Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Friday, November 11, 2011

Apa yang merdeka dalam seksualiti?

TIADA MERDEKA DALAM SEKSUALITI MERDEKA
Sensasi..sensasi..itulah suasana negara kita, kita dipersembahkan satu persatu isu-isu panas yang mendapat perhatian di dada-dada akhbar khususnya Utusan Malaysia . Di Malaysia amat mudah sesuatu isu menjadi panas, anda hanya perlu menekan salah satu dari tiga butang bertandakan R, jika anda mahukan panas ke tahap maksima tekan sahaja ketiga-tiga butang R sekaligus, pasti meletup! Tahukah anda apa tiga R itu? Race (perkauman), Religion (agama), dan Royal (raja). Sehingga kini kawalan butang itu berada dalam penguasaan golongan sempit, jadi anda boleh bayangkan kesannya.

Seksualiti Merdeka adalah sensasi terkini yang menimbulkan berbagai persoalan apabila dibuat penilaiannya dari sudut agama dan norma-norma budaya setempat. Mana-mana agama akan menolak untuk mewajarkan satu bentuk kebebasan seksualiti. Bagi mana-mana agama pun seksualiti tidak terbatas kepada hubungan hetroseksual atau sejenis, hubungan terlarang dalam mana-mana agama ialah apabila pasangan itu tidak diikat dengan ikatan suci yang termetrai dari rasa tanggungjawab kepada Tuhan dan pasangan masing-masing. Membataskan seksualiti kepada hanya satu bentuk atau kategori tertentu adalah satu penganiyaan kepada pendefinisian masalah seksualiti.

Sensasinya cerita di sebalik perhimpunan seksualiti baru-baru ini ialah apabila ianya dikaitkan dengan kemerdekaan. Sudah tentu maksud tersirat di sebalik pilihan perkataan kemerdekaan itu ialah isu tersebut menuntut semacam satu bentuk pengiktirafan dari masyarakat dan negara. Agak mengelirukan apabila isu seksualiti ini menuntut satu kebebasan kepada pengamalnya lalu menganggap ia sebagai satu hak yang perlu dihormati. Saya kurang jelas apakah seksualiti merdeka menuntut amalan hetroseksual dan hubungan sejenis diwajarkan melalui ikatan suci atau mereka mahukan satu bentuk undang-undang yang boleh mengizinkan perkahwinan sejenis berlaku?

Ataukah perhimpunan ini menuntut supaya perasaan mereka didengari dengan hati yang terbuka dan cuba memahami mereka sebagai anggota masyarakat yang normal dan mahu hidup dengan orang lain tanpa perlu berasa salah. Mereka tidak mahu dilihat sebagai golongan tersisih maka satu pertemuan diadakan bagi melontarkan kepada masyarakat tentng hasrat mereka yang terpendam. Isu ini diambil oleh Persatuan Peguam atas jalur hak dan sudah tentu memerlukan satu pencerahan undang-undang.

Saya menimbulkan persoalan-persoalan ini kerana mahu memahami dan memberikan keadilan kepada semacam satu bentuk bantaian terhadap perhimpunan ini oleh pemetik-pemetik butang R. Biarlah saya jelaskan disini bahawa hak untuk berhimpun adalah sesuatu yang termaktub dalam perlembagaan kita. Golongan ini tidak terkecuali, dan apa sahaja tuntutan mereka atau rumusan mereka, itu adalah hak mereka dan terpulanglah pula pada anggota masyarakat untuk menerima tuntutan mereka atau tidak.

Kepada mereka yang merasakan dunia ini adalah tentang membuat pilihan salah satu dari warna hitam atau putih, mereka silap kerana dunia hari ini mempunyai berbagai warna antara putih dan hitam, kita hanya perlu mengenal pasti dengan terperinci dan mendalam bukan sekadar di luaran semata-mata.

Telah saya tegaskan di awal penulisan ini lagi bahawa soal seksualiti samada hetro atau sejenis adalah dilarang oleh agama. Apa-apa isu kebebasan atau hak mesti dinilai dari sudut tersebut, entahlah kalau golongan ini mahu mengenepikan agama dan tidak meletakkan penilaian kepada sikap agama seperti sebahagian daripada perjuangan seksualiti di barat. Mereka sebenarnya bukan menuntut hak tetapi mereka menolak hidup keagamaan. Sebab itu kita harus jelas antara persoalan menuntut hak tertentu atau persoalan yang lebih mendasar dari itu.

Sebagai negara yang meletakkan Islam agama resmi persekutuan persoalan moral mesti meletakkan agama sebagai kayu pengukurnya jika tidak kita mempersendakan perlembagaan kita sendiri. Erti kebebasan yang diperuntukkan dalam perlembagaan pula tidaklah mutlak, malah perkataan mutlak itu sendiri bukanlah mutlak semutlaknya. Perkiraan yang wajar adalah sesuatu tindakbalas yang tabiee kepada apa pun persoalan hidup, apatah lagi dalam isu seksualiti.

Tetapi saya tidak pula bersetuju dengan sekelompok manusia yang tidak dapat membezakan antara perlakuan seksualiti dan pelaku seksualiti. Islam jelas dalam permasalahan ini apabila umat Islam dituntut untuk membezakan antara pelaku mungkar dan perlakuan mungkar. Perlakuan mungkar adalah ditentang manakala pelaku mungkar perlu mendapat perhatian supaya dijelaskan keadaan mereka yang boleh merosakkan diri mereka sendiri. Sementara kita menentang perlakuan seksualiti hetero dan sejenis, kita tidak boleh membiarkan golongan yang terlibat tanpa usaha menempatkan mereka dijalur fitrah dan penjelasan.

Kita juga perlu jelaskan bahawa isunya bukan kebebasan seksualiti tetapi hubungan yang bertentangan dengan fitrah dan hubungan yang tidak diikat dengan ikatan suci adalah bertentangan dengan naluri manusia yang dijadikan oleh Allah kerana di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah ia menciptakan kamu berpasangan (lelaki dan wanita) dan untuk pasangan ini disatukan islam mensyariatkan perkahwinan. Saya tidak ada masalah unttuk bertemu dengan golongan seksualiti ini untuk memperjelaskan mereka sikap Islam dan gama lain dalam hal ini, namun untuk saya memperjuangkan hak mereka untuk melanggar fitrah yang Allah jadikan pastinya saya akan menolaknya. Sehingga harapan saya menjadi kenyataan pemetik butang R akan terus dengan gembiranya memetik butang untuk kepentingan sempit mereka

No comments: