Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Tuesday, July 24, 2012

OH SYABAS, OH SYABAS

oh hujan,oh hujan mengapa engkau tak turun! Lagu Rakyat ini membawa dua makna, samada ia mesej budaya suka salah menyalahi antara satu sama lain ataupun jika dilihat secara literal boleh dikatakan rangkap pertamanya ialah aduan mengapa hujan tak turun, sesuai untuk menggambarkan musim kering kontang. Apa pun di Selangor BN selaku kerajaan Pusat menyanyi lagu ini pada masa yang silap. Ketika musim hujan, BN kata ada krisis air di Selangor. Ia nyanyian silap, sepatutnya BN nyanyi macam ini : "oh Syabas, oh Syabas mengapa kau gagal rawat air di Selangor" Krisis atau Dikrisiskan? Pada masa takungan air di Selangor penuh, Kerajaan Pusat kata "krisis" perlu ditangani dengan membina Plant Air Langat menelan kos 8.65 bilion. Walaupun penyakitnya adalah kerana SYABAS gagal merawat NRW(Non Revenue Water) pada kadar 32% menyebabkan air di paip rumah-rumah di Selangor,Wilayah terganggu. Masalahnya bukan alam tetapi manusia yang ditugaskan melalui SYABAS gagal merawat NRW yg kadarnya agak tinggi berbanding dengan kota dunia yang lain seperti Dhaka 29%, Manila 11%. Itu negara yang selalu kita pandang kita lebih baik dari mereka. Perbandingan negara membangun jauh sekali seperti Germany 7%, malah Singapura hanya 5%. Kegagalan pengurusan air Selangor dalam konteks rawatan perlu dilihat sebagai puncanya dan MB Selangor telah bertindak tepat dengan kuasanya untuk ambil alih SYABAS untuk diserahkan kepada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kegagalan penswastaan air selama ini. Tapi malangnya Tan Sri Mahyudin Yassin melihat masalah ini dengan mencadangkan pembinaan Loji Air Langat yang kosnya RM8.65 bil. Masalahnya ialah kegagalan SYABAS bukan keperluan loji baru! APA ISUNYA? Kecelaruan isu Air di Selangor ini mengikut model Mahyudin hanya mengundang berbagai persoalan. Pertama bukankah rakyat Selangor berhak menuntut hak air supaya dikendalikan oleh syarikat yang lebih layak dan itulah yang dituntut oleh MB Selangor. Kedua mengapa Kerajaan Pusat membela SYABAS yang mengendalikan kepentingan dan hak orang Selangor sedangkan biarlah rakyat Selangor menentukannya? Ketiga, apa kena mengena krisis air kerana kegagalan manusia dengan membina loji baru? ada jaminan kah dengan loji ini isu NRW dapat dikurangkan? Rakyat tidak boleh disalahkan jika persepsi pembelaan Pusat kepada SYABAS adalah kerana kepentingan kroni, apatah lagi bos SYABAS adalah orang kuat UMNO. Apakah projek Loji Air Langat ada rundingan komisyen dll untuk mengkayakan kroni UMNO? Apakah ini salah satu projek tawan Selangor oleh UMNO serampang dua mata, dapat duit untuk tawan dan timbul kegelisahan sehingga rakyat menyalahkan kerajaan negeri? jikalau betul andaian saya ini, amatlah malang kerana rakyat dipertaruhkan untuk kepentingan sempit dan gelojohnya UMNO hendak menawan Selangor. Air bukan isu politik, dalam hal ini MB Selangor menjalankan tugasnya untuk mengambil-alih air dari SYABAS supaya keberkesanan rawatan air dipertingkatkan untuk kegunaan rakyat di Selangor dan Wilayah. Tindakan MB adalah pentadbiran sesuai dengan kedudukannya, manakala Mahyudin Yassin yang mewakili Pusat tindakannya adalah tidak menghormati kehendak rakyat Selangor dan dia mempunyai motif politik dan kroni yang jelas. Lagu UMNO tentang krisis air memang sumbang, masalahnya dia terus menyanyi tanpa rasa malu bahawa rakyat dah meluat, mungkin juga UmNO adalah katak yang takut dia dimakan ular, bezanya 'katak' ini berani, malangnya berani kerana kroni!

Sunday, July 22, 2012

RAMADHAN ADALAH PERJUANGAN

Antara Perjuangan dan Ramadhan Tiada terpisah antara perjuangan dan Ramadhan, perjalanannya seiring dan sejalan dan sinerginya adalah antara alat dan matlamat. Siapa yang memisahkan Ramadhan dan Perjuangan adalah umpama orang yang mahu membersihkan rumahnya yang berhabuk tetapi menolak untuk gunakan alat pembersih seperti penyapu atau vacum cleaner. Allah berfirman dalam surah Al Haj 77-78: "Wahai orang yang beriman, RUKU'LAH dan SUJUDLAH serta SEMBAHLAH Tuhan kamu dan berbuat baiklah moga-moga kamu beroleh Kejayaan "Dan Berjihadlah di jalan Allah dengan sebenar-benar Jihad..." Apakah Puasa? Bukankah puasa kemuncaknya beroleh kejayaan dan bukankah puasa adalah manifestasi ruku' dan sujud serta penyembahan pada Allah. Bukankah perjuangan itu satu Jihad dan kemuncaknya ialah keikhlasan pada Allah? Nabi bersabda: "Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan (keikhlasan)dan hanya mengharapkan Allah diampunkan dosanya yang terdahulu" Bukankah perjuangan memerlukan jiwa yang ikhlas dan senantiasa mengharapkan keampunan dengan berjuang di jalan Allah? Itulah falsafah puasa yang menghendaki pelakunya mencapai tahap ketaqwaan, ia adalah dinamika antara ruang yang Allah sediakan di bulan Ramadhan untuk mencapai matlamat kejayaan dalam perjuangan dengan segala maknanya. barangsiapa yang bertaqwa tergolonglah dia dikalangan orang yang berjaya. Sucikan Jiwa! Syarat beroleh kejayaan dari kacamata Allah ialah mereka yangmemelihara jiwanya supaya berada pada tahap kesucian manakala yang gagal memeliharanya akan menempah kegagalan. Kebangkitan sesebuah perjuangan bermula dengan kebangkitan jiwa kerana jiwa apabila bangkit dunia mampu digegarkan. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w bangkit dengan jiwanya dahulu sebelum menggegarkan dunia dengan kebangkitan Rahmatan Lil Alaminya? Apakah kita lupa bahawa khulwah Nabi di Gua Hira' adalah menjana kebangkitan jiwa yang kemudian berterusan selama 23 tahun sedangkan tapak itu diasaskan dengan kukoh. Bagaimana ayat yang memerintahkan Nabinya bangkit dari tidurnya dan berikan amaran kepada manusia dalam seruanNya dalam  awal Al Mudathhir "Wahai orang yang berselimut, Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada manusia.." Nabi menyatakan kepada Khadijah Ummul Mukminin Al Kubra setelah menerima watikah perlantikan Kenabian dengan menyatakan: "Wahai Khadijah berlalu sudah waktu berehatan dan tidur, kini waktu perjuangan!" Ia kebangkitan yang didahului dengan kebangkitan jiwa yang sudah tidak dapat dikawal lagi kemaraannya. Inilah masanya di bulan Ramadhan jiwa itu dijana dan dihidupkan tenaganya yang selama ini lemah-longlai tidak bermaya. Al Quran dan Perjuangan Ramadhan adalah bulan Al Quran yang dijunjung dan diamalkan jadi petunjuk, keterangan dan pembeda antara Haq dan Batil. Perjuangan bersumberkan Al Quran dan itu yang membezakan perjuangan Islam dengan yang lain. Al Quran pula bukan hanya simbol tetapi juga penghayatan dan penyerapan segala roh yang ada menjadi sebati dalam diri para Mujahid di jalan Allah. Bukankah selama ini perjuangan kita mengambil semangat dan rohnya dari apa yang diperkatakan oleh Al Quran, bukankah ia didahulukan dari segala-galanya? Inilah bulannya di mana hati para pejuang disatukan dalam roh kebenaran dari KitabNya untuk menjadi pemicu pada perjuangan ini. al Isra' 9: " Sesungguhnya Al Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul dan memberikan berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa mereka beroleh pahala yang besar" Menjadi Wali Allah Wali Allah ialah mereka yang mendapat pembelaan Allah dalam menjalankan tugasnya mengeakkan kebenaran. Mereka bukan golongan eksklusif dan elit tetapi semua hamba-hambaNya layak mendapat pencalonan Wali. Hadith Nabi menyebut yang diriwayatkan oleh Saidina Ali ra: "Bahawa Wali Allah tidak mendapat Rahmat Tuhan mereka kerana banyaknya ibadat tetapi mereka mendapat Rahmat kerana jiwa mereka yang melimpah ruah dan memandang keji dunia" Ibadat bukanlah matlamatnya tetapi kesan ibadat adalah lebih utama bagi melahirkan sifat yangmulia iaitu berkorban atas kepentingan sesuatu yang lebih besar dan tidak terikat dengan kemilau dunia yang menipu. jadilah calon Wali Allah sepanjang Ramadhan kerana perjuangan amat memerlukan golongan ini lebih ramai dari mereka yang berjuang atas kepentingan diri sendiri dan mengejar dunia. 

Thursday, January 5, 2012

Berikan aku 1 anak muda, akan ku guncangkan dunia!

Gegaran Tidak di Duga Bagi sesetengah kita, anak-anak muda hanyalah budak hingusan yang  semangat seketika dan apabila mereka meninggalkan alam pelajar semua semangatnya dan idealismanya akan ditinggalkan dibelakang. Namun bagi saya yang pernah melalui zaman 'kuasa pelajar'  saya melihat ianya adalah pembentukan identiti perjuangan bagi pelajar yang jika dipupuk dengan baik akan menjadi gegaran kepada pemerintah yang boleh tumbang dengan skala gegarannya.

Kerajaan komunis terbesar seperti China turut merasai gegarannya di Tianemen Square hasil kebangkitan mahasiswa yang berani mencabar pemerintahan kuasa besar itu. Di Mesir, kebangkitan yang dikenali sebagai pemberontakan tanpa ketua digegarkan oleh anak-anak muda. Di Indonesia sebelum ini anak muda mahasiswa yang jadi korban untuk bangkitnya reformasi di Indonesia. Anak-anak muda ini tidak boleh dipandang remeh, jikalau tidak masakan mereka mampu mencabar pemerintah yang dengan segala aparatusnya cuba menginjak kebangkitan mahasiswa.

Malaysia pada tahun 70an menyaksikan kebangkitan anak muda dari kalangan mahasiswa dan pelajar mencabar kegagalan pemerintah menyelesaikan soal kemiskinan dan peminggiran masyarakat petani di Baling, Kedah. Buat pertama kali, Mahasiswa di bawah pimpinan Anwar Ibrahim ketika itu mengirim isyarat yang jelas bahawa kami mahasiswa memerhatikan anda. 

 Episod perjuangan Mahasiswa selanjutnya dikengkang dengan dengan adanya AUKU kerana pemerintah tahu bahawa jika dibiarkan suara mahasiswa terus bersuara peristiwa Baling dan seumpanya akan mengancam pemerintah sekali lagi. Sejak itu diperkenalkan AUKU dan kerananya pelajar diperkasamkan dan ditempoyakkan sehingga aktivism kampus menjadi mondom.

Penglibatan pelajar dengan politik dianggap taboo dan mesti dibersihkan. HEP menjadi mata dan telinga pemerintah untuk memastikan pantang larang politik dikawal sehingga HEP yang sepatunya menggalakkan perkembangan menyeluroh pelajar menjadi pusat SB dan kepentingan politik pemerintah untuk memastikan tidak berlaku gegaran yang membahayakan.

Sewaktu zaman malap menguasai kampus, hanya Pas dilihat senantiasa memastikan aktivism pelajar diberi suntikan melalui interaksi kader-kader Pas di kampus dengan kepimpinan parti. Tidak kurang juga kader-kader Pas yang dibuang kampus dan diambil tindakan disiplin kerana penglibatan mereka dalam mencipta gegaran-gegaran berskala kecil untuk menyatakan kepada dunia, bahawa kami Mahasiswa masih bernyawa dan mengumpul potensi.

Zaman reformasi di penghujung 90an telah menyuntik semangat baru kepada gerakan pelajar di mana secara tidak langsung reformis menyebut tentang perlunya AUKU ditarik balik. Isunya hari ini ialah kebebasan intelektual dan penglibatan pelajar dalam membentuk wacana kebebasan yang menjadi tonggak perjuangan era reformasi.

Pada saat ahli-ahli politik PR menerjah tembok kuasa yang memenjarakan jiwa merdeka rakyat, tiba-tiba kita digegarkan dengan tindakan pelajar yang bernama Adam Adli menurunkan bendera berwajahkan Najib Tun Razak di Pejabat Agung UMNO. Perbuatan itu berlaku dalam perarakan pelajar untuk menyerahkan memorendum mendesak kerajaan menghapuskan AUKU.

Adam tiba-tiba menjadi perhatian oleh sipemuji dan sipengkeji, kata kesat dan mulia bercampur baur dalam suasana Gerakan Mahasiswa mahukan perhatian dan cetusan kebangkitan. UPSI yang kurang menyerlah aktivism pelajarnya sebelum ini tiba-tiba diperkenalkan oleh Adam. Rakan-rakan Adam yang lain seperti Safwan dan lain-lain memilih untuk jalan berisiko demi membebaskan Mahasiswa dari cengkaman AUKU. Mereka bukan berani sebenarnya, mereka mempunyai nilai pengorbanan yang tinggi sehingga mendorong mereka melakukan apa yang mereka lakukan.

Semalam saya berkesempatam bertemu dengan ibu bapa Adam yang kebetulan saya kenali sebelum ini dalam pertemuan secara tidak terancang di Kawasan Rehat Tapah. Adam yang ada sama dalam pertemuan tempoh hari bersembang-sembang dengan saya dengan penuh minat tentang gerakan mahasiswa. Saya sempat memberi kata rangsangan kepadanya untuk cekal dan teruskan perjuangan, saya tidak sangka budak Adam yang saya jumpa tempoh hari telah menggegarkan Malaysia dengan keberaniannya.

Adam nama yang ada makna berbagai, ia satu permulaan, ia satu harapan, ia satu pengorbanan dan ia satu cabaran, malah tanpa nama Adam tidak adalah kebangkitan. Mungkin juga itulah doa bapa dan ibunya supaya Adam hidup dengan namanya untuk berbakti kepada gerakan Mahasiswa. Bung Karno pernah berkata: 'berikan aku 1000 orang tua akan ku cabut  semeru dari akarnya , berikan aku 1 anak muda nescaya akan ku guncangkan dunia!'

Friday, November 11, 2011

Apa yang merdeka dalam seksualiti?

TIADA MERDEKA DALAM SEKSUALITI MERDEKA
Sensasi..sensasi..itulah suasana negara kita, kita dipersembahkan satu persatu isu-isu panas yang mendapat perhatian di dada-dada akhbar khususnya Utusan Malaysia . Di Malaysia amat mudah sesuatu isu menjadi panas, anda hanya perlu menekan salah satu dari tiga butang bertandakan R, jika anda mahukan panas ke tahap maksima tekan sahaja ketiga-tiga butang R sekaligus, pasti meletup! Tahukah anda apa tiga R itu? Race (perkauman), Religion (agama), dan Royal (raja). Sehingga kini kawalan butang itu berada dalam penguasaan golongan sempit, jadi anda boleh bayangkan kesannya.

Seksualiti Merdeka adalah sensasi terkini yang menimbulkan berbagai persoalan apabila dibuat penilaiannya dari sudut agama dan norma-norma budaya setempat. Mana-mana agama akan menolak untuk mewajarkan satu bentuk kebebasan seksualiti. Bagi mana-mana agama pun seksualiti tidak terbatas kepada hubungan hetroseksual atau sejenis, hubungan terlarang dalam mana-mana agama ialah apabila pasangan itu tidak diikat dengan ikatan suci yang termetrai dari rasa tanggungjawab kepada Tuhan dan pasangan masing-masing. Membataskan seksualiti kepada hanya satu bentuk atau kategori tertentu adalah satu penganiyaan kepada pendefinisian masalah seksualiti.

Sensasinya cerita di sebalik perhimpunan seksualiti baru-baru ini ialah apabila ianya dikaitkan dengan kemerdekaan. Sudah tentu maksud tersirat di sebalik pilihan perkataan kemerdekaan itu ialah isu tersebut menuntut semacam satu bentuk pengiktirafan dari masyarakat dan negara. Agak mengelirukan apabila isu seksualiti ini menuntut satu kebebasan kepada pengamalnya lalu menganggap ia sebagai satu hak yang perlu dihormati. Saya kurang jelas apakah seksualiti merdeka menuntut amalan hetroseksual dan hubungan sejenis diwajarkan melalui ikatan suci atau mereka mahukan satu bentuk undang-undang yang boleh mengizinkan perkahwinan sejenis berlaku?

