Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com
Showing posts with label admin. Show all posts
Showing posts with label admin. Show all posts

Wednesday, June 15, 2011

Pelancaran Buku Jingga Peringkat Parlimen Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 3 Jun : Pakatan Rakyat akan memberi tumpuan terhadap penerangan Buku Jingga kepada rakyat supaya rakyat faham dan jelas terhadap perjuangan yang di bawa Pakatan Rakyat.

Demikian kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain semasa menyampaikan ucapan sempena pelancaran Buku Jingga peringkat parlimen Parit Buntar di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Titi Serong.

“Pakatan Rakyat akan adakan penerangan daripada rumah ke rumah secara berkelompok khususnya kawasan pendalaman kampung, Melayu, Cina dan India”.

“Rakyat perlu faham apa sebenarnya hasrat Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga ini sehingga ia sangat ditakuti oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN)"katanya
Hadir sama pada majlis itu, Dr. Mujahid Yusuf Rawa Ahli Parlimen Parit Buntar, Jeff Ooi Ahli Parlimen Jelutung , Badrul Hisham Shahrin Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Harun Hashim Yang Dipertua PAS Parit Buntar dan Abdul Yunus Jamhari Ketua PKR Parit Buntar.

Sementara itu, Dr. Mujahid Yusuf Rawa Ahli Parlimen Parit Buntar yang turut berucap berharap supaya para aktivis Pakatan Rakyat membaca buku Jingga tersebut dan memahami sungguh-sungguh agar dapat menjelaskannya rancangan-rancangan yang termuat dalam buku tersebut yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat jika memerintah Malaysia kelak.

“ Kita mesti jelaskan kepada rakyat bahawa segala rancangan yang terkandung dalam Buku Jingga itu tidak mustahil untuk dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.

“ Penggubalan Buku Jingga dibuat melalui kajian yang mendalam dan teliti oleh beberapa orang pakar dan telah dibentang dan dibincangkan dalam konvensyen Pakatan Rakyat” katanya

Beliau juga menyeru agar rakyat terus meningkatkan iltizam, kesepakatan dan keyakinan bersama, untuk berganding tenaga bagi memastikan perencanaan dan matlamat yang disasarkan seperti tercatat dalam Buku Jingga ini dapat dilaksanakan.

“ Setiap anggota masyarakat seperti pimpinan masyarakat, pemimpin agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan perlu membaca Buku Jingga.

“ Negara kita mengamalkan demokrasi, setiap rakyat berhak mendapat peluang membaca Buku Jingga. Baca dulu Buku Jingga , kemudian baru buat keputusan”katanya

Dr. Mujahid juga berharap pelancaran Buku Jingga peringkat parlimen Parit Buntar dapat mengembalikan semula semangat perjuangan aktivis Pakatan Rakyat di Parit Buntar untuk terus turun bersama-sama, berkhidmat dan berkorban demi masa depan Malaysia.

Pelancaran Buku Jingga peringkat parlimen Parit Buntar dihadiri kira-kira 2000 orang dari pelbagai kaum yang memenuhi setiap ruang dewan.

Tuesday, April 5, 2011

Lawat Mangsa Ribut



Parit Buntar - Kejadian ribut yang berlaku di kawasan Parit Buntar baru-baru ini telah menyebabkan banyak pokok tumbang dan rumah terputus talian elektrik. Kejadian tersebut telah menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah bekerja bertungkus lumus bagi memastikan kabel elektrik tidak membahayakan penduduk serta membaikpulih talian elektrik agar penduduk mendapat bekalan seperti biasa.


Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak TNB yang bertungkus lumus bekerja tanpa mengira waktu untuk membaiki bekalan elektrik yang terputus akibat ribut yang melanda di Parit Buntar. "Saya difahamkan ribut yang melanda menyebabkan banyak pokok tumbang dan ini menyebabkan banyak rumah dan premis perniagaan mengalami putus bekalan elektrik. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak TNB yang membaiki talian elektrik tanpa mengira masa sehingga awal pagi juga mereka terus bekerja bagi memastikan bekalan elektrik terus boleh digunakan masyarakat di sini.


