Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Friday, October 28, 2011

Himpun Yang Tidak Berhimpun

Himpun Untuk Apa?

Ada berbagai makna yang hendak disampaikan dalam perkataan HIMPUN, dari segi tata bahasa 'himpun' bermakna mengumpul sesuatu atau orang di sesuatu tempat. Berhimpun adalah perbuatan di mana terkumpul semua orang atau sesuatu di sesuatu tempat. Sebab itulah kata 'perhimpunan' atau 'himpunan'ialah keadaan di mana semua orang dikumpulkan untuk menyatakan sokongan atas sesuatu. Menarik kerana nama sayap baru Pas ialah Dewan Himpunan Penyokong Pas atau singkatannya DHPP di mana bukan Islam dikumpulkan dan disatukan dalam sayap ini. Namun artikel ini tidak akan menyentuh tentang Pas dan usahanya menarik minat bukan Islam untuk menyertainya, artikel ini ialah tentang satu perhimpunan pada 22hb baru-baru ini yang dinamakan sebagai himpunan sejuta umat.

Selalunya bilangan kehadiran akan menjadi kayu pengukur untuk penganjur menyatakan berjaya atau tidaknya sesuatu perhimpunan. Tema sejuta umat sudah tentu menjadi hasrat penganjur untuk mencapai bilangan yang diinginkan, namun dari sudut quantiti Himpun tidak mencapai bilangan yang digembar-gemburkan, dikatakan hanya 5,000 orang sahaja yang hadir. Implikasi kehadiran dalam program seumpama ini amatlah besar untuk kita menilai tahap keupayaan mobilisasi penganjur yang sebelum tarikh perhimpunan telah mendapat liputan yang meluas oleh media arus perdana.

Himpun tidak dapat dielak dari menjadi mangsa perbandingan dengan perhimpunan Bersih, malah ada sesetengah berpendapat Himpun adalah untuk mengatasi Bersih yang bilangan kehadirannya jauh lebih besar walaupun tidak pernah mensasarkan sejuta peserta. Himpun juga dikatakan untuk mengalih isu daripada persoalan demokrasi tempang dan penipuan pilihanraya kepada persoalan aqidah yang perlu diselamatkan. Isu agama memang menarik kerana ia merentasi kepentingan politik namun perhimpunan sejuta umat itu telah membuktikan bahawa tema itu tidak mendapat perhatian umat Islam. Apakah yang telah berlaku? Betulkah gagal mencapai sasaran kehadiran Himpun diandaikan umat Islam tidak berminat kepada isu Aqidah dan secara perbandingan dengan Bersih lebih minat isu demokrasi berpilihanraya?

Saya tidak melihat andaian itu tepat, ini adalah kerana persepsi terhadap perhimpunan Himpun mempengaruhi kehadiran. Bagi umat Islam, mereka menanggap bahawa Himpun ditaja oleh mereka yang mesra Umno dan kerana itu berasa berat hati untuk hadir. Walaupun isu Aqidah sesuatu yang menarik minat tetapi umat Islam sudah menghidu bahawa Himpun adalah agenda pihak tertentu yang lebih minat untuk menonjolkan dirinya dan kumpulannya daripada memperjuangkan persoalan aqidah yang sebenarnya. Selain dari tokoh seperti Cikgu Azmi dari Teras, siapakah yang boleh diyakini daripada tokoh yang hadir akan mempertahankan aqidah umat Islam? NGO seperti Perkasa, GPMS dan pertubuhan belia tajaan Umno tidak pernah dilihat mempertahankan aqidah apabila dikaitkan dengan Umno. Saya tidak melihat NGO Islam yang lain mampu mobilisasi pengikutnya dalam jumlah bilangan yang ramai, kehadiran mereka hampir tenggelam dengan penonjolan pihak lain atau kehadiran mereka sengaja tidak ditonjolkan. Pada 19 Oktober saya menulis satu artikel tentang himpunan sejuta umat yang bakal diadakan. Saya mengandaikan ia sebagai satu agenda yang akan diambil kesempatan oleh pihak lain yang terdesak walaupun niat penganjur itu suci dan murni. Dalam FB saya, saya menerima komen bertalu-talu yang menganggap saya keterlaluan menuduh niat murni sekretariat, tetapi pada 22hb oktober andaian saya seakan-akan betul apabila kehadiran yang mengecewakan itu seolah-olah menjelaskan persoalan persepsi umat Islam terhadap perhimpunan tersebut.

Himpun di sebalik niat murni penganjurnya telah memberikan isyarat yang tidak baik. Pertama, kehadiran melambangkan lemahnya umat Islam dalam isu mempertahankan aqidah. Secara perspektifnya 'musuh Islam' akan ketawa apabila melihat keberangan umat Islam sebenarnya hanyalah ribut dalam cawan sahaja. Kedua, sikap double standard pihak polis yang memberikan kebenaran kepada Himpun dan tidak memberikannya kepada Bersih. Ini sudah cukup memberikan persepsi yang buruk kepada Himpun, walhal isu Himpun lebih mendatangkan sensitiviti kepada perpaduan nasional berbanding dengan Bersih yang secara spesifik menyinggung persoalan demokrasi berpilihanraya yang merentasi semua kaum dan agama. Ketiga, isu yang diketengahkan di negara ini ditentukan oleh Umno dan bukan oleh tuntutan massa. Selagi ia menguntungkan Umno maka Polis dll terpaksa tunduk, selagi ia memudaratkan Umno maka isu itu akan diangap berbahaya kepada keselamatan awam. Negara kita sudah dijajah oleh Umno, hanya penjilat sahaja yang akan diberi layanan baik manakala penentang walaupun merupakan aspirasi ramai akan dituduh sebagai pengkhianat negara yang akan mencetuskan huru-hara.

Ada seorang sahabat bertanya kepada saya mengapa Pas tidak menyertainya? Saya menjawab ringkas, soal pembelaan aqidah sememangnya sinonim dengan Pas. Pas sudahpun mengatakan kebimbangannya sejak 20 tahun yang lampau malah Presiden Pas telahpun membawa usul adanya rang undang undang murtad bagi memelihara aqidah umat Islam. Sahabat ini terus bertanya kalau begitu mengapa tidak bersama? Saya menyatakan, perjuangan kami sampai ke tahap yang lebih matang, kami telahpun mengadakan dialog dengan pihak gereja dll agama sebagai hasrat membentuk hubungan agama yang lebih damai, ini bukan bermakna Pas cair dalam sikapnya tetapi kami lebih suka melakukannya dengan cara bersemuka dan dialog. Kepimpinan Pas lebih bijak membaca suasana politik daripada mereka yang berjangka pendek dan tidak arif selok belok politik. Saya bertanya balik kepada sahabat saya, bolehkah dibayangkan kalau Mursyidul Am Pas mengarahkan semua ahli Pas turun dalam program Himpun? Mungkin stadium Shah Alam tidak akan dapat menampung kehadiran ahli Pas yang ramai, bolehkah anda bayangkan besarnya peranan Pas dalam menyelamatkan Aqidah umat Islam?

Dr. Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas

Monday, October 24, 2011

Kebebasan Intelektual Tergugat

Malapetaka Bagi Negara Ini

Semasa berita penggantungan Prof Aziz Bari tersebar, wartawan menghubungi saya dan meminta komen. Saya mengatakan dalam bahasa yang mudah "ia adalah malapetaka bagi negara ini" dalam sesebuah negara perkembangan intelektual menjadi antara tunggak utama dalam membentuk negara yang bermaruah dan bertamadun. Apabila golongan intelektual dinafikan hak mereka untuk memberi pandangan dalam bidang kepakaran mereka, kepada siapakah lagi yang kita harapkan untuk dirujuk? Pepatah Arab ada mengatakan: "Orang yang tiada tak akan dapat memberikan apa-apa" Walaupun bukanlah Prof Azizi Barri satu-satunya pakar di negara ini tetapi dengan mengenakan tindakan penggantungan, pihak Universiti tidak mengirimkan isyarat yang betul kepada perkembangan intelektual di negara kita.

Usaha-usaha kerajaan BN hari ini tidak konsisten dalam membuat transformasi dan kebebasan bersuara, walaupun digembar-gemburkan bahawa negara kita akan menuju kepada era Transformasi tetapi kes Prof Aziz Barri telah menggagalkan usaha-usaha ini khususnya dalam membentuk budaya kebebasan intelektual yang menjadi pra-syarat kepada kemajuan sesebuah negara. Setiap kita berhak untuk mempersoalkan tindakan yang dikenakan ke atas Profesor yang pakar dalam bidang perlembagaan itu. Selagi seseorang itu bergelar ilmuan dan pakar ia bukan lagi masalah universiti, ia adalah juga masalah masyarakat yang menumpang keupayaan intelek mereka dan keilmuan mereka. Apatah lagi Prof. Aziz Barri adalah tokoh yang banyak mempunyai pengaruh dalam menyedarkan masyarakat isu-isu keperlembagaan yang menjadi dokumen resmi seluruh rakyat Malaysia. Apakah tanggapan orang ramai, jikalau seorang pakar diambil tindakan hanya kerana pandangan kepakarannya?

Kejayaan mana-mana universiti bukan sahaja terletak kepada kejayaan penyelidikan tetapi kebebasan intelektual adalah asas yang menjamin usaha-usaha penyelidikan dan inovasi berterusan. Dengan penggangtungan Prof Aziz Barri oleh pentadbiran UIA satu isyarat telah terbentuk dalam benak orang ramai bahawa kebebasan intelektual tidaklah sebenarnya bebas. Ia juga seolah-olah satu ancaman kepada masyarakat intelektual di menara gading bahawa mereka harus berhati-hati dalam menyuarakan pandangan mereka jikalau tidak mereka akan dikenakan hukuman. Keadaan ini tidak membantu perkembangan intelek yang sifatnya adalah bebas kongkongan dan berlegar di sekitar kepakaran masing-masing. Dengan kes awalan di UIA tentang kebebasan intelek, masyarakat intelek kini hidup dalam keadaan ketakutan untuk memberi pandangan seolah-olah mereka diperhatikan untuk berfikir!

Universiti seharusnya bebas dari kongkongan politik dan isu politik, walaupun isu penggantungan Prof Aziz Barri adalah di bawah kuasa pihak Universiti Islam namun isu dan pandangan yang diberikan oleh Prof Aziz Barri kemungkinan ditafsirkan sebagai menyinggung pihak tertentu. Saya tidak menuduh, tetapi jikalau UIA membuat keputusan kerana tunduk kepada tekanan pihak tertentu, ini adalah sesuatu yang amat malang kepada kepada pentadbiran universiti dalam membuat keputusan.

Saya menrima banyak aduan dalam Facebook yang diposkan kepada saya tentang nasib mereka yang di bawah seliaan Prof Aziz Barri di tahap post graduate. Mereka tidak tahu apa nasib mereka debgan penggantungan ini kerana ramai yang akan tergantung dengan penggantungan Prof ini. Keputusan UIA nampaknya tidak konsisten, setelah tekanan dibuat oleh pelajar pada hari Jumaat lalu dan setelah menerima feedback masyarakat di luar universiti, pihak pentadbiran seolah-olah cuba melembutkan keadaan bahawa ia bukan penggantungan, ia hanya surat tunjuk sebab. Walhal surat yang diterima menurut Prof Aziz Barri ialah menghalang Prof ini dari masuk ke kawasan Universiti melainkan denan izin universiti! Malangnya Prof kini menjadi orang buangan di tempat yang dia sendiri menjadi pendidik di dalamnya.

Ali Parlimen Kubang Kerian telah membawa usul tergempar untuk dibahaskan dalam Parlimen isu penggantungan Dr Azizi Barri, malangnya usul ini ditolak dalam kamar Speaker lagi. Saya, Yb Kuala Selangor dan Kubang Kerian mengadakan sidang akhbar pagi ini menyatakan kekesalan kami kepada apa yang berlaku ke atas Prof Aziz Barri, kami bersetuju bahawa kes Dr Aziz Barri adalah sejarah hitam kepada perkembangan intelektual di negara kita. Apabila golongan ilmuan dikenakan sekatan untuk memberikan pandangan mereka pastinya kebangkitan untuk perubahan regim semakin mendapat momentum. Ada hadis menyatakan : "Allah tidak akan menghancurkan sesuatu bangsa itu sehinggalah hilang orang yang ilmuan di kalangan mereka" Menyekat kebebasan intelektual adalah prose penghakisan golongan ilmuan.

Thursday, October 20, 2011

Hijaukan Bangunan Kita!

Menuju Pembangunan Hijau

Hijau adalah satu warna yang mempunyai berbagai persepsi bagi sesiapa yang melihatnya. Untuk mereka yang cintakan alam, hijau menjadi lambang ketenangan dan keseimbangan antara manusia dan sekitarnya, ia satu lambang keharmonian. Bagi mereka yang fobia dengan Islam , hijau adalah warna golongan teroris dan ia amat menakutkan, adapun bagi parti-parti politik Islam seluruh dunia ,hijau adalah warna tema yang dipakai. Saya memang meminati hijau bukan kerana ianya warna parti saya, tetapi hijau ini memberikan kesegaran dan semangat alam yang membara.

Kebetulan saya amat meminati isu-isu pembangunan yang hijau karakteristiknya. Ia akan menjadi aspek utama dalam komponen pembangunan bagi meningkatkan kecekapan guna tenaga, meminimakan penyahan karbon diaoksidan dan mengurangkan kos penyelenggeraan. Walaupun negara kita sudah mula beralih kepada insentif kehijauan, namun jalan menuju kehijauan masih lagi di tahap permulaan. Dasar Hijau yang diperkenalkan setakat ini lebih bersifat zero kos, ini adalah kerana kos untuk "going green" masih lagi tinggi memandangkan pasaran komponen alat dan bahan hijau masih terhad dan terpaksa bersaing dengan komponen dan bahan tidak mesra alam yang lebih murah. Walaupun kereta hybrid yang mesra alam diberi pelepasan cukai namun alat-alat, bahan dan komponen lain yang hijau masih belum lagi diberi insentif pengecualian cukai. Bahan seperti batu bata yang mesra alam, konkrit dan bahan tingkap-tingkap bangunan yang mesra cahaya suria masih lagi belum menjadi industri walaupun kajian dan penyelidikan bahan hijau telah banyak dilakukan oleh universiti tempatan.

Aspek kehijauan mestilah terbina atas set minda yang baru dan ia mesti menyeluroh bermula dari sikap, dasar dan bentuk fizikal yang bercirikan mentaliti hijau. Contohnya dalam struktur membina bangunan yang hijau, ia bermula dengan rekabentuk yang mesra cahaya suria dan memaksimakan penggunaan cahaya semulajadi, pengudaraan yang meminimakan penggunaan hawa dingin, sistem penebatan haba dan rekabentuk syling yang memberi laluan pengudaraan yang efisyen. Bahan binaan juga mestilah mesra alam dan menggunakan bahan-bahan yang tidak memberi kesan kepada alam sekitar serta meminimakan konsep kitar semula dari bahan-bahan buangan. Pemilihan tekstur warna juga penting untuk mengurangkan penyerapan haba sebagaimana kitaran sisa pepejal dalam bangunan juga perlu kepada pengursan yang efisyen. Segala sumber semulajadi seperti hujan mesti dimaksimakan bagi penjimatan konsumpsi air yang boleh digunakan untuk penyiraman dan lain-lain kegunaan.

Konsep besar dalam memindahkan set minda membina bangunan yang mesra alam masih baru di negara kita. Kita baru bercakap penjimatan tenaga dalam bangunan tanpa kos. Keputusan majlis tenaga yang memutuskan untuk menggunakan penghawa dingin pada kadar minimum 24 celcius  pada bulan Ogos yang lalu masih belum diedarkan kepada bangunan bangunan kerajaan untuk dilaksanakan, walaupun ia akan menjimatkan kerajaan sebanyak 40 juta. Ia satu tindakan yang lambat sedangkan ia tidak memakan apa apa kos pun, ia hanya soal sikap dan sejauhmana kerajaan bersegara untuk mengedarkan arahan yang mudah seperti ini. 

Satu akta diperlukan untuk memastikan penguatkuasaan teknologi hijau dari semua sudut dapat dilaksanakan. Walaupun adanya Kementerian Teknologi Hijau, dasar hijau masih lagi dibatas mind set tanpa kos dan tidak ada insentif menyeluroh untuk melonjakkan teknologi hijau khususnya dalam bangunan-bangunan yang bakal didirikan dalam fasa kedua projek mega di lembah baru Sungei Besi. Bangunan Hijau bukanlah bermakna bangunan itu berwarna hijaun dan dikaitkan dengan Pas, tetapi bangunan hijau adalah konsep masadepan yang menjadi komponen terpenting perancangan pembangunan dalam semua sudut kehidupan. Selamat Datang Ke Alam Masadepan....

Wednesday, October 19, 2011

Himpunan Sejuta Umat

Niat Murni Mungkin Dieksploitasi oleh Golongan Rasis

Satu perhimpunan yang bernama sejuta umat akan diadakan di Shah Alam pada sabtu ini. Perhimpunan tersebut adalah anjuran NGO Islam yang akan membawa isu-isu Islam untuk diperjuangkan bersama oleh umat Islam. Tujuan murni perhimpunan bawah tema memelihara aqidah umat Islam adalah sesuatu yang wajar namun demikian, saya berhak untuk berasa bimbang perhimpunan akan lari dari hasrat murni penganjur.

Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena pada perhimpunan ini bukan kerana usaha mengumpulkan sejuta umat tetapi persolannya ialah sifatnya yang mungkin mengancam usaha-usaha keharmonian hubungan antara agama di negara ini. Saya ada beberapa alasan untuk berasa khuatir dalam konteks hubungan antara agama di negara ini:

1. Perhimpunan ini diadakan dalam suasana hubungan antara agama di negara ini dalam keadaan rapuh dan apa sahaja suasana permusuhan tidak akan membantu usaha usaha mewujudkan keharmonian hubungan antara agama di neagra ini.

2. Perhimpunan ini dikhuatiri akan dieksploitasikan oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan tegang dalam hubungan antara agama.

3. Lebih buruk ia dikhuatiri satu perancangan jahat yang menjadi agenda parti yang terdesak untuk terus berkuasa dengan cara mencetuskan ketegangan.

4. Dikhuatiri nama baik Islam tercemar dan sekaligus membawa imej Islam sebagai agama permusuhan dan menggalakkan benci membenci antara satu sama lain.

5. Tema memelihara aqidah tidak salah tetapi apakah dengan sekadar perhimpunan akan selesaikan masalah, bukankah dialog antara agama adalah lebih berkesan untuk menegaskan sikap Islam kepada pemurtadan dan isu isu sensitif yang lain?

Dan akhirnya saya merakamkan rasa kesal saya terhadap pihak polis yang double standard memberikan permit dalam perhimpunan ini dan melarang BERSIH tempoh hari untuk berhimpun dalam bilangan peserta yang lebih kecil. Jelas ia satu sikap yang di bawah telunjuk pihak tertentu. Saya tidak pernah menentang perhimpunan aman, tetapi sikap polis yang tidak profesional amat mengecewakan rakyat Malaysia.

Sekian

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Dialog Antara Agama Rantau Asia Tenggara.
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas Pusat

Tuesday, October 18, 2011

Polis Terlibat dalam Kes Mat Sabu?

Ucapan Bajet 2012

Setelah satu hari menunggu giliran untuk berucap bahs bajet 2012 akhirnya hari ini sebelum rehat pkl 1 saya memulakan ucapan dan kemudian menyambongnya pukul 2.30. Kami diberi 20 minit. Banyak yg nak diperkatakan tp masa tak cukup. Saya menyentuh beberapa tajuk besar antaranya tanggungjawab membuat keputusan terbaik, kritikan bajet secara menyeluroh, soal alam sekitar, keselamatan dan peranan agama.

Paling kontraversial ialah isu kegagalan dasar kerajaan dalam menangani kesan alam sekitar. Saya membawa contoh Bukit Merah yang pernah dicadangkan untuk tapak loji nadir bumi yang akan dikendalikan oleh Mitsubishi dari Jepun. Usaha itu mendapat tentangan pada tahun 1982 sehingga 167,000 penduduk Pekan Papan dan sekeliling telah membantah kerna kesan alam sekitar yang membahayakan kesihatan mereka antaranya leukimia, keguguran, cacat kelahiran dan kanser paru- paru. Kejayaan menutup tapak itu adalah tanda kejayaan ngo menimbulkan kesedaran dan penduduk yg prihatin. Walaupun kini ada 800,000 ton sisa radioaktif yg belum dihapuskan dengan menelan belanja US100juta. Malah kematian akibat kesan radioaktif ini juga tinggi iaitu 9 kes kematian kerana leukimia. Tiba-tiba hari ini kita dikejutkan dengan tapak yang sama yg akan dibuka di Gebeng, Pahang oleh syarikat Lynas Corp dari Australia. Kalau Bukit Merah hanya 9 ekar, kini di Gebeng luasnya 100ekar iaitu seluas 140 padang bola! Apa sikap kerjaan yg lebih melihat laba ekonomi dan keuntungan dari kesan jangkapanjang yang mengancam keselamatan dan kesihatan awam?

Saya sempat juga menyentuh isu keselamatan di mana saya mendedahkan surat yang saya terima secara misteri. Saya hanya menrima dari orang lain surat itu minta supaya mendedahkan dokumen surat resmi dari PGA Briged Tengah ang mengarahkan anggotanya dan keluarga serta pesara polis supaya menandatangani memorendum membantah kenyataan Timbalan Presiden Pas Mat Sabu. Saya mempertikaikan kalau betul ini surat arahan dari Pegawai Tinggi Polis maka polis tidak professional dan campurtangan dalam persoalan yang sifatnya politik! Adakah ada campurtangan polis menimbulkan kemarahan yang disengajakan terhadap Mat Sabu? Ataukah Polis menerima arahan dari pihak atasan dari tuan tuan politik mereka? Saya minta Menteri Dalam Negeri memberikan penjelasan tentang surat ini. Saya diganggu dalam ucapan saya oleh Kulim-BandarBharu yang menuduh saya membuat fitnah! Saya kata saya cakap dalam parlimen dan bukan di kedai kopi! Saya bertanggunjawab atas soalan saya.

Krna diganggu masa saya terjejas jadi isu peranan agama saya tak sempat nak perincikan. Saya mencadangkan hubungan antara agama mestilah memperbanyakkan dialog dan perbincangan secara bertamadun bukan dengan menimbulkan kemarahan atau isu yang sensitif. Saya mencadangkan juga akta zakat bagi memperkemaskan pengurusan dan kawal selia zakat bagi membantu pengukuhan umah. Malangnya masa tidak cukup dan saya terpaksa berhenti setelah diarahkan oleh Tuan Speaker.

Selesai ucapan saya membuat sidang akhbar bersama rakan dari Kuala Kedah atas dua isu. Pertama sikap kami secara peribadi dalam perhimpunan sejuta umah di mana kami melihat ini eksploitasi Umno dan golongan desperate untuk menimbulkan kebencian antara agama dan bukan keharmonian antara agama. Kedua saya mendedahkan surat yang saya terima secara misteri yang memberi petunjuk bahawa Polis dari PGA terlibat mengarahkan secara resmi supaya anggotanya , keluarga dan pesara menandatangan kempen membantah Kenyataan Mat Sabu. jikalau ini berlaku ia sesuatu yang malang bagi Polis yang tercalar imej mereka kerna menjadi alat kepada pihak tertentu yang desperado untuk berpegang kepada kuasa mereka yang semakin terhakis.

Saturday, October 8, 2011

Peguam Syarie Sokong Hudud di Kelantan

Sokongan Persatuan Peguam Syari'e Malaysia Terhadap Undang Undang Hudud di Kelantan

Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Shariah Lawyers Association of Malaysia)
Sekretariat PGSM
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan,
Jalan Damansara, 50675 Kuala Lumpur
Tel : 03-2274 1499 Fax : 03-2274 1499
Website : http://www.peguamsyarie.org
E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com







8 OKTOBER, 2011 bersamaan 10 Zulkaedah 1432H.

KENYATAAN MEDIA

PGSM Sokong Pelaksanaan Hudud

Hasil pertemuan pimpinan PGSM dengan YAB Menteri Besar Kelantan pada hari ini, Sabtu 8 Oktotober 2011, PGSM dengan ini untuk mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-
1. PGSM menyokong penuh sebarang pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini termasuk pelaksanaan hukum Hudud yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran al-Karim.
Hudud adalah undang-undang Islam yang telah ditetapkan oleh Allah (swt) dalam al-Quran dan sebagai umat Islam kita tidak boleh menolak.

Hudud dapat melindungi masyarakat daripada berlakunya sesuatu jenayah dengan mencegah jenayah daripada berlaku. Hukuman berat yang ada dalam hudud boleh mendidik maystarakat daripada melakukan jenayah hudud.

Hukuman Hudud memberi pengajaran kepada penjenayah agar tidak mengulangi jenayah yang sama. Hudud juga membersihkan dosa penjenayah dan menyelamatkan penjenayah daripada azab akhirat.

2. PGSM berpendirian sudah sampai masanya hudud dilaksanakan di negara ini, dengan mengambilkira peningkatan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat Islam dari setahun ke setahun, seperti zina, kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi, jenayah ragut, rompak, samun dan sebagainya. Justeru itu Undang-Undang yang lebih tegas, tinggi kadar hukuman dan mampu mencegah umat Islam daripada terjerumus ke lembah maksiat yang boleh merosakkan nasab keturunan umat Islam ini amat wajar dilaksanakan.
Dari 1999 hingga 2003, daripada 70,430 kes, sebanyak 30,978 pendaftaran anak luar nikah membabitkan anak orang Islam. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi (12,836), diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439) dan Johor (8,920). Statistik Jabatan Pendaftaran Negara tahun 2007 mencatatkan sebanyak 16,100 pendaftaran anak luar nikah berbangsa Melayu, meningkat sebanyak 16, 541 tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.
Manakala statistik kes pembuangan bayi yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga 2010. Ia menunjukkan aliran peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008), 79 kes (2009) dan 91 kes (2010). Bagi 2011, dalam bulan Januari saja sebanyak 34 kes buang bayi dilaporkan di akhbar utama Malaysia.

3. PGSM mendesak kerajaan persekutuan membentangkan usul di Parlimen untuk meminda atau memansuhkan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) yang menjadi kekangan atau sekatan melaksanakan Hudud di negara ini.
Akta 355 tersebut telah menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah dengan hanya memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 ; atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan tidak lebih 6 kali sebatan [5:3:6].
Akta 355 adalah undang-undang yang diluluskan Parlimen. Apa-apa pindaan Akta 355 perlu mendapat persetujuan majoriti (simple majority) Ahli Parlimen.

Pada masa ini, jika ada Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang yang berlawanan dengan Akta itu, maka undang-undang itu akan menjadi ultra-vires dan terbatal setakat mana yang berlawanan. [Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan].

4. PGSM menggesa dan menasihatkan masyarakat bukan Islam di negara ini tidak perlu berasa gusar, khuatir atau takut dengan pelaksanaan hukum hudud di negara ini, kerana pelaksanaan hudud hanya untuk orang Islam sahaja.
Sesungguhnya hanya undang-undang sivil yang sedia ada sahaja yang boleh dikenakan terhadap orang bukan islam. Hudud tidak akan membabitkan masyarakat bukan Islam.

Hukum Hudud hanya terhad kepada enam jenis kesalahan iaitu zina, menuduh orang berzina, minum arak, mencuri, merompak dan murtad. Justeru bagi orang Islam yang melakukan kesalahan lain selain daripada enam kesalahan tersebut mereka boleh dihukum dengan undang-undang sivil yang sedia ada.

Pindaan undang-undang jenayah secara total ke atas undang-undang jenayah sivil yang ada pada hari ini juga tidak perlu dilakukan kerana pelaksanaan hudud adalah untuk orang Islam sahaja.

5. PGSM bersedia membantu kerajaan Negeri Kelantan dan kerajaan negeri lain yang bersedia melaksanakan hudud, untuk memberi penerangan kepada masyarakat bukan Islam khususnya, dan juga kepada masyarakat Islam umumnya, tentang pelaksanaan hudud di negara ini.
Sesungguhnya masyarakat yang menolak hudud adalah masyarakat yang tidak faham dan kurang maklumat mengenai hudud. PGSM percaya sebahagian besar masyarakat Islam bersetuju dengan hudud kerana ia hukum yang ditetapkan Allah swt yakni suatu ketetapan atau hukum yang tidak boleh ditolak sewenang-wenangnya.

Justeru itu usaha penerangan kepada masyarakat perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh dan konsisten demi memastikan pemahaman yang jelas terhadap hudud dikalangan umat islam dapat ditingkatkan dari masa ke semasa.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sempena 60 tahun

60 Tahun Dan Masih Bertenaga

Muqaddimah

Umur 60 tahun jika diukur dari umur persaraan seorang kakitangan awam menandakan seseorang itu berundur dari perjawatannya dan memasuki umur rehat atau pencen. Namun bagi Pas sebagai sebuah parti politik yang kuat ideologi politik Islamnya, umur 60 tahun hanyalah permulaan kepada era kecermelangan dan pengukuhan kedudukannya dalam persada politik tanahair. Pas tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengundur diri bahkan staminanya untuk berjalan 100 tahun lagi bukan sesuatu yang mustahil.

Rahsia Pas

Bagi yang baru mengenali Pas, anda perlu bertanya apakah rahsia kekuatan Pas sehingga mampu bertahan sampai hari ini? Soalan ini penting untuk kita membuat satu bentuk penilaian memandangkan suasana dan ruang demokrasi tidaklah berapa selesa dalam konteks sebuah parti pembangkang. Kengkangan dan keterbatasan serta sistem pilihanraya yang tidak telus tidak banyak membantu parti pembangkang seperti Pas untuk berkembang dengan sehat. Namun di sebalik latarbelakang tidak-mesra pembangkang Pas tetap muncul sebagai parti Islam yang disegani oleh kawan dan lawan. Tanyalah kepada ahli Pas , mereka akan mengatakan talihayat yang senantiasa memberikan mereka nafas untuk hidup ialah dasar Islam yang Pas jadikan sebagai pegangan politiknya. jika tanpa Islam, sudah lama Pas berkubor tanpa batu nesan dan menjadi bahan dalam lipatan sejarah.

Kekuatan Pas

Kenyataan di atas benar jika dibuat perbandingan dengan parti parti pembangkang yang lain telah berkubor dengan berlalunya masa. Parti Negara, Parti Sosialis, Parti Buroh dan Semangat 46 semuanya hilang ditelan zaman sedangkan Pas yang lahir pada tahun 1951 dan muncul secara resmi tahun 1953 terus mengukohkan keberadaannya dalam politik negara. Islam telah memberi kekuatan kepada organisasi Pas dalam segala maknanya, bermula dari ideologinya, organisasinya, pembudayaan ahlinya dan isu yang diperjuangkan semuanya memberi satu nilai tambah kepada perjuangannya. Apatah lagi sistem pentarbiyahan ahlinya yang meyakini bahawa usaha mereka dengan parti adalah sebahagian daripada kebajikan untuk menghambakan diri kepada Allah. Anda perlu memahami bahawa Pas dan ahlinya bukan sahaja bergerak dalam kitaran politik semata mata tetapi ia adalah sebuah kehidupan dan ibadah pada waktu yang sama. Antara lagu yang berkumandang yang menjadi siulan oleh ahli Pas dan kepimpinannya ialah: "bergeraklah ke medan jaya, kalah menang bukan alasannya, sucikanlah niat di hati, hingga nyata benarnya janji Rabbi" Ahli Pas juga terdidik dengan budaya memberi kepada parti daripada menerima. Itulah rahsia kegagahan Pas di umurnya 60 tahun hari ini.

Pencapaian Pas

Pas bermula dengan permulaan yang agak perlahan dari sudut kerusi yang dimenanginya. Bermula dengan kerusi Krian Laut yang dimenangi oleh calon Pas, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin pada tahun 1955 (Federal Election), Pas tidak menoleh ke belakang lagi, Pilihanraya 1959 menyaksikan Pas menguasai Kelantan dan Terngganu dan menang beberapa kerusi Parlimen. Pilihanraya 1964 menyaksikan Pas melebarkan sayapnya ke Utara walaupun terpaksa melepaskan Terengganu pada tahun 1963. 1969 adalah prestasi terbaik Pas dengan penguasaan 15 kerusi Parlimen dan hampir merampas Perlis dan Kedah. Pilihanraya 1974, Pas menyertai BN dan terdedah pengalaman mentadbir negara, setelah gagasan Barisan Nasional diangkat menjadi wahana untuk negara terus ke hadapan dan meletakkan kepentingan nasional. Pilihanraya 1978 menyaksikan Pas hampir malap dan kecundang dalam arena politik. Krisis Kepimpinan Pas dan perancangan licik menjatuhkan Pas Kelantan menyebabkan keputusan PRU 1978 bagi Pas cahaya malap yang disambut oleh ahli Pas dengan kekecewaan. 1982 memburukkan lagi suasana apabila krisis Pas berada di kemuncaknya apabila Datuk Asri yang bertanggungjawab membawa Pas ke era kecermalangan disingkir oleh ahli Pas sendiri.

Kebangkitan Pas

Episod malang ini cuba dipulihkan dengan innovasi dan penjelmaan baru Pas yang kini menggelarkan dirinya sebagai Kepimpinan Ulamak di bawah kepimpinan Tuan Haji Yusof Rawa. Kebangkitan semula Pas dengan wajah baru ketika itu mengejutkan kawan dan lawan apabila gagasan kepimpinan baru digandingi oleh Datok Fadhil Nor dan Haji Hadi Awang mencetus satu fenomena baru yang menarik minat generasi muda menyertai Pas. Dakian gelombang kedua Pas ialah pada tahun 1990 apabila Pas berkolusi dengan Semangat 46 dan berjaya merampas Kelantan. PRU 95 dan seterusnya 99 membuka jalan kepada Pas untuk terus cemerlang apabila menguasai 25 kerusi Parlimen di bawah kepimpinan Datok Fadhil Nor. 2004 adalah tahun malang bagi pembangkang dan hanya pada tahun 2008 Pas bersama rakan politiknya PKR dan Dap berjaya menuguasai 83 kerusi Parlimen di mana Pas menguasai 23 kerusi.

Msa Depan Pas

Sejarah ringkas Pas yang diukur dari sudut pencapainnya dan kejayaan mentadbir Kelantan di bawah tokoh ikonik Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat adalah dokumen penting untuk kita memahami susur galur dan liku liku yang dilalui oleh Pas. Satu soalan yang mendesak jawapan kepada pemerhati politik, apakah Pas mampu bertahan lagi? Bagaimankah nasibnya pada perkembangan lanskap dan kematangan politik tanahair, mampukah Pas terus bernyawa?

Keseimbangan yang Bijak

Jawapannya adalah di dalam satu kebijaksanaan politik yang mesti diterokai oleh Pas, iaitu keseimbangan antara menyahut perkembangan semasa dan kemampuannya mengekalkan prinsip Islam yang menjadi raison de tere perjuangannya. Jika kita melihat perkembangan Pas dari sudut mengekalkan kedudukannya Pas telah membuat satu penjenamaan semula selepas krisis zaman Datuk Asri dengan gagasan kepimpinan ulamak dan berjaya bangkit dari kemungkinan pupus secara organisainya. Gagasan itu telah membawa Pas ke era kecermelangannya, namun tabiat garisan lekuk teori pembelajaran mengandaikan Pas akan berada pada titik garisan tepu dan akan menurun, bukankah sudah tiba masanya Pas mencipta lekuk baru? Lekuk baru ini penting untuk Pas terus kekal bersaing, apatah lagi lambaian tuntutan masyarakat sivil yang semakin kuat mendesak perubahan besar besaran lanskap politik negara. Isu Islam semakin mendesak supaya Pas mengolahnya dalam paradigma baru, persaingan dengan Umno yang mahu dilihat lebih Islamik dari Pas hari ini menuntut Pas menghadapinya dengan sikap yang lebih terbuka dan dinamik.

Aspirasi Nasional

Kini setelah 60 tahun tembok halangan yang selama ini memisahkan Pas dengan masyarakat bukan Islam telah berjaya di atasi. Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong Pas atau DHPP adalah satu epidod baru tersenarai dalam pencapaian organsiasi Pas. Bakal calon bukan Islam yang akan bertanding ats tiket Pas adalah sesuatu yang menarik untuk disaksikan dalam PRU 13 nanti. Perlebaran ke Sabah dan Sarawak akan menjadikan Pas benar-benar menjadi parti beraspirasikan nasional. Cakap cakap ke Putrajaya bersama rakan Pakatannya membuktikan Pas bukan parti kampongan dan tok lebai. Ia satu kuasa pencatur politik tanahair yang tidak boleh dipandang enteng oleh kawan dan lawan. Dengan umurnya mencecah 60 tahun hari ini, apa lagi yang boleh dikatakan pada Pas melainkan, Selamat Berjuang!

"Selamatlah Parti Islam Melangkah, membimbing umat ke medan siyasah,
Berpandukan Al Quran dan Sunnah, Suburlah hidupnya dan pasti berbuah...." (lirik lagu bersatulah kaum muslimin, lagu resmi Pas)

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas
Ahli Parlimen Malaysia

Tuesday, October 4, 2011

Bajet PAKATAN Menarik

Kesejahteraan Untuk Semua

Belanjawan Pakatan memperuntukkan RM220 bilion untuk memastikan kesejahteraan dinikmati oleh rakyat. Dalam usaha mengembalikan pengurusan kewangan yang jurang pendapatan agak ketara, Pakatan cuba mengemukakan bajet yang dalam jangkapanjang akan mengurangkan jurang ini. Contohnya, 80% dari pendapatan seisi rumah hanya menikmati purata RM 2,500 sebulan. Dari sudut pendapatan menyeluroh golongan pendapatan tinggi yg 20% mewakili 49% kekayaan manakala 40%paling bawah hanya mewakili 15% dari pendapatan negara. Masalah besar yang meruntun negara ini kepada berbagai masalah ialah subsidi korporat yang merugikan majoriti rakyat dan mega projek yang tidak menguntongkan rakyat serta ketirisan akibat rasuah dan salahurus.

Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini.

Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.

Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

- Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.

- Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.

- Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.

- Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.

- Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

Pembelaan rakyat terbanyak

Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:

a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.

b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.

c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.

d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.

f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.

Mengembalikan martabat rakyat

a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.

b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.

c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.

d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.

e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.

g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.

h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.
There was an error in this gadget