Ataukah perhimpunan ini menuntut supaya perasaan mereka didengari dengan hati yang terbuka dan cuba memahami mereka sebagai anggota masyarakat yang normal dan mahu hidup dengan orang lain tanpa perlu berasa salah. Mereka tidak mahu dilihat sebagai golongan tersisih maka satu pertemuan diadakan bagi melontarkan kepada masyarakat tentng hasrat mereka yang terpendam. Isu ini diambil oleh Persatuan Peguam atas jalur hak dan sudah tentu memerlukan satu pencerahan undang-undang.

Saya menimbulkan persoalan-persoalan ini kerana mahu memahami dan memberikan keadilan kepada semacam satu bentuk bantaian terhadap perhimpunan ini oleh pemetik-pemetik butang R. Biarlah saya jelaskan disini bahawa hak untuk berhimpun adalah sesuatu yang termaktub dalam perlembagaan kita. Golongan ini tidak terkecuali, dan apa sahaja tuntutan mereka atau rumusan mereka, itu adalah hak mereka dan terpulanglah pula pada anggota masyarakat untuk menerima tuntutan mereka atau tidak.

Kepada mereka yang merasakan dunia ini adalah tentang membuat pilihan salah satu dari warna hitam atau putih, mereka silap kerana dunia hari ini mempunyai berbagai warna antara putih dan hitam, kita hanya perlu mengenal pasti dengan terperinci dan mendalam bukan sekadar di luaran semata-mata.

Telah saya tegaskan di awal penulisan ini lagi bahawa soal seksualiti samada hetro atau sejenis adalah dilarang oleh agama. Apa-apa isu kebebasan atau hak mesti dinilai dari sudut tersebut, entahlah kalau golongan ini mahu mengenepikan agama dan tidak meletakkan penilaian kepada sikap agama seperti sebahagian daripada perjuangan seksualiti di barat. Mereka sebenarnya bukan menuntut hak tetapi mereka menolak hidup keagamaan. Sebab itu kita harus jelas antara persoalan menuntut hak tertentu atau persoalan yang lebih mendasar dari itu.

Sebagai negara yang meletakkan Islam agama resmi persekutuan persoalan moral mesti meletakkan agama sebagai kayu pengukurnya jika tidak kita mempersendakan perlembagaan kita sendiri. Erti kebebasan yang diperuntukkan dalam perlembagaan pula tidaklah mutlak, malah perkataan mutlak itu sendiri bukanlah mutlak semutlaknya. Perkiraan yang wajar adalah sesuatu tindakbalas yang tabiee kepada apa pun persoalan hidup, apatah lagi dalam isu seksualiti.

Tetapi saya tidak pula bersetuju dengan sekelompok manusia yang tidak dapat membezakan antara perlakuan seksualiti dan pelaku seksualiti. Islam jelas dalam permasalahan ini apabila umat Islam dituntut untuk membezakan antara pelaku mungkar dan perlakuan mungkar. Perlakuan mungkar adalah ditentang manakala pelaku mungkar perlu mendapat perhatian supaya dijelaskan keadaan mereka yang boleh merosakkan diri mereka sendiri. Sementara kita menentang perlakuan seksualiti hetero dan sejenis, kita tidak boleh membiarkan golongan yang terlibat tanpa usaha menempatkan mereka dijalur fitrah dan penjelasan.

Kita juga perlu jelaskan bahawa isunya bukan kebebasan seksualiti tetapi hubungan yang bertentangan dengan fitrah dan hubungan yang tidak diikat dengan ikatan suci adalah bertentangan dengan naluri manusia yang dijadikan oleh Allah kerana di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah ia menciptakan kamu berpasangan (lelaki dan wanita) dan untuk pasangan ini disatukan islam mensyariatkan perkahwinan. Saya tidak ada masalah unttuk bertemu dengan golongan seksualiti ini untuk memperjelaskan mereka sikap Islam dan gama lain dalam hal ini, namun untuk saya memperjuangkan hak mereka untuk melanggar fitrah yang Allah jadikan pastinya saya akan menolaknya. Sehingga harapan saya menjadi kenyataan pemetik butang R akan terus dengan gembiranya memetik butang untuk kepentingan sempit mereka

Friday, October 28, 2011

Himpun Yang Tidak Berhimpun

Himpun Untuk Apa?

Ada berbagai makna yang hendak disampaikan dalam perkataan HIMPUN, dari segi tata bahasa 'himpun' bermakna mengumpul sesuatu atau orang di sesuatu tempat. Berhimpun adalah perbuatan di mana terkumpul semua orang atau sesuatu di sesuatu tempat. Sebab itulah kata 'perhimpunan' atau 'himpunan'ialah keadaan di mana semua orang dikumpulkan untuk menyatakan sokongan atas sesuatu. Menarik kerana nama sayap baru Pas ialah Dewan Himpunan Penyokong Pas atau singkatannya DHPP di mana bukan Islam dikumpulkan dan disatukan dalam sayap ini. Namun artikel ini tidak akan menyentuh tentang Pas dan usahanya menarik minat bukan Islam untuk menyertainya, artikel ini ialah tentang satu perhimpunan pada 22hb baru-baru ini yang dinamakan sebagai himpunan sejuta umat.

Selalunya bilangan kehadiran akan menjadi kayu pengukur untuk penganjur menyatakan berjaya atau tidaknya sesuatu perhimpunan. Tema sejuta umat sudah tentu menjadi hasrat penganjur untuk mencapai bilangan yang diinginkan, namun dari sudut quantiti Himpun tidak mencapai bilangan yang digembar-gemburkan, dikatakan hanya 5,000 orang sahaja yang hadir. Implikasi kehadiran dalam program seumpama ini amatlah besar untuk kita menilai tahap keupayaan mobilisasi penganjur yang sebelum tarikh perhimpunan telah mendapat liputan yang meluas oleh media arus perdana.

Himpun tidak dapat dielak dari menjadi mangsa perbandingan dengan perhimpunan Bersih, malah ada sesetengah berpendapat Himpun adalah untuk mengatasi Bersih yang bilangan kehadirannya jauh lebih besar walaupun tidak pernah mensasarkan sejuta peserta. Himpun juga dikatakan untuk mengalih isu daripada persoalan demokrasi tempang dan penipuan pilihanraya kepada persoalan aqidah yang perlu diselamatkan. Isu agama memang menarik kerana ia merentasi kepentingan politik namun perhimpunan sejuta umat itu telah membuktikan bahawa tema itu tidak mendapat perhatian umat Islam. Apakah yang telah berlaku? Betulkah gagal mencapai sasaran kehadiran Himpun diandaikan umat Islam tidak berminat kepada isu Aqidah dan secara perbandingan dengan Bersih lebih minat isu demokrasi berpilihanraya?

Saya tidak melihat andaian itu tepat, ini adalah kerana persepsi terhadap perhimpunan Himpun mempengaruhi kehadiran. Bagi umat Islam, mereka menanggap bahawa Himpun ditaja oleh mereka yang mesra Umno dan kerana itu berasa berat hati untuk hadir. Walaupun isu Aqidah sesuatu yang menarik minat tetapi umat Islam sudah menghidu bahawa Himpun adalah agenda pihak tertentu yang lebih minat untuk menonjolkan dirinya dan kumpulannya daripada memperjuangkan persoalan aqidah yang sebenarnya. Selain dari tokoh seperti Cikgu Azmi dari Teras, siapakah yang boleh diyakini daripada tokoh yang hadir akan mempertahankan aqidah umat Islam? NGO seperti Perkasa, GPMS dan pertubuhan belia tajaan Umno tidak pernah dilihat mempertahankan aqidah apabila dikaitkan dengan Umno. Saya tidak melihat NGO Islam yang lain mampu mobilisasi pengikutnya dalam jumlah bilangan yang ramai, kehadiran mereka hampir tenggelam dengan penonjolan pihak lain atau kehadiran mereka sengaja tidak ditonjolkan. Pada 19 Oktober saya menulis satu artikel tentang himpunan sejuta umat yang bakal diadakan. Saya mengandaikan ia sebagai satu agenda yang akan diambil kesempatan oleh pihak lain yang terdesak walaupun niat penganjur itu suci dan murni. Dalam FB saya, saya menerima komen bertalu-talu yang menganggap saya keterlaluan menuduh niat murni sekretariat, tetapi pada 22hb oktober andaian saya seakan-akan betul apabila kehadiran yang mengecewakan itu seolah-olah menjelaskan persoalan persepsi umat Islam terhadap perhimpunan tersebut.

Himpun di sebalik niat murni penganjurnya telah memberikan isyarat yang tidak baik. Pertama, kehadiran melambangkan lemahnya umat Islam dalam isu mempertahankan aqidah. Secara perspektifnya 'musuh Islam' akan ketawa apabila melihat keberangan umat Islam sebenarnya hanyalah ribut dalam cawan sahaja. Kedua, sikap double standard pihak polis yang memberikan kebenaran kepada Himpun dan tidak memberikannya kepada Bersih. Ini sudah cukup memberikan persepsi yang buruk kepada Himpun, walhal isu Himpun lebih mendatangkan sensitiviti kepada perpaduan nasional berbanding dengan Bersih yang secara spesifik menyinggung persoalan demokrasi berpilihanraya yang merentasi semua kaum dan agama. Ketiga, isu yang diketengahkan di negara ini ditentukan oleh Umno dan bukan oleh tuntutan massa. Selagi ia menguntungkan Umno maka Polis dll terpaksa tunduk, selagi ia memudaratkan Umno maka isu itu akan diangap berbahaya kepada keselamatan awam. Negara kita sudah dijajah oleh Umno, hanya penjilat sahaja yang akan diberi layanan baik manakala penentang walaupun merupakan aspirasi ramai akan dituduh sebagai pengkhianat negara yang akan mencetuskan huru-hara.

Ada seorang sahabat bertanya kepada saya mengapa Pas tidak menyertainya? Saya menjawab ringkas, soal pembelaan aqidah sememangnya sinonim dengan Pas. Pas sudahpun mengatakan kebimbangannya sejak 20 tahun yang lampau malah Presiden Pas telahpun membawa usul adanya rang undang undang murtad bagi memelihara aqidah umat Islam. Sahabat ini terus bertanya kalau begitu mengapa tidak bersama? Saya menyatakan, perjuangan kami sampai ke tahap yang lebih matang, kami telahpun mengadakan dialog dengan pihak gereja dll agama sebagai hasrat membentuk hubungan agama yang lebih damai, ini bukan bermakna Pas cair dalam sikapnya tetapi kami lebih suka melakukannya dengan cara bersemuka dan dialog. Kepimpinan Pas lebih bijak membaca suasana politik daripada mereka yang berjangka pendek dan tidak arif selok belok politik. Saya bertanya balik kepada sahabat saya, bolehkah dibayangkan kalau Mursyidul Am Pas mengarahkan semua ahli Pas turun dalam program Himpun? Mungkin stadium Shah Alam tidak akan dapat menampung kehadiran ahli Pas yang ramai, bolehkah anda bayangkan besarnya peranan Pas dalam menyelamatkan Aqidah umat Islam?

Dr. Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas

Monday, October 24, 2011

Kebebasan Intelektual Tergugat

Malapetaka Bagi Negara Ini

Semasa berita penggantungan Prof Aziz Bari tersebar, wartawan menghubungi saya dan meminta komen. Saya mengatakan dalam bahasa yang mudah "ia adalah malapetaka bagi negara ini" dalam sesebuah negara perkembangan intelektual menjadi antara tunggak utama dalam membentuk negara yang bermaruah dan bertamadun. Apabila golongan intelektual dinafikan hak mereka untuk memberi pandangan dalam bidang kepakaran mereka, kepada siapakah lagi yang kita harapkan untuk dirujuk? Pepatah Arab ada mengatakan: "Orang yang tiada tak akan dapat memberikan apa-apa" Walaupun bukanlah Prof Azizi Barri satu-satunya pakar di negara ini tetapi dengan mengenakan tindakan penggantungan, pihak Universiti tidak mengirimkan isyarat yang betul kepada perkembangan intelektual di negara kita.

Usaha-usaha kerajaan BN hari ini tidak konsisten dalam membuat transformasi dan kebebasan bersuara, walaupun digembar-gemburkan bahawa negara kita akan menuju kepada era Transformasi tetapi kes Prof Aziz Barri telah menggagalkan usaha-usaha ini khususnya dalam membentuk budaya kebebasan intelektual yang menjadi pra-syarat kepada kemajuan sesebuah negara. Setiap kita berhak untuk mempersoalkan tindakan yang dikenakan ke atas Profesor yang pakar dalam bidang perlembagaan itu. Selagi seseorang itu bergelar ilmuan dan pakar ia bukan lagi masalah universiti, ia adalah juga masalah masyarakat yang menumpang keupayaan intelek mereka dan keilmuan mereka. Apatah lagi Prof. Aziz Barri adalah tokoh yang banyak mempunyai pengaruh dalam menyedarkan masyarakat isu-isu keperlembagaan yang menjadi dokumen resmi seluruh rakyat Malaysia. Apakah tanggapan orang ramai, jikalau seorang pakar diambil tindakan hanya kerana pandangan kepakarannya?

Kejayaan mana-mana universiti bukan sahaja terletak kepada kejayaan penyelidikan tetapi kebebasan intelektual adalah asas yang menjamin usaha-usaha penyelidikan dan inovasi berterusan. Dengan penggangtungan Prof Aziz Barri oleh pentadbiran UIA satu isyarat telah terbentuk dalam benak orang ramai bahawa kebebasan intelektual tidaklah sebenarnya bebas. Ia juga seolah-olah satu ancaman kepada masyarakat intelektual di menara gading bahawa mereka harus berhati-hati dalam menyuarakan pandangan mereka jikalau tidak mereka akan dikenakan hukuman. Keadaan ini tidak membantu perkembangan intelek yang sifatnya adalah bebas kongkongan dan berlegar di sekitar kepakaran masing-masing. Dengan kes awalan di UIA tentang kebebasan intelek, masyarakat intelek kini hidup dalam keadaan ketakutan untuk memberi pandangan seolah-olah mereka diperhatikan untuk berfikir!

Universiti seharusnya bebas dari kongkongan politik dan isu politik, walaupun isu penggantungan Prof Aziz Barri adalah di bawah kuasa pihak Universiti Islam namun isu dan pandangan yang diberikan oleh Prof Aziz Barri kemungkinan ditafsirkan sebagai menyinggung pihak tertentu. Saya tidak menuduh, tetapi jikalau UIA membuat keputusan kerana tunduk kepada tekanan pihak tertentu, ini adalah sesuatu yang amat malang kepada kepada pentadbiran universiti dalam membuat keputusan.

Saya menrima banyak aduan dalam Facebook yang diposkan kepada saya tentang nasib mereka yang di bawah seliaan Prof Aziz Barri di tahap post graduate. Mereka tidak tahu apa nasib mereka debgan penggantungan ini kerana ramai yang akan tergantung dengan penggantungan Prof ini. Keputusan UIA nampaknya tidak konsisten, setelah tekanan dibuat oleh pelajar pada hari Jumaat lalu dan setelah menerima feedback masyarakat di luar universiti, pihak pentadbiran seolah-olah cuba melembutkan keadaan bahawa ia bukan penggantungan, ia hanya surat tunjuk sebab. Walhal surat yang diterima menurut Prof Aziz Barri ialah menghalang Prof ini dari masuk ke kawasan Universiti melainkan denan izin universiti! Malangnya Prof kini menjadi orang buangan di tempat yang dia sendiri menjadi pendidik di dalamnya.

Ali Parlimen Kubang Kerian telah membawa usul tergempar untuk dibahaskan dalam Parlimen isu penggantungan Dr Azizi Barri, malangnya usul ini ditolak dalam kamar Speaker lagi. Saya, Yb Kuala Selangor dan Kubang Kerian mengadakan sidang akhbar pagi ini menyatakan kekesalan kami kepada apa yang berlaku ke atas Prof Aziz Barri, kami bersetuju bahawa kes Dr Aziz Barri adalah sejarah hitam kepada perkembangan intelektual di negara kita. Apabila golongan ilmuan dikenakan sekatan untuk memberikan pandangan mereka pastinya kebangkitan untuk perubahan regim semakin mendapat momentum. Ada hadis menyatakan : "Allah tidak akan menghancurkan sesuatu bangsa itu sehinggalah hilang orang yang ilmuan di kalangan mereka" Menyekat kebebasan intelektual adalah prose penghakisan golongan ilmuan.