Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Monday, January 24, 2011

Dr Mujahid Lawat Kolam Keli Tercemar




Parit 310 - Aduan penduduk tempatan mengenai pencemaran bau busuk serta kerosakan sawah padi berhampiran dengan kolam ternakan ikan keli mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa. Beliau bersama penduduk serta wartawan telah ke tempat ternakan keli yang menjadi punca bau busuk serta kerosakan tanaman padi.

Ketika bertemu beliau telah diberi laporan oleh penduduk tentang masalah bau busuk yang datang dari tempat ternakan keli yang mempunyai 11 buah kolam. Air busuk yang melimpah keluar dari kolam tersebut telah mengalir ke sawah padi berhampiran dan menyebabkan tanaman padi tersebut rosak. Seramai enam orang petani terjejas pendapatan akibat limpahan air kolam tersebut.

"Saya sendiri pun tidak tahan dengan bau yang meloyakan. Apa yang pasti keli di kolam ini telah diberikan bangkai haiwan dan air tidak disalur dengan baik menyebabkan bau busuk". Beliau juga mempersoalkan bagaimana pusat ternakan ikan keli ini boleh beroperasi di sini. "Kita nak tahu adakah kolam ternakan ini diusahakan secara sah atau sebaliknya. Sekiranya sah, bagaimana satu kawasan tanaman padi boleh didirikan kolam ikan. Apakah kriteria kolam ini diluluskan. Di Parlimen, kerajaan sering menyatakan tentang betapa pentingnya kawalan keselamatan makanan negara khususnya beras di dalam negara kita. Dan jika kolam ini didirikan secara haram kita minta pihak berkuasa mengambil tindakan." katanya

Selain itu beliau juga berbincang dengan pihak penduduk tentang masalah pengairan sawah. Di kawasan Parit Buntar sering berlaku jentuai tidak dapat masuk untuk menuai padi akibat tanah yang berlumpur teruk. Ini sesungguhnya akan menjejaskan pendapatan petani. Beliau juga akan meminta pihak JPS serta pertanian untuk melihat sama ada sistem penjadualan semula tanaman padi boleh mengatasi masalah ini.

Antara lainnya juga beliau akan membuat laporan kepada pihak berkenaan tentang kegiatan ternakan arowana yang bakal diperluaskan aktivitinya di sekitar kawasan Bukit Merah dikatakan bakal memberi kesan lebih buruk kepada petani yang mengusahakan sawah padi. "Saya syorkan pihak Pejabat Daerah Kerian serta pihak yang berkaitan membuat pertemuan dengan seluruh pesawah di Kerian dengan menjanjikan keperluan dan keselamatan pengairan untuk tanaman padi di Kerian tidak terjejas dengan pertumbuhan industri arowana di Kerian.

No comments: