Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Monday, January 3, 2011

KENYATAAN ISU BUKU ‘MENUJU PAS BARU’

Merujuk kepada kenyataan Dewan Ulamak Kedah berkenaan dengan buku saya “Menuju Pas Baru”yang tersiar dalam Sinar dan beberapa media lain, saya berasa bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara sebenarnya. Beberapa kekeliruan timbul dalam keputusan Dewan Ulamak Kedah termasuklah kenyataan-kenyataan yang memerlukan penjelasan khususnya yang melibatkan nama baik saya sebagai AJK Pas Pusat.
Oleh itu saya mengharapkan penjelasan saya dapat menggambarkan keadaan sebenar dan apa yang saya tulis dalam buku tersebut. Saya juga yakin bahawa pandangan-pandangan tentang Pas adalah dalam usaha untuk memastikan Parti Islam menjadi lebih kukoh dan bukan sebaliknya. Untuk itu saya ingin menjelaskan bahawa;

1. Saya terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membuat kritikan yang membina kepada buku saya kerana ini akan membantu ide-ide dalam buku itu dicerakinkan untuk membaiki organisasi parti. Saya mengucapkan terimakasih kepada Dewan Ulamak Kedah kerana memulakan inisiatif memberi komen kepada buku saya secara terbuka.

2. Sebagai AJK Pas Pusat, saya bertanggungjawab untuk menyumbang dan menyaran ide-ide yang boleh dimenfaatkan oleh parti. Apa yang terkandong dalam buku itu hanyalah pandangan-pandangan saya yang jika ia baik untuk parti saya berbangga kerana telah menjalankan tanggungjawab saya. Jika tidak diterima sekalipun saya bersyukor kerana saya telah berusaha kea rah melihat masa depan Pas yang pastinya akan menjadi parti arus perdana dalam negara ini.

3. Pas adalah sebuah parti politik Islam, dasarnya yang jelas sedikitpun tidak diragui oleh kawan ataupun lawannya. Kekuatan moral dan semangat tinggi yang dimiliki oleh kepimpinan dan ahli Pas dicemburui oleh kawan dan lawan. Buku saya sedikitpun tidak mempertikaikan aspek dasar perjuangan Pas. Buku saya hanya menyentuh tentang aspek organisasi parti yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa. Walaupun dasar Islam itu tidak boleh dipertikaikan namun organisasi parti Islam boleh dikritik selagi bersandarkan kepada hujah yang membina.

4. Buku saya adalah usaha untuk melihat masadepan Pas dengan mengambil kira aset perjuangan Pas selama hampir 50 tahun lebih. Pas juga melalui fasa-fasa kepimpinannya dan buku “menuju Pas Baru” hanyalah garapan saya terhadap masadepan organisasi Pas yang perlu difikirkan oleh generasi muda dalam Pas dan perlu diketahui oleh umum.

5. Kekeliruan dari sudut istilah-istilah yang digunakan dalam buku tersebut boleh dijelaskan dengan mengadakan wacana dan diskusi yang sehat bagi membudayakan sikap keterbukaan kepada pandangan-pandangan yang berbeza. Adapun membuat sesuatu keputusan tanpa terlebih dahulu diwacanakan tidak akan membawa kita semua kepada asas sebuah masyarakat yang telus dan matang.

Semoga kenyataan ringkas ini dapat membersihkan jerebu yang menyelubungi di sekitar perdebatan buku “Menuju Pas Baru”. Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa saya sentiasa bersikap terbuka kepada apa-apa pandangan dan kritikan yang membina demi untuk kebaikan parti dan sekali lagi saya jelaskan bahawa keyakinan saya kepada Pas sedikit pun tidak tergugat dengan keputusan yang dibuat oleh Dewan Ulamak Kedah.

Sekian,

Yang Benar

YB Dr Mujahid Yusof Rawa
(AJK Pas Pusat)

1 comment:

Unknown said...

Pemimpin yg boleh dikritik yg kami cari... Bukan pemimpin yg suka di puji & di ampu shj.