Sokongan Persatuan Peguam Syari'e Malaysia Terhadap Undang Undang Hudud di Kelantan
Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Shariah Lawyers Association of Malaysia)
Sekretariat PGSM
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan,
Jalan Damansara, 50675 Kuala Lumpur
Tel : 03-2274 1499 Fax : 03-2274 1499
Website : http://www.peguamsyarie.org
E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com
8 OKTOBER, 2011 bersamaan 10 Zulkaedah 1432H.
KENYATAAN MEDIA
PGSM Sokong Pelaksanaan Hudud
Hasil pertemuan pimpinan PGSM dengan YAB Menteri Besar Kelantan pada hari ini, Sabtu 8 Oktotober 2011, PGSM dengan ini untuk mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-
1. PGSM menyokong penuh sebarang pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini termasuk pelaksanaan hukum Hudud yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran al-Karim.
Hudud adalah undang-undang Islam yang telah ditetapkan oleh Allah (swt) dalam al-Quran dan sebagai umat Islam kita tidak boleh menolak.
Hudud dapat melindungi masyarakat daripada berlakunya sesuatu jenayah dengan mencegah jenayah daripada berlaku. Hukuman berat yang ada dalam hudud boleh mendidik maystarakat daripada melakukan jenayah hudud.
Hukuman Hudud memberi pengajaran kepada penjenayah agar tidak mengulangi jenayah yang sama. Hudud juga membersihkan dosa penjenayah dan menyelamatkan penjenayah daripada azab akhirat.
2. PGSM berpendirian sudah sampai masanya hudud dilaksanakan di negara ini, dengan mengambilkira peningkatan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat Islam dari setahun ke setahun, seperti zina, kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi, jenayah ragut, rompak, samun dan sebagainya. Justeru itu Undang-Undang yang lebih tegas, tinggi kadar hukuman dan mampu mencegah umat Islam daripada terjerumus ke lembah maksiat yang boleh merosakkan nasab keturunan umat Islam ini amat wajar dilaksanakan.
Dari 1999 hingga 2003, daripada 70,430 kes, sebanyak 30,978 pendaftaran anak luar nikah membabitkan anak orang Islam. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi (12,836), diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439) dan Johor (8,920). Statistik Jabatan Pendaftaran Negara tahun 2007 mencatatkan sebanyak 16,100 pendaftaran anak luar nikah berbangsa Melayu, meningkat sebanyak 16, 541 tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.
Manakala statistik kes pembuangan bayi yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga 2010. Ia menunjukkan aliran peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008), 79 kes (2009) dan 91 kes (2010). Bagi 2011, dalam bulan Januari saja sebanyak 34 kes buang bayi dilaporkan di akhbar utama Malaysia.
3. PGSM mendesak kerajaan persekutuan membentangkan usul di Parlimen untuk meminda atau memansuhkan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) yang menjadi kekangan atau sekatan melaksanakan Hudud di negara ini.
Akta 355 tersebut telah menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah dengan hanya memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 ; atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan tidak lebih 6 kali sebatan [5:3:6].
Akta 355 adalah undang-undang yang diluluskan Parlimen. Apa-apa pindaan Akta 355 perlu mendapat persetujuan majoriti (simple majority) Ahli Parlimen.
Pada masa ini, jika ada Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang yang berlawanan dengan Akta itu, maka undang-undang itu akan menjadi ultra-vires dan terbatal setakat mana yang berlawanan. [Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan].
4. PGSM menggesa dan menasihatkan masyarakat bukan Islam di negara ini tidak perlu berasa gusar, khuatir atau takut dengan pelaksanaan hukum hudud di negara ini, kerana pelaksanaan hudud hanya untuk orang Islam sahaja.
Sesungguhnya hanya undang-undang sivil yang sedia ada sahaja yang boleh dikenakan terhadap orang bukan islam. Hudud tidak akan membabitkan masyarakat bukan Islam.
Hukum Hudud hanya terhad kepada enam jenis kesalahan iaitu zina, menuduh orang berzina, minum arak, mencuri, merompak dan murtad. Justeru bagi orang Islam yang melakukan kesalahan lain selain daripada enam kesalahan tersebut mereka boleh dihukum dengan undang-undang sivil yang sedia ada.
Pindaan undang-undang jenayah secara total ke atas undang-undang jenayah sivil yang ada pada hari ini juga tidak perlu dilakukan kerana pelaksanaan hudud adalah untuk orang Islam sahaja.
5. PGSM bersedia membantu kerajaan Negeri Kelantan dan kerajaan negeri lain yang bersedia melaksanakan hudud, untuk memberi penerangan kepada masyarakat bukan Islam khususnya, dan juga kepada masyarakat Islam umumnya, tentang pelaksanaan hudud di negara ini.
Sesungguhnya masyarakat yang menolak hudud adalah masyarakat yang tidak faham dan kurang maklumat mengenai hudud. PGSM percaya sebahagian besar masyarakat Islam bersetuju dengan hudud kerana ia hukum yang ditetapkan Allah swt yakni suatu ketetapan atau hukum yang tidak boleh ditolak sewenang-wenangnya.
Justeru itu usaha penerangan kepada masyarakat perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh dan konsisten demi memastikan pemahaman yang jelas terhadap hudud dikalangan umat islam dapat ditingkatkan dari masa ke semasa.
Terima kasih.
“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
No comments:
Post a Comment