infaq" Subhannallah, sekali lagi saya sebak Dan menahan di dada saya. Ketika saya menulis artikel ini saya tidak henti mengalir air mata. Orang senang bantu orang susah biasa, tetapi orang susah bantu orang susah..? Ini satu keajaiban, apakah ini satu pengajaran buat saya supaya sentiasa insaf sebagai seorang Yb? Ya Allah hamba mu ini cukup kerdil,Bantulah hamba mu ini ya Allah!

Tuesday, August 16, 2011

Di Sebalik Larangan Mufti P.Pinang

Pulau Pinang memang mendapat perhatian yang cukup meluas sejak 2008 tapi malangnya tumpuan media ke Pulau Pinang lebih berniat malafide dan kadang-kadang berbaur fithan dan pembohongan. Paling menarik isu Pulau Pinang ialah berligar di sekitar isu Melayu dan Islam di Pulau Pinang dengan mesej perkauman yang rumusannya ialah tentang penindasan kerajaan Dap ke atas orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang.

Terkini ialah isu larangan membaca Al Quran dengan menggunakann pembesar suara dari corong mesjid dan surau. Sememangnya telah diduga keputusan dari Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang tentang isu ini akan mengundang kontraversial dan pastinya menjadi bola tanggung bagi Umno dan sekutunya untuk membidas dan melibas kerajaan negeri mengikut tema serangan media
yang sudah ditetapkan oleh sutradara-sutradara di Putrajaya.

Tidak sukar untuk mengenali modus operandi media perdana yang bertaraf longkang di Malaysia ini kerana gaya pemikiran mereka mendatar dan mudah dibaca, apatah lagi latarbelakang perundangan yang mencengkam pengamal media perdana hari ini menyebabkan media di Malaysi tidak berada pada tahap kebebsan yang sepatutnya.

Apapun isu ‘larangan membaca Al Quran dari corong pembesar suara mesjid dari pejabat Mufti Pulau Pinang sekali lagi akan menjadi mangsa media yang bagai harimau lapar menanti sahaja peluang yang ada untuk menyerang mangsanya.

Saya memulakan penulisan ini dengan menyentuh pihak media kerana merekalah yang bertanggungjawab untuk mengkaburkan keadaan dan mengeksploitasikan keadaan untuk melaksanakan agenda menyerang kerajaan negeri Pulau Pinang. Saya kesal kerana isu pokok
pandangan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dalam kes ini telah dikaburkan manakala tambahan ‘rempah ratus’ menyedapkan golongan pemfitnah terus digembar-gemburkan sehingga asal permasalahan diabaikan. Ini sesuatu yang tidak adil kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipesongkan niat asal keputusan itu dibuat.

Saya melihat isu ini dalm perspektif yang objektif kerana asas keputusan itu dibuat jauh dari sebarang kepentingan politik atau campurtangan politik. Kedua, keputusan itu dibuat mengikut kerangka dan proses kerja Jabatan Mufti dan bukan dalam kerangka Exco Agama Pulau Pinang dan jauh sekali Pejabat Ketua Menteri.

Dari awal lagi asas keputusan dibuat tiada unsur kepentingan pentadbiran kerajaan negeri. Jabatan Mufti bertindak di atas kes aduan yang dibuat dan Jawatankuasa Fatwa akan berbincang dengan bantuan unit penyelidikan di Jabatan Mufti dengan merujuk kepada kes yang diadukan.

Dalam hal ini kes yang diadukan ialah hukum penggunaan pembesar suara yang memperdengarkan ayat-ayat Al Quran dari corong mesjid dan surau. Aduan ini juga beralasankan bahawa perbuatan itu ‘mengganggu’ suasana sekeliling. Jawatankuasa Fatwa bersidang bagi menjawab persoalan ini. Dorongan keputusan di sini jelas datang dari proses biasa apabila sesuatu kes diadukan untuk mendapatkan hukum Islam dalam hal ini.

Kerakusan media ‘membelasah’ pandangan ini melalui kenyataan-kenyataan yang provokatif telah memburukkan institusi pembuat keputusan dalam Islam dan kedudukan Mufti sendiri sebagai Penasihat Raja-Raja Melayu. Apakah kerana kenyataan keputusan ini datang dari Pejabat Mufti Pulau Pinang maka ia tidak perlu dihormati? Apa bezanya institusi Mufti Pulau Pinang dengan yang lain?

Mengapa Perlis yang sudahpun membuat keputusan larangan ini tidak kecoh dan heboh? Mengapakah Perlis tidak dilabel sebagai negeri yang  mahu ‘meminggirkan Islam’ dengan larangan ini, sedangkan Pulau Pinang dicop demikian. Apa beza larangan yang dibuat oleh Pejabat Mufti Perlis dengan yang di Pulau Pinang?

Adapun beberapa pihak yang mendakwa bahawa YDP Agung tidak dirujuk, mereka jahil tentang proses sesuatu keputusan dibuat. Apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang hanyalah pendapat tentang hukum kes yang dirujukkan, ia belum menjadi fatwa selagi tidak dipersembahkan kepada Agung dan selalunya Agung akan menghormati keputusan Mufti yang lebih arif tentang hukum hakam Islam.

Jawatankuasa Fatwa yang meneliti kes yang dirujuk tidak perlu berbincang dengan YDP Agung, hanya setelah hendak diwartakan barulah perlu mendapat perkenan Agung. Sehingga kini status keputusan hanyalah di peringkat Jawatankuasa dan tidak boleh dikuatkuasakan walaupun tanggungjawab pihak yang terlibat ialah mengormati keputusan.

Merujuk kepada soalan mengapa Fatwa Kebangsaan tidak dimaklumkan, ia adalah satu lagi kejahilan pihak tertentu tentang proses dan hubungan dengan Fatwa Kebangsaan. Sama kesnya dengan Isu “Pengharaman Poco-Poco” Fatwa Kebangsaan tidak dimaklumkan awal tentang keputusan itu, hanya setelah dibincangkan Fatwa Kebangsaan menolak tetapi menghormati keputusan Mufti Perak.

Maknanya penerimaan atau penolakan Majlis Fatwa Kebangsaan terpulang kepada Muzakarah yang dibuat dan jika ditolak ia hanya di peringkat kebangsaan sahaja dan Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan negeri masing-masing. Mengapa peraturan ini tidak dipakai untuk kes keputusan Mufti Pulau Pinang?

Saya belum sempat lagi menulis tentang dalil keputusan larangan yang bagi saya cukup syar’ie dan ada dalil yang kukoh dan perlu dihormati. Janganlah kita kerana tenggelam dengan  garis politik sempit dan dendam sanggup membutakan mata kita dengan perkiraan syari’e yang  menjadi asas kepada setiap perkara dalam tindak tanduk kita. Malangnya orang Melayu sendiri yang memperbodohkan diri mereka dalam isu ini sehingga tersingkaplah wajah mereka sebenarnya yang kononya menjadi pembela Islam tetapi untuk Pulau Pinang mereka membelasah institusi Islam semahu-mahunya! Saya amat menyokong pandangan Mufti dan  syabas kerana berani berkata benar walaupun pahit.

Mujahid Yusof Rawa
MP Parit Buntar
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional
There was an error in this gadget