Saya sering menyifatkan diri saya sebagai orang susah memberi bantuan pada orang susah. Yalah apa tidaknya selama 3 tahun menjadi wakil rakyat, saya tidak diberi peruntukan yang layak sebagai wakil rakyat kecuali gaji saya. Menjalankan tugas sebagai wakil rakyat bukanlah mudah apatah lagi terpaksa menggunakan dana yang besar bagi kerja kebajikan. Namun setakat ini saya masih hidup Dan bernafas walaupun sesekali sesak juga. Saya berasa terharu dengan simpati kawan kawan dan mereka yang memahami situasi kami. Saya terpaksa merayu dan mengadu kepada jamaah-jamaah di tempat saya mengajar dan berkuliah dan mereka banyak membantu saya meringankan beban ini.
Satu kisah yang menyentuh hati saya ialah apabila saya pergi ke satu tempat di kepala batas untuk berbuka puasa dan tazkirah. Tempat itu di pinggiran pekan Kepala Batas dan kebetulan tempat itu adalah antara cawangan Pas yang awal. Ayah saya yang mereka panggil Pak Yusof Rawa kebetulan kerap menziarahi cawangan ini untuk mengukohkannya, kini cawangan itu sudah ada Balai Islamnya sendiri hasil orang kampong kumpul duit mereka mempunyai aktiviti yang hebat juga di sekitar kawasan itu. Jemputan mereka tak mungkin saya tolak mengenangkan jasa ayah saya di cawangan mereka,malah sebahagian besar kepimpinan di cawangan itu per ah menjadi kepimpinan Pemuda Pas zaman ayah saya dan mereka bangga menceritakan bagaimana mereka senantiasa mendampingi ayah saya ke sana kemari mengiringi ayah yang ketika itu Presiden Pas. Apa yang menyayat hati ialah sebaik sahaja tamat program bendaharinya menghulurkan sampul surat sambil memegang erat tangan saya seraya berkata: "maaf ustaz, inilah saja yang kami dapat membantu kawasan ustaz bagi meringankan began ustaz, kami tau ustaz susah di sana" kata-kata itu benar-benar meruntun hati saya mahu saya menangis di situ juga tetapi saya menahan sebabk di dada. Semasa hendak pulang,Abang Lah ketua cawangan berbisik pada saya:"ustaz nanti nak balik singgah sat rumah saya, ada nak bagi beras sikit" masyaallah saya berkata dalam hati besarnya hati mereka ini. Saya terharu kerana mereka pun susah tetapi jiwa untuk membantu dan meringankan beban saya, saya cukup kagumi. Dalam perjalanan pulang hati saya sayu Dan sebak setiap kali mengenangkan kemulian jiwa mereka membuatkan saya insaf.
Kelmarin saya berucap dalam majlis sumbangan fakir miskin di Parit Buntar dan menceritakan perihal orang susah membantu orang susah untuk sumbangan pada orang susah. Saya memberi contoh di sebuah cawangan Pas pinggiran Kepala Batas. Rupa rupanya selesai majlis, ada seorang berbisik ke telinga saya: "Yb..ni Ada orang miskin bagi kat YB," rupanya dalam beg kertas Ada beberapa sampul duit. Saya bertanya: "apa ni" katanya "ni duit yang dia dapat dari orang lain,dia bagi kat tabung infaq, dia ambil duit yang YB bagi aja, yg lain dia nak infaq" Subhannallah, sekali lagi saya sebak Dan menahan di dada saya. Ketika saya menulis artikel ini saya tidak henti mengalir air mata. Orang senang bantu orang susah biasa, tetapi orang susah bantu orang susah..? Ini satu keajaiban, apakah ini satu pengajaran buat saya supaya sentiasa insaf sebagai seorang Yb? Ya Allah hamba mu ini cukup kerdil,Bantulah hamba mu ini ya Allah!
2 comments:
Dari poket orang susah ke poket orang susah
Orang lama yang pernah saya jumpa dalam perjuangan ni, ada pesan. Kalau hang nak letak harap dan percaya, kalu hang jumpa orang yang ada 3 keping syiling sekupang dalam celpa tembakau dia, lalu dia derma 2 keping, makna hang dah jumpa pejuang boleh harap. Dia takkan lari kalau diuji harta, darah, nyawa.
Post a Comment