Beliau bersama pegawai Pusat Khidmat Parlimen, Hamdan Fadel Ahmad turut menziarahi rumah-rumah dan premis yang rosak ketika dilanda ribut tersebut. "Saya minta semua mangsa dapat bersabar dengan ujian ribut yang melanda mereka. Saya berharap pihak Penghulu Mukim, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi yang berkaitan dapat membantu mangsa-mangsa ribut dengan segera yang kebanyakan dari mereka merupakan petani sawah." katanya mengakhiri perbualan.

Tuesday, February 22, 2011

Lawatan Perpaduan Nasional Ke Perkampungan Orang Asal Meriah




Pas Kawasan Tanjung Malim telah mengadakan Program Bersama Orang Asal di Kg Pisang baru-baru ini. Program tersebut adalah kerjasama LPN Pusat dan Kawasan bagi mengeratkan hubungan dan menyampaikan dasar PAS kepada orang Asal. Penduduk Asal yang berjumlah 200 keluarga itu menyambut kedatangan rombongan PAS dengan penuh kemeriahan. Turut sama dalam rombongan ialah kumpulan OTAI Kelab Motor dan Mutiara Infaq yang datang bersama 40 motor berkuasa tinggi dan 9 Kenderaan pacuan 4 roda. Kedatangan konvoi yang besar menarik perhatian orang ramai dan menjadi tumpuan utama program.

Pemuda PAS Tanjong Malim sebelum kedatangan konvoi telah bermalam di sana dan menyediakan program barbeque dan tayangan filem untuk penduduk di sana. Makanan tengahari pula disediakan oleh Muslimat Pas. Kemesraan Pemuda Pas dengan penduduk di sana terjalin dengan berbagai aktiviti termasuk pertandingan sepak takraw yang dimenangi oleh Pemuda Kampong Pisang. Mutiara Infaq melalui Penasihatnya Sdr Zulkifli Mohammad Lazim turut memberikan sumbangan bersama dengan LPN kepada beberapa anak Yatim dan sebanyak 40 kampit beras diserahkan kepada Tok Batin untuk diagihkan kepada keluarga miskin di sana.

Dr Mujahid dalam ucapannya melahirkan rasa gembiranya dapat bersama dengan penduduk asal dan sempat memperkenalkan dasar Pas for All. Antara masalah yang dihadapi oleh Orang Asal ialah pencerobohan tanah mereka untuk tujuan pertanian atau pembangunan. Oleh kerana tidak ada bukti geran milik, pihak berkuasa khususnya Kerajaan Negeri sewenang-wenangnya ‘merampas’ tanah mereka dan menimbulkan berbagai permasalahan kepada penduduk orang asal. Dr Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya berjanji untuk melihat permasalahan ini melalui kajian peruntukan akta yang ada supaya hak orang asal dapat dipelihara melalui undang-undang dengan cara yang lebih berkesan.

Turut hadir ialah peguam-peguam yang prihatin kepada permasalahan mereka antaranya ialah Sdr Aminudin, Sdr Augistine dan Bahtony. Sdr Aminudin yang juga AJK Pas Kawasan memberi jaminan beliau akan memberikan khidmatnya untuk penduduk disitu jika mereka memerlukan. Pada malamnya Dr Mujahid berceramah di DUN Sungkai bersama dengan YB Sivanesan dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lainnya. Ustaz Ahmad Syafie selaku Pengerusi LPN Tanjong Malim mengucapkan terimakasih kepada semua yang menjayakan Program Satu Hari bersama Dr Mujahid dan mengharapkan tindakan susulan dapat dilakukan bagi membentuk DHPP untuk Orang Asal di sini.

Friday, February 18, 2011

KENYATAAN MEDIA ISU MY BALIK PULAU DAN PEROBOHAN GERAI DI TAMAN PELANGI

Merujuk kepada isu My Balik Pulau dan Perobohan Gerai di Taman Pelangi, PAS melahirkan kekesalannya ke atas pihak tertentu yang mengeksploitasikan isu di atas untuk kepentingan politik perkauman yang sempit. Keadaan di Pulau Pinang semakin hari semakin tertekan dengan amalan politik rasis yang membawa kepada kebencian kaum kerana pihak tertentu merasakan cara mereka ini boleh menimbulkan kebencian orang Melayu kepada pentadbiran Pakatan, walaupun pendekatan ini amat berbahaya kerana akan mengapikan sentimen perkauman. Malangnya pihak Media khususnya TV3, menjadi dalang utama kepada menimbulkan usaha-usaha jahat bagi memecahbelahkan keharmonian penduduk berbagai kaum di Pulau Pinang. PAS menolak politik kotor ini malah mengecam pihak media elektronik dan cetak yang bersubahat untuk membantu politik murahan pihak tertentu dengan menekan Kerajaan Pakatan di Pulau Pinang. PAS Pulau Pinang dengan ini ingin memberikan penjelasan kepada pihak yang terdesak menggunakan isu sentimen Melayu di Pulau Pinang agar kembali kepada politik bermaruah dan berhadapan dengan cara yang lebih bertamadun untuk berpolitik. Oleh itu, demi untuk melihat masalah di Pulau Pinang diselesaikan dengan berhemah maka;

1. Pas menolak sebarang usaha jahat oleh parti perkauman sempit yang mengeksploitasikan segala tindakan oleh kerajaan Pulau Pinang kononnya sebagai usaha untuk menyisihkan dan meminggirkan sesuatu kaum, sedangkan tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat adalah berlandaskan undang-undang sebagai keutamaannya dan bukan melihat kepentingan sesuatu kaum.

2. Pas kesal media perdana seperti TV3 dll digunakan untuk mensensasikan berita di Pulau Pinang dengan memberikan selera perkauman kepada penonton dan pembaca sehingga terbentuk sikap prejudis kepada kaum lain dan khususnya kepada pentadbiran negeri Pulau Pinang.

3. Cara berpolitik yang menjadikan perkauman sebagai isunya amatlah dikesali dan ini akan membantut usaha rakyat Malaysia untuk mewujudkan masyarakat berbilang kaum yang saling hormat menghormati antara satu sama lain.

4. Serangan media ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang seolah-olah mengiyakan satu tindakan yang salah, malah yang melanggar undang-undang dianggap betul dan yang melaksanakan undang-undang dianggap tidak betul. Ini satu pembudayaan yang songsang dan boleh menjejaskan nilai-nilai murni yang cuba diterapkan dalam masyarakat yang beradab dan bersopan.

5. Hentikan budaya fitnah dengan membawa fakta yang tidak betul dan sewenang-wenangnya menuduh kerajaan Pakatan di Pulau Pinang tanpa usul periksa khususnya isu My Balik Pulau. PAS menyokong tindakan saman ke atas YB Pulau Betong oleh Kerajaan Negeri bagi memberikan pengajaran kepada beliau supaya memeriksa fakta terlebih dahulu sebelum membuat pertuduhan. Malangnya bagi seorang ADUN yang menampakkan kelemahan dirinya di hadapan rakyat kerana keghairahannya untuk menuduh apa sahaja terhadap kerajaan Pakatan di Pulau Pinang.

PAS akan mengambil langkah-langkah yang positif untuk membina sebuah masyarakat yang progresif dan dinamik di Pulau Pinang. PAS menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini supaya cintakan negeri ini dan menolak anasir perosak yang hanya menjadikan orang Melayu sebagai umpan politik mereka. Tolak golongan ini demi membina Pulau Mutiara, Pulau Idaman kita bersama. PAS menyeru supaya semua kaum di negeri ini hidup aman damai mengikut semangat KITA RAKYAT MALAYSIA!

SEKIAN

YB DR MUJAHID YUSOF RAWA
(TPJ PULAU PINANG, MP PARIT BUNTAR)

Monday, February 7, 2011

Sekitar Wacana Ilmu : Buku Menuju PAS Baru









Parit Buntar (4 Feb) - Program Wacana Ilmu buku bertajuk Menuju PAS Baru yang dianjurkan oleh Sukarelawan Muslim Perak (SEMARAK) telah berjaya diadakan di Dewan Seminar Hotel Melor Inn. Hampir 150 orang hadir bagi mendengar diskusi ilmiah yang disampaikan oleh panelis iaitu penulis Menuju PAS Baru, Dr Mujahid Yusof Rawa, Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ustaz Haji Ahmad Awang.
Apa yang kurang menarik adalah ketidakhadiran pihak Dewan Ulama' PAS Kedah dalam usaha memurnikan diskusi ini. Namun begitu, usaha SEMARAK ini mendapat respon yang baik daripada pendengar terutamanya kupasan-kupasan daripada panelis seperti Dr Asri dan Ustaz Ahmad Awang. Ramai dikalangan penonton berharap program ini dibawa ke pentas yang lebih besar agar audiens ataupun khususnya ahli-ahli PAS sendiri dapat mengetahui apakah sebenarnya disebalik penulisan Ahli Parlimen Parit Buntar ini.
Turut sama hadir dalam majlis ini adalah moderator program YB Hj Zainuddin Yusof, ADUN Lubuk Merbau, Abd Yunus Jamhari, ADUN Kuala Kurau, Naib YDP PAS Parit Buntar, Azhar Sharin, pensyarah USM, para ustaz dan kepimpinan cawangan.

Tuesday, February 1, 2011

Tahun Baru Cina: Masyarakat Tionghua Dirai









Parit Buntar - Sempena Tahun Baru Cina tahun ini, ahli parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mengambil peluang bertemu rakyat khususnya kaum Tionghua bagi mengucapkan selamat tahun baru kepada mereka. Di Pekan Parit Buntar, beliau bersama rombongan iaitu Jawatankuasa PAS Kawasan serta Dewan Muslimat seramai 10 orang telah bertemu masyarakat Cina dengan menyampaikan buah limau tanda ingatan kepada mereka. Turut sama dalam rombongan adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Abdul Baharin Mat Desa dan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar, Teoh Bak Chua.

Penduduk di sini menyambut baik kehadiran wakil rakyat mereka dengan senyuman tanda gembira kerana mereka terharu di atas keprihatinan beliau melawat mereka sambil mengucapkan ucapan selamat tahun baru. Dr Mujahid dan rombongan memperuntukkan masa kira-kira dua jam menziarahi mereka di sini.

Pada keesokan harinya pula Dr Mujahid telah ke Kuala Kurau dan Tanjung Piandang untuk menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Tionghua miskin di sana. Beliau bersama ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari serta Yang Dipertua PAS Kawasan, Harun Hashim menyampaikan barangan keperluan hari raya serta angpau. Kira-kira 100 orang menerima bantuan tersebut. Program ini telah berlangsung di Persatuan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.

Turut sama hadir dalam majlis penyampaian sumbangan ini adalah Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad, Jawatankuasa PKR Cabang Parit Buntar serta pimpinan DAP Parit Buntar.

Monday, January 24, 2011

Dr Mujahid Lawat Kolam Keli Tercemar




Parit 310 - Aduan penduduk tempatan mengenai pencemaran bau busuk serta kerosakan sawah padi berhampiran dengan kolam ternakan ikan keli mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa. Beliau bersama penduduk serta wartawan telah ke tempat ternakan keli yang menjadi punca bau busuk serta kerosakan tanaman padi.

Ketika bertemu beliau telah diberi laporan oleh penduduk tentang masalah bau busuk yang datang dari tempat ternakan keli yang mempunyai 11 buah kolam. Air busuk yang melimpah keluar dari kolam tersebut telah mengalir ke sawah padi berhampiran dan menyebabkan tanaman padi tersebut rosak. Seramai enam orang petani terjejas pendapatan akibat limpahan air kolam tersebut.

"Saya sendiri pun tidak tahan dengan bau yang meloyakan. Apa yang pasti keli di kolam ini telah diberikan bangkai haiwan dan air tidak disalur dengan baik menyebabkan bau busuk". Beliau juga mempersoalkan bagaimana pusat ternakan ikan keli ini boleh beroperasi di sini. "Kita nak tahu adakah kolam ternakan ini diusahakan secara sah atau sebaliknya. Sekiranya sah, bagaimana satu kawasan tanaman padi boleh didirikan kolam ikan. Apakah kriteria kolam ini diluluskan. Di Parlimen, kerajaan sering menyatakan tentang betapa pentingnya kawalan keselamatan makanan negara khususnya beras di dalam negara kita. Dan jika kolam ini didirikan secara haram kita minta pihak berkuasa mengambil tindakan." katanya

Selain itu beliau juga berbincang dengan pihak penduduk tentang masalah pengairan sawah. Di kawasan Parit Buntar sering berlaku jentuai tidak dapat masuk untuk menuai padi akibat tanah yang berlumpur teruk. Ini sesungguhnya akan menjejaskan pendapatan petani. Beliau juga akan meminta pihak JPS serta pertanian untuk melihat sama ada sistem penjadualan semula tanaman padi boleh mengatasi masalah ini.

Antara lainnya juga beliau akan membuat laporan kepada pihak berkenaan tentang kegiatan ternakan arowana yang bakal diperluaskan aktivitinya di sekitar kawasan Bukit Merah dikatakan bakal memberi kesan lebih buruk kepada petani yang mengusahakan sawah padi. "Saya syorkan pihak Pejabat Daerah Kerian serta pihak yang berkaitan membuat pertemuan dengan seluruh pesawah di Kerian dengan menjanjikan keperluan dan keselamatan pengairan untuk tanaman padi di Kerian tidak terjejas dengan pertumbuhan industri arowana di Kerian.

Thursday, January 13, 2011

Pembentangan Kertas Kerja di Forum Kerukunan Umat Beragama di Medan, Indonesia.

10 Jan 2011 (Medan, Indonesia) - AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa bersama dua tokoh terkenal, Profesor Dr Ismail Lutfi Japhakiya dari Thailand dan Profesor Dr H Shahrin Harahap dari Indonesia telah menjadi pembentang utama kertas kerja dalam satu majlis Forum Kerukunan Umat Beragama di Garuda Plaza Hotel Medan, baru-baru ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Parit Buntar telah membentangkan tajuk “Peranan Lembaga Keagamaan Dalam Pembinaan Umat Beragama di Asia Tenggara”. Dr Mujahid telah menekankan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian seperti konsep beragama, keperluan manusia kepada agama, aktiviti agama dan lain-lain lagi. Dr Mujahid turut berkongsi pengalamannya dalam usaha PAS mewujudkan dialog antara agama dan aspek legislative ke arah itu.

Beliau juga telah menekankan bahawa dialog di antara agama ini bukanlah bertujuan untuk mencairkan agama masing-masing akan tetapi tetap teguh berpegang pada agama sendiri. Dr Ismail Lutfi pula telah memberi penekanan bahawa Islam adalah agama perdamaian untuk semua.

Dr Mujahid juga telah hadir dalam sidang akhbar dan memberikan kenyataan program ini memberi keutamaan usaha mewujudkan keamanan di kalangan umat beragama. Di dalam sesi deklarasi “Kesepakatan Medan” beberapa kesepakatan telah dicapai diantaranya yang terpenting adalah “forum ini bersepakat menerima keberadaan pluralitas dan menolak kefahaman pluralisme yang membahayakan asas beragama.”

Di dalam sesi mesyuarat dialog antara agama ini, ahli mesyuarat telah bersetuju melantik Dr Mujahid sebagai Pengerusi Dialog Antara Agama Untuk Keamanan di peringkat Asia Tenggara. Beliau juga telah dianugerahkan penghormatan daripada kerajaan Kota Medan di atas khidmatnya membangunkan keharmonian beragama di wilayah Asia Tenggara.




Kemukakan Wacana Menuju PAS Baru - Dr Mujahid

Weblog Ibnu Hasyim bersetuju dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa seperti yang dilaporkan Harakahdaily.net hari ini.

Antaranya menyebutkan, "Hujah yang membina wajar diketengahkan menerusi saluran yang dibolehkan dalam parti mahupun Islam, sebab pandangan baik perlu diambil jika mahu melihat parti semakin kukuh untuk menggantikan Umno di Malaysia."
Malalui media tersebut juga, Dr Mujahid berkata, beliau berusaha untuk melihat masa depan PAS dengan mengambil kira aset perjuangan PAS selama hampir 50 tahun lebih. PAS juga melalui fasa-fasa kepimpinanya dan buku 'Menuju PAS Baru' yang dihasilkan beliau itu, hanyalah garapan terhadap masa depan organisasi PAS yang perlu difikirkan oleh generasi muda dalam PAS.


Bahkan, beliau bersedia turun ke wacana dan diskusi tersebut jika ada pihak yang menganjurkanya demi menghilangkan kekeliruan yang ada dan tidak timbul soal mahu memecahbelahkan parti atau menghentam parti secara semberono.

Editor weblog Ibnu Hasyim mengatakan,


"Saya juga mencadangkan supaya diadakan wacana atau diskusi untuk membincangkan isi kandungan buku beliau 'Menuju PAS Baru' itu, dengan menjembut penulis menjawab kritikan-kritikan dan permasalahan yang timbul. Bukan bertelagah dalam akhbar atau berseminar membuat rumusan negatif tanpa penglibatan beliau selaku pimpinan PAS, sehingga membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan memburukkan lagi keadaan.


"Bertelagah menerusi akhbar tidak boleh mendapat kata sepakat bahkan mengeruhkan lagi perhubungan yang selama ini terbina atas landasan tarbiyah PAS yang kukuh. Wacana atau diskusi dapat membawa kepada budaya yang sihat dan keterbukaan, terhadap pandangan terbuka sesuai dengan asas masyarakat untuk melahirkan pemikiran telus, matang dan berwibawa. "


Melalui media Harakah tersebut, Dr Mujahid mencadangkan, "Adakan wacana atau diskusi untuk menghilangkan kekeliruan dari sudut istilah-istilah yang digunakan dalam buku Menuju PAS Baru yang saya tulis, bukan masuk akhbar pro kerajaan mengatakan ketidak puasan hati.." ujarnya.

Lagipun, tambah beliau buku tersebut hanya menyentuh betapa perlunya beberapa pengubahsuaian organisasi parti sendiri demi masa depan PAS yang akan menjadi parti arus perdana dalam negara ini. Tidak langsung mengkritik dasar perjuangan yang telah dimeterai sejak dulu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menambah, segala pandangan yang dilemparkan semuanya ikhlas untuk memastikan PAS menjadi lebih kukuh dan bukan sebaliknya. “Saya amat sayangkan parti penyelamat ini,” kata beliau.

"Setakat ini, saya (Ibnu Hasyim) belum dengar lagi respon positif mengenai pelawaan Dr Mujahid mengenai bukunya itu."kata editor Blog Ibnu Hasyim lagi. "Mengapa?" (by ASYOK KUMAR) (dipetik dari Blog IbnuHasyim 6 Jan 2011)