Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Tuesday, February 22, 2011

Lawatan Perpaduan Nasional Ke Perkampungan Orang Asal Meriah




Pas Kawasan Tanjung Malim telah mengadakan Program Bersama Orang Asal di Kg Pisang baru-baru ini. Program tersebut adalah kerjasama LPN Pusat dan Kawasan bagi mengeratkan hubungan dan menyampaikan dasar PAS kepada orang Asal. Penduduk Asal yang berjumlah 200 keluarga itu menyambut kedatangan rombongan PAS dengan penuh kemeriahan. Turut sama dalam rombongan ialah kumpulan OTAI Kelab Motor dan Mutiara Infaq yang datang bersama 40 motor berkuasa tinggi dan 9 Kenderaan pacuan 4 roda. Kedatangan konvoi yang besar menarik perhatian orang ramai dan menjadi tumpuan utama program.

Pemuda PAS Tanjong Malim sebelum kedatangan konvoi telah bermalam di sana dan menyediakan program barbeque dan tayangan filem untuk penduduk di sana. Makanan tengahari pula disediakan oleh Muslimat Pas. Kemesraan Pemuda Pas dengan penduduk di sana terjalin dengan berbagai aktiviti termasuk pertandingan sepak takraw yang dimenangi oleh Pemuda Kampong Pisang. Mutiara Infaq melalui Penasihatnya Sdr Zulkifli Mohammad Lazim turut memberikan sumbangan bersama dengan LPN kepada beberapa anak Yatim dan sebanyak 40 kampit beras diserahkan kepada Tok Batin untuk diagihkan kepada keluarga miskin di sana.

Dr Mujahid dalam ucapannya melahirkan rasa gembiranya dapat bersama dengan penduduk asal dan sempat memperkenalkan dasar Pas for All. Antara masalah yang dihadapi oleh Orang Asal ialah pencerobohan tanah mereka untuk tujuan pertanian atau pembangunan. Oleh kerana tidak ada bukti geran milik, pihak berkuasa khususnya Kerajaan Negeri sewenang-wenangnya ‘merampas’ tanah mereka dan menimbulkan berbagai permasalahan kepada penduduk orang asal. Dr Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya berjanji untuk melihat permasalahan ini melalui kajian peruntukan akta yang ada supaya hak orang asal dapat dipelihara melalui undang-undang dengan cara yang lebih berkesan.

Turut hadir ialah peguam-peguam yang prihatin kepada permasalahan mereka antaranya ialah Sdr Aminudin, Sdr Augistine dan Bahtony. Sdr Aminudin yang juga AJK Pas Kawasan memberi jaminan beliau akan memberikan khidmatnya untuk penduduk disitu jika mereka memerlukan. Pada malamnya Dr Mujahid berceramah di DUN Sungkai bersama dengan YB Sivanesan dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lainnya. Ustaz Ahmad Syafie selaku Pengerusi LPN Tanjong Malim mengucapkan terimakasih kepada semua yang menjayakan Program Satu Hari bersama Dr Mujahid dan mengharapkan tindakan susulan dapat dilakukan bagi membentuk DHPP untuk Orang Asal di sini.

No comments: