Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Wednesday, October 19, 2011

Himpunan Sejuta Umat

Niat Murni Mungkin Dieksploitasi oleh Golongan Rasis

Satu perhimpunan yang bernama sejuta umat akan diadakan di Shah Alam pada sabtu ini. Perhimpunan tersebut adalah anjuran NGO Islam yang akan membawa isu-isu Islam untuk diperjuangkan bersama oleh umat Islam. Tujuan murni perhimpunan bawah tema memelihara aqidah umat Islam adalah sesuatu yang wajar namun demikian, saya berhak untuk berasa bimbang perhimpunan akan lari dari hasrat murni penganjur.

Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena pada perhimpunan ini bukan kerana usaha mengumpulkan sejuta umat tetapi persolannya ialah sifatnya yang mungkin mengancam usaha-usaha keharmonian hubungan antara agama di negara ini. Saya ada beberapa alasan untuk berasa khuatir dalam konteks hubungan antara agama di negara ini:

1. Perhimpunan ini diadakan dalam suasana hubungan antara agama di negara ini dalam keadaan rapuh dan apa sahaja suasana permusuhan tidak akan membantu usaha usaha mewujudkan keharmonian hubungan antara agama di neagra ini.

2. Perhimpunan ini dikhuatiri akan dieksploitasikan oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan tegang dalam hubungan antara agama.

3. Lebih buruk ia dikhuatiri satu perancangan jahat yang menjadi agenda parti yang terdesak untuk terus berkuasa dengan cara mencetuskan ketegangan.

4. Dikhuatiri nama baik Islam tercemar dan sekaligus membawa imej Islam sebagai agama permusuhan dan menggalakkan benci membenci antara satu sama lain.

5. Tema memelihara aqidah tidak salah tetapi apakah dengan sekadar perhimpunan akan selesaikan masalah, bukankah dialog antara agama adalah lebih berkesan untuk menegaskan sikap Islam kepada pemurtadan dan isu isu sensitif yang lain?

Dan akhirnya saya merakamkan rasa kesal saya terhadap pihak polis yang double standard memberikan permit dalam perhimpunan ini dan melarang BERSIH tempoh hari untuk berhimpun dalam bilangan peserta yang lebih kecil. Jelas ia satu sikap yang di bawah telunjuk pihak tertentu. Saya tidak pernah menentang perhimpunan aman, tetapi sikap polis yang tidak profesional amat mengecewakan rakyat Malaysia.

Sekian

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Dialog Antara Agama Rantau Asia Tenggara.
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas Pusat

No comments: