Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Wednesday, June 15, 2011

Pelancaran Buku Jingga Peringkat Parlimen Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 3 Jun : Pakatan Rakyat akan memberi tumpuan terhadap penerangan Buku Jingga kepada rakyat supaya rakyat faham dan jelas terhadap perjuangan yang di bawa Pakatan Rakyat.

Demikian kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain semasa menyampaikan ucapan sempena pelancaran Buku Jingga peringkat parlimen Parit Buntar di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Titi Serong.

“Pakatan Rakyat akan adakan penerangan daripada rumah ke rumah secara berkelompok khususnya kawasan pendalaman kampung, Melayu, Cina dan India”.

“Rakyat perlu faham apa sebenarnya hasrat Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga ini sehingga ia sangat ditakuti oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN)"katanya
Hadir sama pada majlis itu, Dr. Mujahid Yusuf Rawa Ahli Parlimen Parit Buntar, Jeff Ooi Ahli Parlimen Jelutung , Badrul Hisham Shahrin Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Harun Hashim Yang Dipertua PAS Parit Buntar dan Abdul Yunus Jamhari Ketua PKR Parit Buntar.

Sementara itu, Dr. Mujahid Yusuf Rawa Ahli Parlimen Parit Buntar yang turut berucap berharap supaya para aktivis Pakatan Rakyat membaca buku Jingga tersebut dan memahami sungguh-sungguh agar dapat menjelaskannya rancangan-rancangan yang termuat dalam buku tersebut yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat jika memerintah Malaysia kelak.

“ Kita mesti jelaskan kepada rakyat bahawa segala rancangan yang terkandung dalam Buku Jingga itu tidak mustahil untuk dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.

“ Penggubalan Buku Jingga dibuat melalui kajian yang mendalam dan teliti oleh beberapa orang pakar dan telah dibentang dan dibincangkan dalam konvensyen Pakatan Rakyat” katanya

Beliau juga menyeru agar rakyat terus meningkatkan iltizam, kesepakatan dan keyakinan bersama, untuk berganding tenaga bagi memastikan perencanaan dan matlamat yang disasarkan seperti tercatat dalam Buku Jingga ini dapat dilaksanakan.

“ Setiap anggota masyarakat seperti pimpinan masyarakat, pemimpin agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan perlu membaca Buku Jingga.

“ Negara kita mengamalkan demokrasi, setiap rakyat berhak mendapat peluang membaca Buku Jingga. Baca dulu Buku Jingga , kemudian baru buat keputusan”katanya

Dr. Mujahid juga berharap pelancaran Buku Jingga peringkat parlimen Parit Buntar dapat mengembalikan semula semangat perjuangan aktivis Pakatan Rakyat di Parit Buntar untuk terus turun bersama-sama, berkhidmat dan berkorban demi masa depan Malaysia.

Pelancaran Buku Jingga peringkat parlimen Parit Buntar dihadiri kira-kira 2000 orang dari pelbagai kaum yang memenuhi setiap ruang dewan.

No comments: