Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Thursday, September 22, 2011

NAJIB JADI PM TRANSISI SEBELUM PERUBAHAN BESAR

APA SELEPAS ISA?


Saya bersetuju dengan pandangan bahawa ketika ini adalah masa yang terbaik untuk semua pihak melihat penghapusan ISA sebagai satu dimensi baru hasil perjuangan yang selama ini diperjuangkan oleh semua pihak yang prihatin tentang prinsip-prinsip keadilan. Walaupun perdebatan tentang siapa yang perlu mendapat kredit kerana penghapusan ini sedap untuk diceramahkan dalam pentas-pentas politik namun kita tidak perlu terheret jauh dengan perdebatan ini, apa yang harus kita lakukan ialah, perluaskan perbincangan tentang prospek ‘apa selepas ISA?’, meneruskan usaha reformasi politik dan lebih penting ialah mendidik masyarakat kita memahami dan menghayati tanggungjawab kewarganegaraan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang ada.

Saya masih belum sepenuhnya boleh meyakini bahawa Najib akan menamatkan ketempangan yang kita alami selama ini bukan kerana pesimis tetapi pengalaman gelombang reformasi di merata ceruk dunia tidak mungkin dibuat dari regim yang sudah sekian lama berkuasa, ia memerlukan identiti politik yang baru dan dinamika gerakan yang baru. Alasan kepada pemikiran ini bukanlah sukar untuk difahami, ini adalah kerana regim yang sudah lama berkuasa seperti BN (dulunya Perikatan) tidak mempunyai intipati yang diperlukan untuk melakukan perubahan dan dikukuhkan lagi oleh persepsi bahawa bebanan ketempangan ini dipikul dan dipertahankan oleh mereka sendiri selama ini. Isu kejujuran walaupun bukan alasan untuk diperdebatkan tetapi konteks sejarah lampau tetap menjadi beban kepada regim lama untuk melakukan reformasi.



Intipati perubahan yang diusahakan pula mestilah bercirikan kepada pandangan dan fahaman secara menyeluruh kepada prinsip-prinsip yang memudaratkan atau menghalang tertegaknya Keadilan, Kebebasan dan Pertanggungjawaban. Mana-mana elemen dalam dasar dan undang-undang negara serta amalannya yang mencemarkan tiga nilai ini tetap dianggap masih tempang. Sebab itu ketika Najib mengistyharkan penghapusan ISA, saya tertanya-tanya adakah ISA masalah kita ataukah prinsip-prinsip utama yang terjejas teruk kerana tidak dibela oleh pemimpin-pemimpin yang berkuasa selama ini? Kita menentang ISA kerana berlaku pencerobohan jelas terhadap hak untuk dibicarakan dan kuasa menghukum yang dirampas oleh Menteri (eksekutif) yang mana sepatutnya ia dipertanggungjawabkan kepada pihak kehakiman. Begitu juga tempoh tahanan polis yang lama (60 hari) boleh membawa kepada penyiksaan mental dan fizikal untuk mendapat pengakuan. Demikianlah seharusnya kejelasan kita terhadap sesuatu isu, walaupun ISA dihapuskan tetapi apa yang diganti tidak sepatutnya mencerobohi prinsip-prinsip keadilan, bukan namanya yang dibenci tetapi amalannya yang dipertikaikan.
Kebebasan Media turut disinggung oleh Najib dengan memberikan pendekatan baru kaedah pemberian izin operasi sekaligus. Walaupun pengumuman itu menampakkan perbezaan dari sudut tidak perlu diperbaharui secara berkala namun asas persoalan kebebasan media tetap dipersoalkan iaitu apakah “definisi bebas bahan yang dipaparkan?” Adakah jikalau pemerintah melihat bahan yang dipaparkan mengancam kepentingan mereka, izin akan dibatalkan? Jikalau begitu memberi izin sekaligus tidak akan menyelesaikan kebebasan media. Kebebasan Media mestilah dengan kepercayaan dan pertanggungjawaban yang terkawal dengan nilai-nilai budaya setempat dan undang-undang yang menjamin kebebasan tersebut. Bagaimana dengan media elektronik yang kelihatan rigid dan tidak menjadi forum mendidik maklumat dari sumber yang berbagai? Selagi dasar media menjurus kepada kongkongan dan kawalan ketat bahan dan isi kandongan selagi itulah isu pemberian izin tidak mampu menggarap persoalan sebenarnya tentang kebebasan media.

Jikalau Najib mempunyai gambaran menyeluruh tentang apa yang perlu dibuat untuk reformasi negara ini, perkara utama yang sepatutnya disentuh ialah tentang SPR. Walaupun pendedahan demi pendedahan dibuat tentang manipulasi senarai daftar pemilih, pemerintah masih bisu dan berdolak dalik. SPR seperti biasa menyalahkan pemerintah kerana katanya mereka terikat dengan undang-undang yang ada, tetapi manipulasi bukan soal peruntukan undang-undang, ia satu tanggungjawab SPR membersihkannya secara jujur dan telus. Jikalau Najib memerlukan rujukan untuk membuat reformasi SPR ia hanya perlu bertanya kepada Bersih 2.0 dan tak perlu merujuk kepada konsultan-konsultan luar negara. Apa yang berlaku dalam ketempengan SPR ialah menafikan hak ‘satu orang satu undi’. SPR juga menceroboh kuasa memilih melalui pilihanraya yang adil apabila undi pos disalahgunakan. Inilah prinsip yang perlu dibela melalui langkah-langkah reform jika Najib benar-benar mempunyai intipati jiwa seorang reformis.

Kelemahan regim lama yang berkuasa untuk membuat perubahan juga dinilai dari sudut motif pengistyharaan dibuat, apakah kerana ia satu pertanggungjawaban ataukah kosmetif efek untuk sokongan politik? Jikalau kosmetik efek ia akan dilihat tidak tulen dan akan terserlah kepincangan yang lebih buruk. Jikalau ia satu pertanggungjawaban maka ia sesuatu yang berisiko tinggi terhadap kepentingan politik regim lama kerana dengan berbuat demikian regim lama membuka jalan mudah kepada kemunculan identiti politik baru yang akan mendapat menfaat dari semua ruang-ruang yang yang ada. Ini yang berlaku kepada BJ Habibi di Indonesia dalam waktu peralihan kepada era reformasi. Saya pernah menulis semasa Pak Lah mengambil alih dari Tun Mahathir, bahawa Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) akan menjadi Perdana Menteri Transisi jikalau apa yang disebut tentang reform yang cuba hendak dibawa berlaku. Pak Lah menamatkan kepimpinannya dalam suasana tertekan dari dalam Umno sendiri dan legasi beliau kearah reform dilihat dalam akta SPRM, Suruhanjaya Kehakiman dll. Kini Najib mengorak langkah dengan nada yang sama tentang melakukan reformasi, apakah Najib akan jadi Perdana Menteri Transisi untuk kemunculan identiti politik baru menguasai pemerintah kelak selepas PRU 13? Apa selepas ini?

Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

Mat Sabu Kena Lagi

Mat Sabu Di Dakwa Lagi!

Semasa dalam perjalanan ke Langkap, Perak semalam, saya terdengar dari suara radio dalam kereta saya berita bahawa Mat Sabu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok (21 Sept). Saya terus tersentak dan secara spontan memberitahu sahabat saya Man: "jom kita pi esok!" Man yang memang terkenal orang yang setia dengan perjuangan parti terus respon pantas dengan hanya satu perkataan "mesti!" dengan jaminan itu saya tahu saya ada teman esok nak ke mahkamah memberi sokongan moral kepada Timbalan Presiden saya yang didakwa di atas pengkhianatan awam yang membawa maksimum penjara 2 tahun.

Pagi tadi mahkamah Sesyen Butterworth tidak seperti biasa, ada banyak polis dan orang ramai sedang menunggu secara berkelompok di sana sini sehingga ke pintu masuk utama. Setelah bersalaman dengan ramai yang berhimpun di luar dan dalam perkarangan parkir bangunan Mahkamah saya bersapa dengan para wartawan di pintu masuk utama. Saya mengambil keputusan untuk naik atas di bilik perbicaraan dengan harapan dapatlah saya bertemu dengan Timabalan Presiden Pas itu dan terus memberi sokongan moral kepadanya.

Baru sahaja tiga hari sudah, pegawai khas saya abang Hamdan menunjukkan gambar saya, Mat Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipakaikan dengan topi bintang tiga (komunis) sambil ditulis di bawahnya "mujahid kata balai polis bukit kepong yang diserang adalah sasaran penjajah" Agak besar juga gambar yang bersaiz poster itu ditampal semasa program Raya di Sg Aceh Nibong Tebal yang dihadiri oleh TPM. Semasa saya sedang melayan pemikiran saya yang melayang ke poster nakal tempoh hari tiba- tiba saya terserempak dengan peguam Mat Sabu yang juga rakan baik saya iaitu Sdr Aminudin, YDP Pas Tanjung Malim. Dia terus bercakap dalam BI "what an insult, they asked us a bail of 15ks, earlier they asked for 60ks! The charge actually does not amount to that figure!" dia pun menerangkan pada saya bahawa tempoh hari kumpulan PSM pun hanya dikenakan jaminan 8k sahaja, kalau dibanding pendakwaan ke atas geng PSM lagi berat kata dia. "Ini memang betul-betul insulting!"

Ya saya setuju, ia sesuatu yang cukup menghinakan, malah saya menganggap kenyataan Mat Sabu hanyalah satu opini yang seharusnya didebatkan di pentas akademik samada untuk menafikan atau menyokong dengan hujah- hujah yang ilmiyah. Lagipun sejarah bukan maksom sehingga tak boleh dipersoalkan! Disiplin sejarah sendiri memperuntukkan ruang untuk menilai semula penulisan sumber sejarah itu sendiri, bukankah ini semua akademik? Saya tidak boleh bayang nanti bagaimana perbicaraan akan jadi bilik kelas untuk subjek sejarah di mana peguam akan membawa buku dan bahan sejarah manakala hakim akan menentukan fakta sejarah mana yang betul, bukankah itu melucukan? Sepatutnya kontraversi Mat Sabu dibahaskan oleh ahli akademik untuk dijadikan alasan menilai semula bagaimana sejarah kita ditulis dan apakah faktor kepengaruhannya sehinga beberapa fakta dilihat bercelaru? Dan sepatutnya yang menilai hujah ilmiyah ini semua ialah pakar sejarah yang neutral (pastinya bukan dari Majlis Profesor Negara) yang akan membuat rumusan untuk dibaiki fakta sejarah kita. Tapi apakan daya, kehendak orang politik sempit di negara kita ini terlalu bacul untuk mendebatkannya secara terbuka kerana nanti kelak akan terbongkarlah banyak perkara lagi tentang fakta sejarah yang cuba dimanupulasikan. Lagipun saya penuh yakin isu Mat Sabu yang menginterpretasikan sejarah demikian rupa dibalas oleh Umno dengan niat jahat untuk 'membelasah' Pas melalui Mat Sabu. Mereka tak mungkin belasah Pas atas pentas ceramah atau forum, maka cara terbaik ialah heret ke mahkamah atas alasan ada 27 laporan polis terhadap Mat Sabu. Umno juga mahu apabila kes dalam perbicaraan tidak ada sesiapa yang boleh bercakap soal ini lagi, noktah!

Depan pintu bilik perbicaraan penuh dengan orang ramai dan wartawan, saya melalui celah orang ramai untuk masuk ke dalam dan lega apabila pintu dibuka, Mat Sabu betul- betul di hadapan saya sambil tersenyum menyambut saya. Beliau yang berjaket hitam dan memakai t shirt kolar bulat berwarna hijau bersalaman dengan saya cara komrade seraya berkata: "terimakasihlah mai, depa la ni dok haru, dalam dok serang saya, Prof mana pulak bawak mai kata kita tak dijajah!" Mat Sabu sempat berseloroh dengan saya:"SPM dan PMR tahun ni kena tangguh dulu pasai nanti budak keliru nak jawab periksa! Kena jajah ka atau kena naung?" dia juga ucap terimakasih kat saya kerana antara yang awal menyokong kenyataan dia tentang sejarah kerana saya ada membuat satu artikel dan dihujung artikel saya mengatakan " tahniah Mat Sabu kerana memaksa ahli akademik memunggah buku- buku yang selama ini tertimbus dalam perpustakaan tentang sejarah Malaysia!"

Saya mengenali Mat Sabu sejak beliau baru mula nak naik ketika saya belajar di pondok Pak Man Kedah. Kalau ada ceramah Mat Sabu kami akan keluar pergi dengar dan sebagai pelajar waktu itu saya harus akur agak tertarik dengan gayanya dan " loklaknya" ketika berceramah. Mat Sabu juga sering menyebut tentang ayah saya yang dianggapnya sebagai idola kerana ketegasan prinsip Pak Yusof Rawa. Atas alasan itu semua, saya mengenali Mat Sabu, apatah lagi apabila berkecimpung dalam Pas semasa Dewan Pemuda dan kini AJK Pas Pusat hubungan dengan Mat Sabu agak rapat. Khusus tentang Dewan Penyokong Pas yang saya terajui, terdiri dari bukan Islam dalam Pas , Mat Sabu banyak membantu dan menggalakkan perkembangan Dewan ini.

Pagi tadi sehingga tengahari, seluruh negara menanti apakah episod seterusnya? Pada 27hb Oktober beliau akan dibicarakan dan pastinya ia sesuatu yang menarik kerana bilik perbicaraan akannjadi kelas sejarah! Semasa Mat Sabu dan kumpulan lawyernya melangkah keluar dari pintu bicara, berpusu-pusulah wartawan mengerumuni Mat Sabu, saya terpaksa ketinggalan di belakang kerana orang ramai tolak menolak untuk mendapatkan 'hero' mereka yang akan membuat PC di pintu utama bangunan. Semasa PC saya ada di sebelah Mat Sabu dengan kilauan lampu kamera dan lensa video wartawan, Timbaan Presiden Pas itu dengan tenang berucap: " mereka memilih untuk debat di mahkamah dan tidak di pentas politik, saya dikenakan ikatjamin RM 15k, ini cukup memeranjatkan sedangkan saya dalam semua perbicaraan saya sebelum ini tidaknpernah tidak hadir perbicaraan kecuali dimaklumkan awal atas sebab yang tidak dapat dielakkan......" Demikian antara lain isi PC yang dibuat, sejurus kemudian kereta Camry putih meluncur di hadapan orang ramai dan Mat Sabu di bawa oleh unit amal masuk ke dalam kereta. Ada seorang lelaki agak berumur sebelum Mat Sabu beredar dengan penuh semangat berkata: "Mat sabu! Kuatkan semangat!" Sejurus kemudian orang ramai pun bersurai dengan berlalunya kereta Camry putih. Saya yakin ramai yang kalau boleh mahu mengatakan kata semangat yang sama seperti lelaki akhir tadi, apatah lagi Timbalan Presiden Pas itu menjadi mangsa politik regim BN yang ada. Biarlah saya tegaskan lagi, isu Mat Sabu isu yang dipolitikkan untuk melengkapkan usaha membina imej Najib yang baru dan BN yang baru, ia bukan soal siapa bersalah dan siapa tidak, ia hanya keperluan BN dan Najib untuk terus berkuasa! Moga Mat Sabu tabah!

Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Pengerusi Perpaduan Nasional

Saturday, September 10, 2011

Profesor Hina Perjuangan Kemerdekaan

Kenyataan Akhbar

Kenyataan Prof Zainal Kling yang menganggap Malaysia tidak pernah dijajah oleh British kerana yang berlaku ialah perjanjian berkonsepkan naungan adalah sesuatu yang memalukan dan menjatuhkan kredebiliti beliau sebagai ahli akademik yang sayangkan perjuangan bangsanya. Kenyataan beliau yang mewakili MPN (Majlis Profesor Negara) menghina perjuangan bangsa yang selama ini menjadi sumber inspirasi generasi anak merdeka. Kurikulum sejarah sekolah-sekolah sejak sekian lama memahamkan pelajar kita bahawa British adalah penjajah dan kita merdeka dari penjajah dengan laungan Merdeka! Ia tidak memerlukan seorang Profesor untuk memahami bahawa 'MERDEKA' membawa pengertian kebebasan dari sesuatu penjajahan dan bukan naungan.

Kenyataan beliau turut menghina pejuang bangsa selama ini kerana jikalau bukan penjajahan mengapakah adanya istilah ' pejuang kemerdekaan'? Mengapakah adanya semangat nasionalisma menentang penjajahan British? Bukankah perjanjian pangkor menandakan penjajahan kepada kekayaan negara dan eksploitasi kekayaan hasil bumi untuk memberikan kekayaan kepada penjajah? Tidak cukupkah maruah bangsa diinjak apabila anak bangsa tidak ada suara dalam menentukan nasib bangsanya selama dijajah? Saya tidak tahu apa maksud Profesor ini apabila memutarbelitkan istilah penjajah kepada penaung? Adakah beliau mahu mengatakan bahawa generasi anak merdeka telah ditipu oleh buku-buku sejarah atau tawarikh yang kita baca di bangku sekolah dan di universiti?

Oleh itu saya menuntut supaya pihak MPN melucutkan beliau dari terus menganggotai MPN bagi memelihara kredibeliti majlis ini dan menuntut supaya gelaran Profesor ditarik balik kerana menghina sejarah bangsanya sendiri dan penghayatan kemerdekaan yang baru sahaja kita sambut. Saya juga menuntut beliau menarik balik kenyataannya bahawa kita tidak dijajah, kita hanya dinaungi oleh British. Jika beliau tidak menarik balik, ini menandakan bahawa seluruh rakyat Malaysia yang masih hidup dan yang mati selama ini telah ditipu dengan mempercayai bahawa kita telah dijajah sedangkan kita hanya dinaungi sahaja. Saya menyeru kepada Kementerian Pelajaran supaya mengambil tindakan yang tegas terhadap Profesor ini yang menimbulkan kekeliruan yang amat berbahaya terhadap perjuangan bangsa yang terbina selama ini.

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Perpaduan Nasional PAS

10 Sept 2011

Thursday, September 8, 2011

SEJARAH ATAU PENULISAN SEJARAH?

PERLUKAH SEJARAH KITA DINILAI SEMULA?

MUQADDIMAH
Kenyataan Sdr Mohammad Bin Sabu Timbalan Presiden PAS, atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu telah menggegarkan seluruh negara, ia bukan sahaja menjadi polemik di kalangan ahli politik, kali ini ahli akademik diheret dalam isu besar yang membabitkan sejarah negara. Ia menjadi besar sehingga ada cakap-cakap untuk menilai semula sejarah negara khusus yang menyangkut soal-soal patriotisma. Saya tidak tahu samada isu ini sengaja ditimbulkan sebagai sensasi politik bersempena 31 Ogos ataupun ia cover-up isu untuk menutup segala kelemahan BN dan kepimpnan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa pun semua pihak rasa teruja hendak mengambil bahagian dan seperti biasa ramai yang menjadi mangsa keadaan tanpa di sedari. Betulkah sejarah kita perlu dinilai semula?

PENAFSIRAN SEJARAH
Saya merasakan politik negara kita bukan dikuasai oleh ahli politik yang bijak pandai menafsirkan sejarah untuk dijadikan bahan pencetus kebangkitan, tetapi otak mereka dikuasai oleh kepentingan sempit yang hanya memikirkan diri mereka dan tidak melihat perspektif sejarah dalam skop kepentingan nasional. Tangapan ini bukanlah sesuatu yang pelik tetapi ia bersandarkan kepada satu pandangan yang melihat bahawa sesuatu penulisan sejarah terpengaruh dengan keadaan dan suasana yang lebih besar seperti sistem kenegaraan, komunikasi, propaganda dan kecenderungan politik si penulis. Pandangan besar ini datang dari tokoh falsafah sejarah Islam Ibnu Khaldun yang melontarkan ide ini dalam karya agungnya Muqaddimah (1377). Tokoh sejarah agung ini membawa konsep baru ketika itu iaitu sejarah dahulu perlu diberi intepretasi memandangkan kepada berbezanya satu zaman dengan satu zaman yang lain dan pengaruh-pengaruh ketika sesuatu penulisan itu dibuat.

KEPENTINGAN POLITIK
Apabila polemik mempertikaikan sejarah negara muncul, kita harus jujur untuk memahami bahawa apa yang diperbincangkan ialah bagaimanakah bahan sejarah itu dituliskan dan apakah pengabsahan kepada data-data maklumat yang terkumpul, ia soal akademik yang perlu perdebatan dengan ‘kepala yang sejuk’ bagi kita membetuli apa yang kita anggap benar setakat ini atau dalam istilah pengajian sejarah dikenali sebagai Political Correctness (Pembetulan secara Politik). Ahli akademik harus juga jujur mendidik rakyat dengan kesempatan yang ada tentang prinsip-prinsip kajian sejarah. Apa yang negara ini tidak perlu ialah ahli akademik yang dicucuk hidung untuk berkata apa yang dikehendaki oleh tuan-tuan politik mereka kemudian akan ‘dilambung’ pula oleh media-media ‘kelas jamban dan longkang’. Itulah cara rakyat dididik tentang falsafah sejarah di negara kita! Tidak pelik pandangan ‘Political Correctness’ kerana Jepun yang dikatakan maju sering diberi contoh tentang penulisan sejarah yang cuba menyembunyikan fakta ‘ Penyembelihan Nanking’ dalam kurikulum sejarah mereka. Begitu juga di Amerika apabila sejarah ‘Perang Saudara’ antara Utara dan Selatan cuba dilunakkan fakta-faktanya bagi mengelak sensitiviti. Penulisan sejarah Jerman turut dikritik kerana lebih tunduk kepada pengaruh UNESCO dan masyarakat dunia daripada melihat kepentingan ‘superpatriotism’ Jerman sehingga merendah-rendahkan kebanggaan negara. Jadi apabila isu “Peristiwa Bukit Kepong’ muncul secara tiba-tiba dengan ‘keseronokan’ media ‘membelasah Mat Sabu’ di manakah ahli akademik yang jujur dengan disiplin ilmunya mendidik massa?

PERSPEKTIF SEJARAH RAKYAT
Bercakap tentang sejarah massa ada satu lagi kajian sejarah yang melihat pendekatan rakyat sebagai bahannya dari perspektif rakyat awam, menggambarkan sejarah perjuangan dari bahasa golongan marhaein, golongan non-conformist atau dari sudut bahan dari nama-nama mereka yang tidak disebut atau diabaikan nama-nama mereka. Ini juga satu perspektif, kalaupun apa yang ditimbulkan oleh Mat Sabu dari nama ‘Mat Indera’ itu satu nama yang cuba diabaikan atas apa juga alasan penulisan sejarah, seharusnya ia diperdebatkan dalam kerangka akademik dan diberi penilainnya dalam perspektif ‘People’s History’ dan bukan menyalahkan kajian-kajian yang menyebut nama Mat Indera sebagai salah dan tidak tepat. Soal keluarga anggota polis yang menjadi mangsa Peristiwa Bukit Kepong terguris dengan isu ini tidak timbul dari perspektif objektiviti kerangka kajian sejarah kerana jika dilihat kepada keluarga Mat Indera yang dipersepsikan begitu rupa, apakah keluarganya tidak terguris? Apa yang dipermainkan oleh media tertentu yang bertaraf ‘longkang dan jamban’ hanya bermain sentimen dan emosi lalu aspek objektiviti dan kerangka sejarah diabaikan dan begitulah kehendak golongan bangsawan yang mahu menginjak-injak kerangka ‘people’s history’. Bagi saya secara akademiknya ia satu kesalahan dan dari sudut moralnya ia sesuatu yang jijik kerana menutup kebenaran!

SUMBER SEJARAH
Sumber sejarah adalah bahan yang penting untuk memastikan matlamat nasional yang besar tercapai dan ia akan menjadi bahan rujukan sesuatu bangsa untuk mereka mengenali sejarah lampau bagi membentuk masadepan yang hebat. Namun aspek yang besar ini turut terdedah kepada manupulasi dan faktor kepengaruhan yang disebutkan di atas oleh Ibnu Khaldun. Oleh itu apa yang diperdebatkan ialah penulisan sejarah dan kesahihan sumber maklumat. Sumber kepada ilmu sesuatu sejarah itu dilihat dalam tiga kategori. Pertama ialah apa yang tertulis semasa peristiwa itu berlaku, kedua ialah apa yang diperkatakan orang ramai dan ketiga ialah bekas yang ditinggalkan secara fizikal. Ketiga-tiga kategori ini bukanlah muktamad kerana apa yang membezakan antara sumber dan apa yang dibaca ialah penulisan sejarah itu sendiri. Penulisan inilah yang perlu dibahaskan kerana sejarah akan tetap menjadi sejarah walau apapun diperkatakan oleh generasi kemudian. Kita hanya boleh memperdebatkan pendekatan penulisan dan cara maklumat itu dikumpulkan dan saya mengharapkan isu ucapan Mat Sabu dipandang dari sudut yang lebih terbuka dan minda yang melambangkan kemajuan berfikir bukan gaya dan cara yang dipaparkan oleh media-media yang mendidik pemikiran rakyat kearah lawan jam. Apapun tahniah kepada Mat Sabu kerana mencetuskan pemunggahan semua kerangka pemikiran disiplin sejarah dan falsafah yang selama ini hanya tertimbus dalam buku-buku akademik.

YB DR.MUJAHID YUSOF RAWA
AHLI PARLIMEN MALAYSIA
PENGERUSI PERPADUAN NASIONAL PAS PUSAT
There was an error in this gadget