Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Wednesday, July 27, 2011







NEGERI SERBA SATU DAN BADUT-BADUT





Agak kepelikan sesuatu yang ‘Bersih’ dianggap ‘Haram’? Situasi nampaknya semacam cerita filem suspens. Pada 5hb July pemimpin Bersih mengadap TYDP Agung di Istana untuk membincang dan mendapat pandangan Tuanku tentang himpunan Bersih yang dikotorkan oleh pihak-pihak tertentu. TYDP Agung berkenan untuk menasihati bahawa eloklah diadakan di Stadium bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. Pemimpin Bersih di bawah wanita besi Ambiga bersetuju dan dimasyhurkanlah keputusan TYDP Agung itu kepada rakyat Malaysia. Ikutilah catatan saya di bawah dalam kisah negara Serba Satu Merebut Gelaran Bapa Badut. Begini ceritanya…..




Tamparan titah Tuanku itu kepada Mamak Bendahara Najib amatlah sakit kerana sebelumnya mamak bendahara telah mengecop Bersih sebagai haram. Mana boleh pertubuhan haram mengadap Tuanku? Kedua Mamak Bendahara Najib tergamam kerana cadangan Tuanku yang mahukan hak berhimpun dipelihara dengan mencadangkan diadakan di Stadium. Ketiga Mamak Bendahara Najib malu betapa badutnya Ketua Keselamatannya kerana sepatutnya dia yang menasihati Bersih dan memelihara hak berhimpun itu, tak perlulah Tuanku. Keempat, badut-badut lain yang menjilat-jilat di bawah Mamak Bendahara terjelir lidah mereka kerana Mamak Bendahara bersetuju dengan berat hati diadakan juga di Stadium walaupun sebelumnya menganggap Haram.




Laksamana-laksamana Bersih mencanangkan kepada rakyat-rakyat sekelian bahawa Tuanku perkenan diadakan juga perhimpunan ini dalam stadium, gegak gempitalah suara sorak rakyat-rakyat sekelian dengan laungan ‘Daulat Tuanku!’ dan Mamak Bendahara Najib pun tersenyum tersipu-sipu bukan malu tetapi ‘bengang’ kerana kebodohannya terselah sudah bagai bibirnya yang merah itu. Askar-askar upahan Perkasa dan Patriot yang sebelumnya beriya-iya menentang Laksamana-laksamana Bersih turut tersipu-sipu menumpang kebodohan Mamak Bendahara kerana mereka tidak diperkenankan berjumpa dengan TYDP Agung walaupun beriya-iya menjilat-jilat hingga ke saat ini.




Ariakan bersoraklah rakyat marhaein menjunjung tinggi TYDP Agung kerana kebijaksanaan dan ketajaman Tuanku memelihara hak rakyat. Ketua Keselamatan menyalak-nyalak pada laksamana-laksamana Bersih seraya tangannya menunjuk-nunjuk beri amaran. “Tiada izin akan dikeluarkan untuk berhimpunan kerana Bersih haram!” Tercenganglah rakyat bukan kerana kagum dengan kehebatan Ketua Keselamtan ini tetapi terkejut melihat tahap akal yang ada padanya. Lagaknya lebih hebat dari Mamak Bendahara yang dibodohkan, mungkin Ketua Keselamtan ini berlumba-lumba untuk meningkatkan tahap kebodohan masing-masing supaya digelar “Bapa Badut” di bumi yang semuanya satu.
Maka dicanangkanlah nama-nama sekian pejuang negara yang pada tanggapan calon Bapa Badut ini akan menjejaskan ketenteraman rakyat jelata. Senarainya panjang seramai 91 orang. Tercenganglah lagi rakyat kerana selalunya nama yang dicanang oeh Ketua Keselamatan adalah penjenayah-penjenayah yang membuat onar tetapi senarai yang dicanangkan adalah orang-orang terhormat yang almaklum namanya yang harum. Ulamak Besar dan pemerintah negeri bawah naungan Tuanku turut disenaraikan, Ketua kumpulan pejuang yang taat setia kepada Tuanku disenaraikan juga malah ketua-ketua daerah bawah naungan Tuanku turut dipangkah oleh Ketua Keselamatan ini. Rakyat sekelian melihat betapa sungguhnya Ketua Keselamtan ini mahu merampas tahta Badut yang selama ini dipegang oleh Mamak Bendahara. Ada rakyat yang berbisik sesama mereka, elok juga Tuanku ada badut yang hebat, boleh juga menghibur Tuanku diistananya nanti bila hari tuanya.




Demikianlah rakyat terus mengadu betapa sekatan-sekatan di tengah jalan menyusahkan harian mereka, ada yang mahu ke kota besar kerana menghadiri kenduri sanak-saudara dan keponakannya tergendala, ada yang mahu mellihat bangunan tinggi di kota besar Tuanku terencat perjalanannya, malah kenderaan-kenderaan pendati pun disekat masuk maka hilanglah pelanggannya untuk mencari sesuap nasi buat anak isterinya. Calon Bapa Badut memohon maaf kerana katanya mahu menjaga keselamatan awam oleh Laksamana-laksamana Bersih yang datang mengganggu, tercengang lagilah rakyat-rakyat sekelian kerana Laksamana-laksamana Bersih ini mendapat perkenan Tuanku untuk berhimpun. Rakyat sekelian tertanya-tanya, walaupun marhaein adanya apakah calon Bapa Badut ini lebih bedsar dari TYDP Agung? Kerana gilakan gelaran Bapa Badut Ketua Keselamatan ini lupa bahawa pasukannya bernama Polis Di Raja, bukankah Tuanku ketuanya? Tetapi rakyat-rakyat sekelian tidak ambil peduli kerana kagum semangat badut yang ada pada Ketua Keselamatan ini.
Esok 9hb July adalah pesta rakyat merayakan bebas dari Badut-badut ini termasuklah yang cuba-cuba menjadi Badut. Esok rakyat sekelian akan menghormati titah Tuanku untuk berhimpun menjunjung kebijaksanaan kepimpinan Tuanku. Maka pencacai-pencacai Badut pun akan melepaskan nafsu amarah dengan menyembur-nyembur sana sini dan memukul-memukul dengan kayu kerana menjilat Ketuanya. Rakyat sekelian akan diterajang sehendak mereka dan penjara-penjara pun jadi sesaklah sehingga terpaksa dipenjara di kawasan yang luas. Demikianlah kisah sebuah negara yang semuanya satu tetapi mereka lupa ada sesuatu yang lebih besar namanya dari bumi ini, iaitu AHAD yang difahami oleh sekelian rakyat-rakyat sebagai TUHAN YANG SATU! Pastinya rakyat marhaein akan berserah kepada TUHAN YANG SATU yang turut tertawa melihat gelagat Badut Badut di bumi serba satu ini.
Sekian adanya catitan hamba yang hina lagi dhaif ini untuk pejuang-pejuang rakyat menjunjung titah Tuanku. DAULAT TUANKU!

EO DAN ISA: SEMPURNALAH SATU KEZALIMAN



















SALUTE KOMRADE!
Saya begitu simpati dengan dengan penahanan enam anggota PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat atau Emergency Ordinance (EO) di atas kesalahan “menentang Yang DiPertuan Agung” kononnya menghidupkan fahaman Komunis! Saya yakin saya tidak keseorangan menyatakan simpati terhadap mereka dan keluarga mereka yang ditahan, seluroh rakyat yang cintakan keadilan pasti ‘meluat’ dengan lagak regim yang sedang nazak sekarang terkial-kial cuba mempertahankan keabsahannya dengan cara yang menjijikkan. Apatah lagi dalam suasana simpati ini, saya mengenali Yb Jeyakumar, seorang komrade yang gigih memperjuangkan hak rakyat marhaein. Yb Sungei Siput ini terkenal sebagai seorang sosialis dalam makna yang positif dan memperjuangkan suaranya melalui saluran resmi PSM dan dirinya sebagai Ahli Parlimen. Penangkapan mereka di ambang 9 July di Pulau Pinang adalah satu yang malang bagi hak kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pendirian mereka. Penangkapan mereka memutarkan jam ke belakang untuk rakyat Malaysia yang sudah 59 tahun merdeka.


SIKAP PAS
Tidak syak lagi PAS sebagai sebuah parti Islam menentang akta dan ordinan ini, alasannya terlalu mudah untuk difahami kerana prinsip “Tidak bersalah sehingga terbukti bersalah” Prinsip ini dijulang sebagai mercu tanda keadilan dalam Islam yang disebut oleh Fuqaha Islam sebagai “Baraatuz Zimmah” Tanda keadilan itu dihormati ialah memberikan peluang kepada yang tertuduh hak untuk dibicara dan hak untuk mempertahankan dirinya. Islam juga mewajibkan bebanan bukti ialah di atas bahu orang yang menuduh dan bukan ke atas orang yang kena tuduh. Ini tidak termasuk konsep awal segala perundangan ialah sesuatu pertuduhan itu mestilah mempunyai merit dakwaan yang ada nilai-nilai perundangan. Sesuatu dakwaan tidak boleh mempunyai merit lain seperti politik ataupun bertujuan ‘malafide’ bertujuan jahat.
Berlatarbelakangkan prinsip-prinsip perundangan di atas saya berani mengatakan bahawa penahanan ke atas 6 orang komrade PSM bercanggah dengan semua nilai-nilai perundangan yang matlamatnya ialah untuk menegakkan keadilan. Penahanan mereka di bawah EO adalah satu bentuk pengadilan yang memualkan dalam masyarakat yang sudah maju pemikirannya dan lebih buruk daripada itu EO dan ISA adalah satu pembudayaan yang buruk dan tidak sesuai dengan pencapaian negara kita yang bangga dengan kemajuannya. Ketidak seimbangan antara kemajuan materil dan pemikiran tentang ‘Justice’ adalah episode malang buat rakyat di negara ini.


SELAMAT TINGGAL ZAMAN KUNO
Lagak regim yang terdesak memang sama di mana-mana, kerana gagal mempertahankan kedudukannya secara berperinsip dan bermaruah mereka akan mencari jalan lain untuk terus berkuasa walaupun ianya bercanggah dengan prinsip-prinsip moral dan perundangan. Akta yang digubal menjadi alat mudah untuk dieksploitasikan dengan mengekalkan kewujudannya walaupun ia sudah tidak releven lagi dalam konteks masakini. Pihak penguatkuasa yang memelihara undang-undang hanya menjadi ‘Pak Angguk’ kepada ‘Tuan-tuan Politik’ mereka dan bukan menjadi benteng menegakkan keadilan unuk rakyat. Zaman perhubungan tuan-hamba ini adalah zaman kuno ketika pendidikan dan kesedaran hak dan kebebasan masih dipenjara dalam bilik-bilik gelap penguasa. Islam telah mengeluarkan hak dan kebebasan dari kegelapan bilik-bilik ini dengan memberikan makna hak dan keadilan dengan cahayanya. Pada ketika makna Keadilan dan Hak ini disimbah cahaya, tertumpulah orang ramai kepadanya, lalu mereka mendapatkan cahaya itu dan meninggalkan penguasa-penguasa yang zalim dan pendokongnya terkapa-kapa. Seperti halnya hari ini perbuatan penguasa yang zalim sudah tidak laku dan tidak dipedulikan oleh rakyat, lalu mereka memaksa dengan ugutan dan ancaman supaya hubungan Tuan-Hamba dikembalikan , dengan itu mereka terus menerus menindas!

PERJUANGAN DITERUSKAN
Saki baki daki zaman feudal ini harus dikikis supaya kita aman dari ancaman mereka. Sememangnya bukan mudah untuk konsisten dalam satu sikap kerana kita akan diuji, namun kita tidak ada pilihan melainkan mempunyai azam dan jiwa yang kental. Hari ini 6 orang komrade kita dizalimi, esok siapa lagi? Selagi pemimpin zaman feudal kekal menguasai kehidupan rakyat Malaysia selagi itu tiada jaminan peristiwa tidak akan berulang. Kita yang masih bebas bersuara di luar ini mesti meneruskan suara yang dipenjarakan di dalam sana. Rintihan anak isteri dan suami mereka mesti dibela, kita tidak boleh berdiam diri dan mengambil sikap ‘selamat’. Kita mesti menyuarakan tentang kezaliman ini dengan apa cara sekalipun supaya suara kita memperjuangkan keadilan sampai dipelusok desa dan Bandar. PAS akan terus komited dalam kumpulan GMI (Gerakan mansuhkan ISA dan EO), kita telah membuktikan dalam satu perhimpunan besar tahun 2009, saya telah ditahan kerana perhimpunan itu tetapi kecil dan malu saya di atas nama mereka yang menjadi mangsa ISA dan EO kerana penderitaan mereka lebih hebat. Teruskan perjalanan kita demi keadilan!

SEMPURNALAH SUDAH KEZALIMAN
Sesuatu yang sempurna memang dinanti-nantikan kerana ia lambang satu kejayaan, tapi awas! bukan perkara yang baik sahaja yang sempurna, perkara yang jahat juga menuju kesempurnaan. Kini di saat negara menuju kepada lanskap politik baru dengan terjahan BERSIH dan kebobrokan regim yang Nazak, rakyat menaruh harapan kepada politik berperinsip dan berkebajikan. Sebelum saat itu tiba rakyat terpaksa menunggu satu ‘pencapaian’ regim UMNO/BN dan ia menandakan waktu untukmereka tunduk dan berundur, rakyat marhaein akan berkata: “…sempurnalah sudah kezaliman..”

SUARA HATI SAYA
YB DR MUJAHID BIN YUSOF RAWA
(MP PARIT BUNTAR)
(PENGERUSI PERPADUAN NASIONAL PAS)
BEBASKAN 6 TAHANAN EO DARI PSM!

Thursday, July 21, 2011

Mari hayati bersama, moga sinar Ramadhan menyinari kita

MAAFLAH WAHAI TEMAN..KU MENUMPANG DI SUDUT DUNIA..MENCARI KETENANGAN..SAMPAI MASA KU KAN PERGI JUA.."Itulah nyanian sepi seorang oku miskin. Saya hanya mampu mendukongnya seketika untuk menunjukkan simpati. Bayangkanlah ibunya terpaksa mendukungnya sepanjang masa...



'TOLONG KAMI, BANTU KAMI, ANAK-ANAK YATIM PIATU.." Kelihatan anak-anak yatim di sekitar Parit Buntar beratur menerima bantuan dari penyumbang-penyumbang yang budiman.






Kalau saya cerita ada rumah yang senget dan tak layak didiami, orang akan kata saya berlebihan dalam gambaran saya, tapi itulah realiti di Parit Buntar. Saya hanya boleh berada di luar kerana khuatir rumah akan reban kalau saya naik!








PUSAT KHIDMAT PARLIMEN PARIT BUNTAR


080-220-100-50832


BANK ISLAM

































INFAQ RAMADHAN DI PARIT BUNTAR




Assalamualaikum,


Bagi pihak Parlimen Parit Buntar, izinkan saya mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak terlebih dahulu. Di bulan yang mulia ini, saya turut mengajak rakan-rakan FB dan mengenali saya serta sahabat-sahabat yang simpati dengan perjuangan kami untuk membuat sedikit kebajikan di bulan Ramadhan yang mulia ini.



Sahabat-Sahabat sekelian,

Sebelum melangkah lebih lanjut saya ingin menjelaskan bahawa kami wakil rakyat dari Pakatan khususnya di negeri yang tidak diperintah oleh Kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa berhadapan dengan kengkangan kewangan untuk membuat khidmat kepada rakyat, antaranya ialah kerja-kerja kebajikan. Alhamdulillah setelah 3 tahun berlalu kami terus berazam untuk mengharungi kengkangan ini.


Khusus untuk program Infaq Ramadhan pd tahun 2008 kami membelanjakan 40k, tahun 2009 45k, tahun 2010 70k dan pada tahun ini anggaran itu meningkat kepada 82k. Peningkatan adalah kerana kami meluaskan para penerima tahun ini untuk guru al Quran di seluruh Parlimen Parit Buntar dan surau-surau yang mendapat sedikit tanda sokongan kami kepada aktiviti mereka.



Dari sudut penyumbang, kami mendapat sokongan daripada seluruh rakan, sahabat dan rakyat yang prihatin bagi menjayakan program ini. Ada individu-individu yang tak perlu saya sebutkan nama-nama mereka telah menyumbang secara konsisten dalam amaun yang besar, kepada mereka dan semua yang menyumbang saya ucapkan terimakasih. Saya selaku ahli parlimen membentang sejadah di seluruh mesjid dan surau yang sudi menjemput saya untuk saya ajukan bagi perhatian mereka program Infaq Ramadhan melalui kuliah-kuliah saya. ia bukanlah kerja yang mudah untuk berada di Kuala Lumpur khususnya bagi tujuan tersebut, dari sudut jawatan selaku wakil rakyat memang agak janggal untuk saya merayu bantuan untuk program di kawasan saya, tetapi saya tebalkan muka demi membantu orang yang memerlukan di tempat saya. Saya sering memberitahu kepada orang -orang miskin: "saya bukan orang kaya memberi bantuan kepada orang miskin tetapi saya juga orang miskin yang merayu kepada orang kaya untuk beri kepada orang miskin, kita sama-sama miskin" Jikalaulah ada peruntukan takkan saya menebalkan muka merayu-rayu bantuan.



Saya membuat azam bahawa kengkangan kewangan takkan menghalang saya untuk terus membela golongan yang memerlukan. Dengan izin Allah, saya tahu Allah mendengar rintihan saya setiap malam mengadu kepadaNya "janganlah kerana wang, perjuangan ini dimalukan Ya Allah, kaulah Maha Pemberi Rezeki dan Pemudah kepada segala kesukaran dan kesempitan, permudahkanlah ya Allah"



Kepada mereka yang membaca doa ini aminkanlah, sekurang-kurangnya saya tahu ada orang yang mengaminkan doa saya pada malam-malam yang sunyi. Kepada yang mampu lebih dari sekadar mengaminkan doa anda hanya perlu bersama kami menyumbang untuk menyinarkan Ramadhan dalam kehidupan golongan yang perlu pembelaan. Sedikit sumbangan pun cukup menceriakan wajah-wajah yang menanti sinar Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.



Al Faqir Ila Allah

Mujahid Yusof Rawa

MP Parit Buntar




Nama Akaun: PUSAT KHIDMAT PARLIMEN PARIT BUNTAR



No Akaun: 080-220-100-50832



Bank: Bank Islam


Hubungi: 016 440 3164 atau faxkan slip jika sudah menyumbang 05 716 6531

Wednesday, July 20, 2011

Antara Kemajuan dan Naluri Kebebasan



Harga yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia gara-gara kepimpinan Satu Malaysia melayani tuntutan demokrasi ialah dimalukan di mata dunia. Pemergian Najib pada saat tuntutan demokrasi dihinjak dan dipijak menyebabkan masyarakat dunia terkejut. Keganasan Polis sememangnya memalukan dan telah memberikan gambaran seolah Malaysia umpama Mynmar. Dunia hari ini bukan lagi dunia tertutup, setiap tindakan kita diperhati oleh kecanggihan teknologi yang boleh memancarkannya di seluroh dunia, apakah kepimpinan Satu Malaysia terlalau dangkal untuk memahami realiti ini. Zaman baling batu sembunyi tangan sudah tidak releven lagi, tangan yang dibelakang cuba disembunyikan jelas dilihat oleh dunia. mahu menutup keganasan polis? silakan tetapi ingat satu yang ditutup 10 yang akan terdedah. Mengakulah bahawa kepimpinan Najib telah memalukan Malaysia di mata dunia! Tak payahlah nak disebutkan di sini betapa insiden Ratu England memakai baju kuning dan rakyat Malaysia menyambut Najib dengan bendera kuning 'bersih'. Belum faham lagi?

Tuntutan Bersih tidaklah sukar sangat, ia satu tuntutan yang 'baik' dan tidak provokotif. Apa yang susahnya untuk SPR mencatit 8 tuntutan bersih dan kemudian cubalah mencari jalan bagaimana hendak dilaksanakan? Ini tidak SPR pulak yang jadi parti politik membuat taklimat sana-sini bersama dengan NGO lain untuk menjelaskan keadaan. Keadaan apa? SPR masih mahu menutup pekungnya? kalau dah busuk janganlah nak menutup, kerana baunya tetap busuk! Apa yang boleh SPR lakukan ialah ubat luka itu dengan berterus terang aja dan berhenti dari menjadi hamba abdi UMNO/BN. Kembali kepada asalnya SPR sebagai instituisi yang mengawal demokrasi berpilihanraya, insyaallah SPR akan dapatkan semula maruah dirinya. janganlah kerana nak menjilat, harga dan maruah diri dipandang hina oleh rakyat!

Pada saat Malaysia mahu menuju kepada negara berpendapatan tinggi isu-isu ini tidak sepatutnya menganggu perjalanan negara ini. Ia bukan pilihan antara nak maju atau nak menolak demokrasi? tetapi ia adalah satu imbangan antara kemajuan fizikal dan naluri kebebasan yang perlu dibimbing melalui wahana demokrasi dan pendemokrasian. Pada saat kita memberikan rakyat pilihan, kita telah merosakkan kerangkabina negara ini. Ia bukan soal pilihan, ia soal kebijaksanaan melakari masadepan negara dengan meletakkan dasar pemikiran demokrasi sebagai tunggaknya! Selamatkanlah Negara dari Pengkhianat!

UMNO Tidak Perjuangkan Moral



KUALA LUMPUR, 19 Julai: Umno dan kerajaan BN jelas kelihatan amat tidak ikhlas dalam mengawal persoalan hiburan di kalangan rakyat, sebaliknya hanya bersandiwara dalam menjaga persoalan moral dan agama dalam sistem pentadbirannya.
Perkara itu jelas terbukti apabila diteliti sikap para pemimpin Umno dan BN terhadap langkah baik yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mengenai larangan berhibur pada bulan Ramadhan, tetapi ditentang oleh mereka dari segala sudut.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, lebih ketara lagi, di sebalik tentangan mereka terhadap langkah Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu, mereka tidak pula membantah tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Melaka yang melanjutkan tempoh berhibur sehingga jam 3.00 pagi.
Menurut beliau, pada hal tindakan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu, selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Kedah ketika berada di bawah kepimpinan BN dahulu, yang telah pun membuat peraturan itu pada bulan Ramadhan.
Katanya, bezanya, kerajaan BN Kedah dahulu hanya sekadar meluluskan peraturan itu sahaja, tetapi tidak pernah dikuatkuasakan, manakala Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pula mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam erti kata sebenarnya demi kepentingan agama dan seluruh rakyat negeri itu.
"Setelah Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mahu melaksanakannya, para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan tiba-tiba bangkit menentangnya, seolah-oleh peraturan itu adalah sesuatu yang asing kepada mereka, pada hal ia telah diluluskan oleh kerajaan Kedah semasa berada di bawah BN dahulu.
"Jika mereka ikhlas, kenapa mereka tidak menentang ketika kerajaan BN Kedah meluluskan peraturan itu dahulu, tetapi hanya menentang apabila Kerajaan Pakatan Kedah yang mahu melaksanakannya?
"Ini jelas memperlihatkan sikap double standard di kalangan para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan dalam perkara ini yang pasti dapat dilihat dengan jelas oleh setiap pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Amat menyedihkan, menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu sememangnya amat baik bagi orang ramai terutama di kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan.
Katanya, namun disebabkan kepentingan politik, para pemimpin Umno dan BN sanggup menentangnya, walaupun ia pasti akan mendatangkan kesan amat buruk kepada masyarakat.
Lebih dikesali oleh beliau, ketika Kerajaan Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk mendidik rakyat agar menjadi lebih berakhlak, bermoral dan mematuhi ajaran agama, kerajaan BN Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Ali Rustam telah mengambil langkah lebih tidak bertanggungjawab.
"Ini amat jelas kelihatan apabila kerajaan Melaka telah melanjutkan pembukaan pusat hiburan di Melaka dari jam 1.00 pagi sehingga jam 3.00 pagi.
"Tetapi tindakan kerajaan Melaka itu tidak pula ditentang oleh para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan yang begitu bersungguh-sungguh menentang langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu.
"Jadi amat jelas, mereka sebenarnya hanya bersandiwara dengan rakyat. Mereka sebenarnya bertindak sedemikian bukanlah untuk kepentingan moral rakyat, tetapi hanyalah untuk kepentingan politik mereka sendiri sahaja," ujarnya.
Dalam dalam hubungan ini, beliau memuji langkah bijak yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kerana mengambil pendekatan tepat setelah mengadakan perbincangan dengan pemimpin DAP yang menentang larangan hiburan pada bulan Ramadhan.
"Tindakan DAP itu sebenarnya berpunca dari ketiadaan kefahaman para pemimpin DAP mengenai perkara itu. Setelah diadakan perbincangan, pemimpin DAP dan pengusaha-pengusaha pusat hiburan di Kedah sendiri akhirnya bersetuju untuk melaksanakan larangan itu di kalangan umat Islam.
"Setelah diberikan kefahaman, orang-orang bukan Islam sendiri turut memberikan komitmen untuk menguatkuasakan larangan itu. Ini kerana larangan memasuki pusat-pusat hiburan pada bulan Ramadhan itu sendiri bukanlah untuk orang bukan Islam, tetapi hanya untuk orang Islam.
"PAS sebenarnya tidak menyekat orang bukan Islam berhibur, tetapi PAS menyekat orang Islam dari berhibur sehingga keterlaluan, lebih -lebih lagi pada bulan puasa dan ini tentunya berkait rapat dengan sensitiviti umat Islam sendiri dalam menyambut Ramadhan," katanya.
Dari kejadian itu juga, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar secara jelas menegaskan perbezaan Pakatan Rakyat dan BN, apabila para pemimpin Pakatan Rakyat ternyata lebih bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjaga isu moral.
"Ini jelas terbukti apabila para pemimpin Pakatan Rakyat sentiasa mengambil sikap berterus terang, berbanding para pemimpin Umno dan BN yang sering bermuka-muka dengan rakyat untuk menjaga kepentingan politik masing-masing," tegas beliau.

Tribute Untuk Dr Lo'Lo"

Nama Dr Lo’Lo agak sukar dilafazkan kerana ia berasal dari bahasa Arab yang bermakna permata mahal dari lautan. Jikalau dalam Bahasa Arab pun sebutannya susah disebut, tetapi bertentangan dengan tuan tubuh yang benama Lo’Lo’ beliau seorang yang mudah dan senang bergaul. Sifat ramah dan tamahnya sesekali sebagai ibu, kakak dan kawan membuatkan kita amat selesa berada dalam persahabatannya. Lo’ Lo’ tidak pernah mengecewakan permintaan rakan seperjuangannya dan selalu mendahulukan urusan parti dari kepentingan dirinya malah keluarganya sendiri. Selalu beliau bergurau dengan saya, tatkala saya membuat komplen terlalu sibuk dengan parti. Dr. Lo’ Lo menjawab awak takpalah muslimin (lelaki), saya muslimat terpaksa tinggalkan suami di rumah untuk urusan parti. Mendengar gurauan itu, ia benar-benar menyusup ke dada saya tentang kecekalan seorang sahabat dan seorang yang saya anggap kakak saya. Berita pemergiannya menyentap hati dan sanubari kerana suka duka kenangan seorang muslimat Pas yang bernama Dr Lo’Lo’ Ghazali.
Saya mula mengenali Dr Lo’ Lo’ semasa dalam kepimpinan pemuda dalam beberapa program parti. Kakak saya Aida Binti Haji Yusof Rawa seorang aktivis Muslimat memperkenalkan saya dengan Dr Lo’Lo, malah Dr Lo’ Lo’ pernah menghadiri perhimpunan keluarga kami bagi meraikan keluarga besar Haji Yusof Rawa. Beliau diberi ruang berucap dan memuju Haji Yusof Rawa sebagai mempunyai keluarga yang besar dan anak-anaknya mampu menghimpunkan seluruh keluarga. Kehadiran Dr Lo’Lo dalam majlis kami hari itu cukup menyerikan dan saya masih terkenang itulah pertama kali saya mengenali beliau dengan cara dekat. Mulai itu saya menjadi rakan seperjuangannya apatah lagi semasa berada bersama dlam AJK Pas Pusat.
Banyak masa bersama Dr Lo’Lo ialah semasa kempen PRK. Beliau akan senantiasa aktif berkempen secara agresif dan kadang-kadang tak terdaya saya mengejarnya. Selalu beliau akan mengejek saya secara berseloroh: “Macamana ni muslimin (lelaki) dah tak larat, kami muslimat boleh jalan lagi ni” Kecuali PRK Bagan Pinang, langkahnya perlahan malah dilihat tercungap-cungap keletihan. Walaupun saya dah biasa dengan Dr Lo’Lo dalam siri-siri kempen, kali ini saya merasai Dr Lo’Lo agak keletihan. Beliau menjawab, dia tak berapa sihat, malah dia cuma mampu berada sehari dua sahaja di Bagan Pinang. Saya merasa kekok bila Dr Lo’Lo tidak hadir malah pernah menaliponnya, lalu dia menjawab tak berapa sihat.
Saya pernah bersama Dr Lo’Lo bermusafir ke luar negara dalam rombongan ahli Parlimen ke Gaza sejurus setelah Gaza di tawan Israel. Semangatnya yang cekal untuk bersama 10 orang ahli Parlimen PAS memang mengkagumkan. Sepanjang perjalanan beliau nampak bersemangat walaupun kami terpaksa beberapa hari di perbatasan Mesir dalam kesejukan. Begitu juga terpaksa melalui jalan darat ke Jordan, Syria, Dr Lo’Lo tetap bersemangat. Sememangnya semangat Dr Lo’Lo terhadap perjuangan Palestine memang kental, malah dalam perjalanan beliau membeli mafla bersimbolkan Palestine itu dan memberikannya setiap seorang. Selebihnya saya membeli 10 mafla Palestine untuk saya agih-agihkan pada sahabat-sahabat di Malaysia. Sambil dia mengemaskan saya mafla Palestine dia berseloroh lagi “tak dapat pergi Gaza pun, promosi mafla Hamas pun dah kira pahala tu”
Ada juga peristiwa lucu ketika kami tersadai di Lapangan Terbang Damaskus gara-gara imigresen yang melambat-lambatkan kami. Dr Hatta yang terkenal kerana gurauannya yang tak kira tempat, berseloroh dengan kami sambil kami duduk di lantai dewan ketibaan. Kata Dr Hatta sambil menunjukkan tangannya: “ini orang-orang gaji yang tak ada tuan yang nak ambil depa, yang ini (tunjuk kepada Dr Lo’Lo) mahal sikit sebab dia putih yang ini (tunjuk kepada Dr Maria) murah sikit sebab hitam…” Kami tertawa dengan gelagat Dr Hatta dan Dr Lo’Lo menampakkan wajahnya kemerahan nak tergelak dan marah pun ada. Itulah telatah bersama D Lo’Lo dalam bermusafir ke Mesir, Syria dan Jordan.
Dalam Parlimen Dr Lo’ Lo’ sebagai Ahli Dewan Rakyat Titiwangsa, sememangnya lantang dalam Parlimen khususnya dalam soal-soal menegakkan keadilan dan membela isu Kampong Baru yang hendak diperbadankan. Saya masih ingat semasa kempen GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA, Dr Lo’ Lo’ dilihat mengedar badge GMI di Parlimen termasuk kepada wakil rakyat BN. Apa lagi, marahlah mereka dalam dewan kerana sikap ‘persuasive’ Dr Lo’Lo berkempen. Termasuk ketegasan Dr Lo’Lo ialah tentang rokok, saya masih ingat perdebatan hangat di dewan tentang penajaan syarikat tembakau dalam sukan bolasepak. Dr Lo’Lo’ bertegang leher dengan Ahli Dewan Rakyat Arau, Yb Ismail Kassim yang bertegas bahawa jika tidak ada penajaan syarikat tembakau maka sukan bolasepak khususnya akan bungkus. Dr Lo’Lo’ tetap bertegas bahawa tidak ada bezanya penajaan sukan dan bahaya merokok. Saya turut menyokong soal rokok ini di mana saya pernah mencadangkan supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa pengharaman rokok, Dr Lo’Lo’ menyokong penuh saranan ini dan telah menjadi berita yang dipetik dalam hampir semua akhbar termasuk akhbar Cina.
Semasa sesi Parlimen terakhir baru-baru ini saya terkejut kerana diminta bertukar tempat dengan Dr Lo’Lo yang asalnya berada di blok hadapan dan saya di blok belakang berjiranan dengan konsensus bebas. Kerana keuzuran, ADR Titiwangsa itu terpaksa berkerusi roda dan kerana itu perlu berada di blok belakang dan tempat saya menjadi pilihan menukar. Saya dan saya yakin ,ramai dari kalangan wakil rakyat Pakatan dan BN akan merindui suara lantang Dr Lo’Lo’. Saya yakin pengundi beliau juga akan merindui Dr Lo’Lo’ khususnya kebajikan yang diusahakan. Dalam parti Dr Lo’Lo’ sememangnya sinonim dengan Lujnah Kebajikan dan tagline Kami Prihatin adalah usaha beliau yang menjadi slogan kebajikan Pas. Termasuk usaha Dr Lo’Lo’ ialah memberi makan kepada warga Chow Kit dan usaha itu terus dijalankan hingga hari ini. Dr Lo’Lo’ juga cuba untuk memastikan isu wanita menjadi inklusif dalam ruang ligar perjuangan Pas dan sikap keterbukaan Dr Lo’Lo amat disenangi oleh semua pihak khususnya dalam advokasi hak-hak wanita di Malaysia dan dunia secara umumnya.
Saya menulis ketika berita Dr Lo’Lo’ meninggal dunia tersebar luas dan saya mahu menjadi orang yang pertama mendapat penghargaan menulis tentang Serikandi ini. Mungkin saya tidak mengenali Dr Lo’Lo’ sepenuhnya tetapi saya yakin tidak ada siapa yang akan mempertikaikan jikalau saya mengatakan Dr Lo’ Lo’ adalah permata dari lautan yang mahal nilainya untuk perjuangan ini. Ramai yang mempunyai nama yang hebat tapi tak ramai yang boleh hidup atas nama masing-masing. Al Fatihah buat Dr Lo’Lo’.
There was an error in this gadget