Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Thursday, September 22, 2011

Mat Sabu Kena Lagi

Mat Sabu Di Dakwa Lagi!

Semasa dalam perjalanan ke Langkap, Perak semalam, saya terdengar dari suara radio dalam kereta saya berita bahawa Mat Sabu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok (21 Sept). Saya terus tersentak dan secara spontan memberitahu sahabat saya Man: "jom kita pi esok!" Man yang memang terkenal orang yang setia dengan perjuangan parti terus respon pantas dengan hanya satu perkataan "mesti!" dengan jaminan itu saya tahu saya ada teman esok nak ke mahkamah memberi sokongan moral kepada Timbalan Presiden saya yang didakwa di atas pengkhianatan awam yang membawa maksimum penjara 2 tahun.

Pagi tadi mahkamah Sesyen Butterworth tidak seperti biasa, ada banyak polis dan orang ramai sedang menunggu secara berkelompok di sana sini sehingga ke pintu masuk utama. Setelah bersalaman dengan ramai yang berhimpun di luar dan dalam perkarangan parkir bangunan Mahkamah saya bersapa dengan para wartawan di pintu masuk utama. Saya mengambil keputusan untuk naik atas di bilik perbicaraan dengan harapan dapatlah saya bertemu dengan Timabalan Presiden Pas itu dan terus memberi sokongan moral kepadanya.

Baru sahaja tiga hari sudah, pegawai khas saya abang Hamdan menunjukkan gambar saya, Mat Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipakaikan dengan topi bintang tiga (komunis) sambil ditulis di bawahnya "mujahid kata balai polis bukit kepong yang diserang adalah sasaran penjajah" Agak besar juga gambar yang bersaiz poster itu ditampal semasa program Raya di Sg Aceh Nibong Tebal yang dihadiri oleh TPM. Semasa saya sedang melayan pemikiran saya yang melayang ke poster nakal tempoh hari tiba- tiba saya terserempak dengan peguam Mat Sabu yang juga rakan baik saya iaitu Sdr Aminudin, YDP Pas Tanjung Malim. Dia terus bercakap dalam BI "what an insult, they asked us a bail of 15ks, earlier they asked for 60ks! The charge actually does not amount to that figure!" dia pun menerangkan pada saya bahawa tempoh hari kumpulan PSM pun hanya dikenakan jaminan 8k sahaja, kalau dibanding pendakwaan ke atas geng PSM lagi berat kata dia. "Ini memang betul-betul insulting!"

Ya saya setuju, ia sesuatu yang cukup menghinakan, malah saya menganggap kenyataan Mat Sabu hanyalah satu opini yang seharusnya didebatkan di pentas akademik samada untuk menafikan atau menyokong dengan hujah- hujah yang ilmiyah. Lagipun sejarah bukan maksom sehingga tak boleh dipersoalkan! Disiplin sejarah sendiri memperuntukkan ruang untuk menilai semula penulisan sumber sejarah itu sendiri, bukankah ini semua akademik? Saya tidak boleh bayang nanti bagaimana perbicaraan akan jadi bilik kelas untuk subjek sejarah di mana peguam akan membawa buku dan bahan sejarah manakala hakim akan menentukan fakta sejarah mana yang betul, bukankah itu melucukan? Sepatutnya kontraversi Mat Sabu dibahaskan oleh ahli akademik untuk dijadikan alasan menilai semula bagaimana sejarah kita ditulis dan apakah faktor kepengaruhannya sehinga beberapa fakta dilihat bercelaru? Dan sepatutnya yang menilai hujah ilmiyah ini semua ialah pakar sejarah yang neutral (pastinya bukan dari Majlis Profesor Negara) yang akan membuat rumusan untuk dibaiki fakta sejarah kita. Tapi apakan daya, kehendak orang politik sempit di negara kita ini terlalu bacul untuk mendebatkannya secara terbuka kerana nanti kelak akan terbongkarlah banyak perkara lagi tentang fakta sejarah yang cuba dimanupulasikan. Lagipun saya penuh yakin isu Mat Sabu yang menginterpretasikan sejarah demikian rupa dibalas oleh Umno dengan niat jahat untuk 'membelasah' Pas melalui Mat Sabu. Mereka tak mungkin belasah Pas atas pentas ceramah atau forum, maka cara terbaik ialah heret ke mahkamah atas alasan ada 27 laporan polis terhadap Mat Sabu. Umno juga mahu apabila kes dalam perbicaraan tidak ada sesiapa yang boleh bercakap soal ini lagi, noktah!

Depan pintu bilik perbicaraan penuh dengan orang ramai dan wartawan, saya melalui celah orang ramai untuk masuk ke dalam dan lega apabila pintu dibuka, Mat Sabu betul- betul di hadapan saya sambil tersenyum menyambut saya. Beliau yang berjaket hitam dan memakai t shirt kolar bulat berwarna hijau bersalaman dengan saya cara komrade seraya berkata: "terimakasihlah mai, depa la ni dok haru, dalam dok serang saya, Prof mana pulak bawak mai kata kita tak dijajah!" Mat Sabu sempat berseloroh dengan saya:"SPM dan PMR tahun ni kena tangguh dulu pasai nanti budak keliru nak jawab periksa! Kena jajah ka atau kena naung?" dia juga ucap terimakasih kat saya kerana antara yang awal menyokong kenyataan dia tentang sejarah kerana saya ada membuat satu artikel dan dihujung artikel saya mengatakan " tahniah Mat Sabu kerana memaksa ahli akademik memunggah buku- buku yang selama ini tertimbus dalam perpustakaan tentang sejarah Malaysia!"

Saya mengenali Mat Sabu sejak beliau baru mula nak naik ketika saya belajar di pondok Pak Man Kedah. Kalau ada ceramah Mat Sabu kami akan keluar pergi dengar dan sebagai pelajar waktu itu saya harus akur agak tertarik dengan gayanya dan " loklaknya" ketika berceramah. Mat Sabu juga sering menyebut tentang ayah saya yang dianggapnya sebagai idola kerana ketegasan prinsip Pak Yusof Rawa. Atas alasan itu semua, saya mengenali Mat Sabu, apatah lagi apabila berkecimpung dalam Pas semasa Dewan Pemuda dan kini AJK Pas Pusat hubungan dengan Mat Sabu agak rapat. Khusus tentang Dewan Penyokong Pas yang saya terajui, terdiri dari bukan Islam dalam Pas , Mat Sabu banyak membantu dan menggalakkan perkembangan Dewan ini.

Pagi tadi sehingga tengahari, seluruh negara menanti apakah episod seterusnya? Pada 27hb Oktober beliau akan dibicarakan dan pastinya ia sesuatu yang menarik kerana bilik perbicaraan akannjadi kelas sejarah! Semasa Mat Sabu dan kumpulan lawyernya melangkah keluar dari pintu bicara, berpusu-pusulah wartawan mengerumuni Mat Sabu, saya terpaksa ketinggalan di belakang kerana orang ramai tolak menolak untuk mendapatkan 'hero' mereka yang akan membuat PC di pintu utama bangunan. Semasa PC saya ada di sebelah Mat Sabu dengan kilauan lampu kamera dan lensa video wartawan, Timbaan Presiden Pas itu dengan tenang berucap: " mereka memilih untuk debat di mahkamah dan tidak di pentas politik, saya dikenakan ikatjamin RM 15k, ini cukup memeranjatkan sedangkan saya dalam semua perbicaraan saya sebelum ini tidaknpernah tidak hadir perbicaraan kecuali dimaklumkan awal atas sebab yang tidak dapat dielakkan......" Demikian antara lain isi PC yang dibuat, sejurus kemudian kereta Camry putih meluncur di hadapan orang ramai dan Mat Sabu di bawa oleh unit amal masuk ke dalam kereta. Ada seorang lelaki agak berumur sebelum Mat Sabu beredar dengan penuh semangat berkata: "Mat sabu! Kuatkan semangat!" Sejurus kemudian orang ramai pun bersurai dengan berlalunya kereta Camry putih. Saya yakin ramai yang kalau boleh mahu mengatakan kata semangat yang sama seperti lelaki akhir tadi, apatah lagi Timbalan Presiden Pas itu menjadi mangsa politik regim BN yang ada. Biarlah saya tegaskan lagi, isu Mat Sabu isu yang dipolitikkan untuk melengkapkan usaha membina imej Najib yang baru dan BN yang baru, ia bukan soal siapa bersalah dan siapa tidak, ia hanya keperluan BN dan Najib untuk terus berkuasa! Moga Mat Sabu tabah!

Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Pengerusi Perpaduan Nasional

No comments: