Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Tuesday, February 8, 2011

Gerakan Islam dan Pendemokrasian

Apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir telah membuka mata dunia bahawa setiap penindasan ke atas rakyat akan dibalas dengan kebangkitan yang di luar jangkaan para pemimpin kuku besi. Mungkin penguasaan pemimpin zalim berada pada jangkamasa yang lama tetapi ia tidak mampu kekal selamanya dan mungkin rakyat akan ditindas buat seketika tetapi akhirnya ia akan muncul sebagai pemenang di penghujungnya. Hinanya pemimpin kuku besi diludah oleh rakyat sendiri di mana satu ketika mereka disanjung melangit. Seperti mana-mana pemimpin diktator dunia, mereka tidak akan mengalah malah pada saat akhir kepimpinan mereka, mereka masih bercakap tentang keutamaan negara!

Kemunculan diktator tidak dapat diduga dari awal kerana mereka mengambil alih kuasa dari pemimpin sebelumnya dengan penuh semangat untuk mengembalikan kuasa rakyat, mereka mengambil alih juga dengan nama rakyat. tetapi setelah bertakhta sekian lama mereka bertakhta pula di hati. Kuasa yang diebrikan oleh rakyat menjadi milik peribadi malah kaum keluarga menjadi pencatur kepentingan empayar sendiri, rakyat mula menderita. Pada tahap ini, rasuah berleluasa, kualiti hidup rakyat terabai, projek infrastruktur menjadi kepentingan kroni, amanah sudah lama hilang dalam kamus pemerintahan. Sekali lagi rakyat menjadi mangsa , keadaan mereka sama seperti keluar dari mulut buaya, masuk ke dalam mulut naga.

Semasa proses kediktatoran terbentuk di Tunisia dan Mesir, Gerakan Islam berada di sisi rakyat untuk memberi amaran dan peringatan kepada kerakusan kuasa kuku besi ini. Memandangkan kepada pengaruh Gerakan Islam yang dekat di hati rakyat, golongan yang digelar Islamist ini dinafikan hak mereka malah merekalah yang paling teruk ditindas dan dipenjara. Tokoh-tokoh Gerakan islam yang memerlukan ruang udara untuk bernafas menuntut supaya adanya demokrasi dan dengan itu dapatlah mereka bersuara dan menyampaikan hasrat rakyat. Penghujung 80an menyaksikan sedikit keterbukaan dari regim kuku besar negara Arab, apabila berlaku pilihanraya tempatan secara terbuka, golongan Islamist berjaya memperolehi kerusi yang banyak. Tetapi kemenangan ini dibalas dengan suasana yang dicipta oleh penguasa sendiri kononnya berlaku huru-hara dan keganasan dengan kemenangan ini. Akhirnya gerakan Islam sekali lagi menjadi mangsa pada permainan yang diatur sendiri oleh para diktator ini. Ramailah yang disumbat dan dibunuh.
Rashid Ghanushi pemimpin An Nahdah Tunisis di buang negeri dan menjadi pelarian di bumi sendiri. Ikhwan atau The Brotherhood di Mesir memenuhi penjara-penjara Mesir kerana ketegasan mereka terhadap penindasaan pemiimpin k etas rakyat. Reka- cipta keadaan supaya rakyat membenci gerakan Islam digerakkan antaranya ialah Fundamentalist, Teroris, Radikal dan Anti-establishment. Walaupun Ikhwan beberapa kali menunut supaya dikembalikan demokrasi dan undang-undang dharurat ditarik balik sejak kematian Anwar Sadat, namun suara mereka dipekakkanmalah terus menerus Hosni Mubarak membunuh demokrasi dan menyusun pelan kuasanya mengikut selera kroninya. Kedua-dua kes Tunisia dan Mesir adalah pengajaran penting kepada dunia betapa Gerakan Islam yang di gelar Islamist itu setia dan tegas menuntut kebebasan untuk rakyat dan kini menikmati hasilnya.
Ironinya sepanjang proses kezaliman pemimpin berlaku, di manakah Amerika dan sekutunya yang bercakap tentang demokrasi dan kebebasan? Para penjilat kebebasan dan demokrasi ala Amerika harus sedar bahawa pengajaran di Tunisia dan Mesir juga mendedahkan kepada dunia wajah munafik Amerika pada tahap pertama. Pada waktu yang sama Amerika mengganyang Iraq atas nama demokrasi dan kebebasan untuk rakyat Iraq tetapi pada waktu yang sama juga Amerika ‘menternak’ bibit-bibit kediktatoran di Tunisia dan Mesir lalu menjadi haiwan yang ganas yang tidak dapat dikawal lagi. Amerika ditelanjangkan oleh rakyat Mesir dan Tunisia, kemunafikan demokrasi ala Amerika sudah diketahui umum. Amerika hanya bercakap tentang demokrasi apabila ia merasakan kepentingannya terancam.
Tetapi apabila ia perlu memelihara kepentingannya maka bersengkongkol dengan penentang demokrasi seperti Hosni Mubarak dan Zainul Abidin Ben Ali adalah wajar. Semuanya gara-gara memastikan ‘anak manja’ Israel tidak terjejas. Negara Mesir perlu dijaga kerana ia menjadi broker bagi mencairkan hubungan negara Arab dengan Israel. Mesir adalah sekutu yang paling setia untuk Amerika dengan peruntukan US Dollar 1.6 billion setahun. Apa yang Hosni Mubarak buat dengan rakyatnya bukan masalah Amerika, yang penting haiwan in perlu diberi makan dengan baik untuk kepentingan politiknya di Timur Tengah.

Pengajaran seterusnya ialah Gerakan Islam bukan anti demokrasi seperti yang dihebohkan. Gerakan Islam setia terhadap kebebasan bersuara dan yakin demokrasi adalah mercutanda ketamadunan. Mereka telah membuktikan bahawa perjuangan Islam perlu diterima dalam kerangka demokrasi yang memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menerima atau menolaknya. Allahyarham Baharudin Latif selaku Pengarang kepada Suara Islam milik Parti islam Se Malaysia (PAS) pada tahun 50 an telah menyebut bahawa, Parti Islam sebagai sebahagian daripada pemain dalam demokrasi dan tidak salah parti Islam bersaing untuk membawa ideologinya dalam kerangka tersebut. Ikhwan sebagai Gerakan Islam awal daripda itu meyakini bahawa penyertaan mereka dalam pilihanraya adalah usaha untuk memenangi hati rakyat secara demokratik. Gerakan Islam di Aljeria melalui FIS dan Nahdah di Tunisia semuanya menerima aturcara permainan Demokrasi malah cuba mengasasakan fahaman demokrasi yang sebenarnya. Tetapi malangnya sikap prejudis Barat terlalu tebal kepada Gerakan Islam sehingga permainan yang mereka sendiri cadangkan dipertikaikan hanya semata-mata kerana kemenangan Gerakan Islam.
Di Malaysia PAS berada di pesada Demokrasi sejak sebelum merdeka lagi apabila menyertai Pilihanraya Federal pada tahun 1955 dan menang hanya satu kerusi di Kerian. Sejak itu selama 12 PRU telah disertai oleh PAS walaupun permainannya berat sebelah, tetapi komitmen PAS sebagai Gerakan Islam tidak dapat dipertikaikan lagi. Kebimbangan kononnya apabila Gerakan Islam menang dalam demokrasi sebagai alasan untuk mereka melaksanakan agenda Negara Islam adalah karut dan tidak berasas. Gerakan Islam adalah denyut dan nadi rakyat, bersesuaian dengan fitrah Islam yang diperjuangkan gerakan Islam komited untuk menegakkan keadilan, kebajikan dan perundingan rakyat, di mana salahnya?

Kini rakyat Tunisia dan Mesir bangun untuk menuntut hak mereka yang ditindas selama 30 tahun, rakyat kini mula sedar siapa yang setia dan siapa yang pengkhianat. Demokrasi dan Gerakan Islam tidak dapat dipisahkan. Amerika yang kononnya pejuang Demokrasi menjadi lemah apabla berhadapan dengan kepentingannya. Hari ini Demokrasi bukan lagi hak cipta terpelihara Amerika atau Barat tetapi munculnya Gerakan Islam membentuk Demokrasi dengan acuannya tersendiri, malah Ghanushi pernah berkata benih demokrasi disemai oleh Islam tetapi diambil hasilnya oleh Barat hari ini. Inilah orang yang kini kembali ke tanah tumpah darahnya sejak 22 tahun dibuang negeri, apakah Ghanushi akan memetik hasilnya di Tunisia pula? Gerakan Islam dan Demokrasi tidak dapat dipisahkan!

No comments: