Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Monday, August 29, 2011

DEDIKASI TULISAN INI UNTUK SAHABAT-SAHABATKU PARA PENYUMBANG DAN UMAT ISLAM





RAMADHAN MENINGGALKAN KITA


Ramadhan meninggalkan berbagai kenangan dalam hidup kita dan yang paling enak ialah keterikatan jiwa kita kuat mahu melaksanakan perintah Allah. bermula dari ibadah puasa, tarawih, membaca al quran dan penghayatan ibadat yang lain. Ia berbekas dalam hidup kita kerana kita diajar erti ketaqwaan.



Kebaikan Ramadhan tidak hanya pada diri kita tetapi ia menjangkaui orang lain yang berada di sekeliling kita. Kasih sayang keluarga lebih terjalin erat dengan berbuka, bertarawih, membeli baju baru kepada anak-anak. Buat isteri tersayang pula pengorbanan menyediakan makanan dari rezeki suami yang halal dari sahur hinggalah berbuka puasa mempunyai nilainya yang tersendiri. Ia nikmat yang tidak terhingga seolah-olah Ramadhan adalah kursus praktikal rumahtangga bahagia yang dididam-idamkan oleh pasangan yang bertaut kerana Allah.



Ramadhan juga menimbulkan keinsafan kepada mereka yang tidak bernasib baik dari kalangan fuqara dan masakin. Mereka menimbulkan keinsafan lalau memberi ruang untuk kita berbakti dan membela nasib mereka. begitu juga dengan golongan fi sabilillah yang jasa mereka memberikan tumpuan untuk Islam dihargai melalui zakat dan infaq yang datang mencurah-curah. Alangkah hebatnya bulan Ramadhan dengan keberkahannya membuatkan limpahan sifat pemurah dari kita yang selama ini tersekat dilepaskan untuk kebaikan golongan-golongan ini.



Al Quran bagai irama dan lagu dengan Ramadhan tidak terpisah umpama isi dan kuku. Kehebatannya mengingatkan hubungan dengan langit yang selama ini pintu hati manusia tertutup untuk menikmati hidangan Al Quran, ia hidangan Rahman yang dihidangkan kepada hambanya melalui munajat dan doa yang tidak akan ditolak kerana langit sentiasa terbuka pada malam-malam Ramadhan. benarlah kata hadis qudsi: "..barangsiapa yang berkata kata dengan hujah al-quran benarlah hujahnya, barang siapa yang beramal dengannya diberi ganjaran, barangsiapa yang berhukum dengannya pasti adil dan barangsiapa yang menyeru ke jalannya telah pasti dia menyeru ke jalan yang lurus"



Sifat pemurah manusia di bulan bulan ini telah menyerikan pakej Ramadhan. Ke mana sahaja kita pergi sambutan sumbangan orang ramai demi memenuhi dana membela golongan yang berhak amatlah hebat sekali. Para jamaah di mesjid dan surau di Kuala Lumpur khususnya menunjukkan satu akhlak yang mulia dalam mengikis sifat bakhil yang menghalang manusia dari berbelanja di jalan Allah.



Mengenangkan semua itu dan pada saat saya menulis di malam 1 syawal air mata tidak tertahan mengalir kerana terpaksa berpisah dengan tetamu mulia Ramadhan Al Mubarak. Tetamu ini datang dengan penuh penantian oleh pencintanya dan dia pergi ditangisi jua oleh pencintanya. Menangis bukan sekadar sedih dan pilu tetapi bimbang apakah pencintanya akan bertemu lagi dengan tetamu agung ini tahun depan? Ya Allah ketemukan kami dengan Ramadhan lagi dan jadikan kami hambamu yang bersyukor di Syawal ini. Dari jendela rumah, kedengaran Takbir Raya sayup kedengaran dan di dalam hati saya terbisik firmanNya:"..hendaklah kamu sempurnakan masa Ramadhan untuk berpuasa dan kemudian bertakbirlah di atas apa yang diberi petunjuk kepada mu (1 syawal) dan moga-moga tergolonglah kamu di kalangan hamba-hambanya yang bersyukor.." Allaho Akbar, Allaho Akbar Wa lillahhil Hamd!




Mujahid Yusof Rawa
1Syawal




(Tulisan ini didekasikan untuk para penyumbang yang membantu Tabung Infaq Ramadhan Parlimen Parit Buntar yang telah selesai diadakan sepanjang Ramadhan, terimakasih kerana diberi penghormatan mendapat jasa sahabat, anak murid, rangkaian ukhuwah dan penderma lain yang tidak mahu namanya disebut, moga Allah memberkati niat kalian)

No comments: