Sunday, July 22, 2012
RAMADHAN ADALAH PERJUANGAN
Antara Perjuangan dan Ramadhan
Tiada terpisah antara perjuangan dan Ramadhan, perjalanannya seiring dan sejalan dan sinerginya adalah antara alat dan matlamat. Siapa yang memisahkan Ramadhan dan Perjuangan adalah umpama orang yang mahu membersihkan rumahnya yang berhabuk tetapi menolak untuk gunakan alat pembersih seperti penyapu atau vacum cleaner. Allah berfirman dalam surah Al Haj 77-78: "Wahai orang yang beriman, RUKU'LAH dan SUJUDLAH serta SEMBAHLAH Tuhan kamu dan berbuat baiklah moga-moga kamu beroleh Kejayaan
"Dan Berjihadlah di jalan Allah dengan sebenar-benar Jihad..."
Apakah Puasa?
Bukankah puasa kemuncaknya beroleh kejayaan dan bukankah puasa adalah manifestasi ruku' dan sujud serta penyembahan pada Allah. Bukankah perjuangan itu satu Jihad dan kemuncaknya ialah keikhlasan pada Allah? Nabi bersabda: "Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan (keikhlasan)dan hanya mengharapkan Allah diampunkan dosanya yang terdahulu" Bukankah perjuangan memerlukan jiwa yang ikhlas dan senantiasa mengharapkan keampunan dengan berjuang di jalan Allah? Itulah falsafah puasa yang menghendaki pelakunya mencapai tahap ketaqwaan, ia adalah dinamika antara ruang yang Allah sediakan di bulan Ramadhan untuk mencapai matlamat kejayaan dalam perjuangan dengan segala maknanya. barangsiapa yang bertaqwa tergolonglah dia dikalangan orang yang berjaya.
Sucikan Jiwa!
Syarat beroleh kejayaan dari kacamata Allah ialah mereka yangmemelihara jiwanya supaya berada pada tahap kesucian manakala yang gagal memeliharanya akan menempah kegagalan. Kebangkitan sesebuah perjuangan bermula dengan kebangkitan jiwa kerana jiwa apabila bangkit dunia mampu digegarkan. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w bangkit dengan jiwanya dahulu sebelum menggegarkan dunia dengan kebangkitan Rahmatan Lil Alaminya? Apakah kita lupa bahawa khulwah Nabi di Gua Hira' adalah menjana kebangkitan jiwa yang kemudian berterusan selama 23 tahun sedangkan tapak itu diasaskan dengan kukoh. Bagaimana ayat yang memerintahkan Nabinya bangkit dari tidurnya dan berikan amaran kepada manusia dalam seruanNya dalam awal Al Mudathhir "Wahai orang yang berselimut, Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada manusia.." Nabi menyatakan kepada Khadijah Ummul Mukminin Al Kubra setelah menerima watikah perlantikan Kenabian dengan menyatakan: "Wahai Khadijah berlalu sudah waktu berehatan dan tidur, kini waktu perjuangan!" Ia kebangkitan yang didahului dengan kebangkitan jiwa yang sudah tidak dapat dikawal lagi kemaraannya. Inilah masanya di bulan Ramadhan jiwa itu dijana dan dihidupkan tenaganya yang selama ini lemah-longlai tidak bermaya.
Al Quran dan Perjuangan
Ramadhan adalah bulan Al Quran yang dijunjung dan diamalkan jadi petunjuk, keterangan dan pembeda antara Haq dan Batil. Perjuangan bersumberkan Al Quran dan itu yang membezakan perjuangan Islam dengan yang lain. Al Quran pula bukan hanya simbol tetapi juga penghayatan dan penyerapan segala roh yang ada menjadi sebati dalam diri para Mujahid di jalan Allah. Bukankah selama ini perjuangan kita mengambil semangat dan rohnya dari apa yang diperkatakan oleh Al Quran, bukankah ia didahulukan dari segala-galanya? Inilah bulannya di mana hati para pejuang disatukan dalam roh kebenaran dari KitabNya untuk menjadi pemicu pada perjuangan ini. al Isra' 9: " Sesungguhnya Al Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul dan memberikan berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa mereka beroleh pahala yang besar"
Menjadi Wali Allah
Wali Allah ialah mereka yang mendapat pembelaan Allah dalam menjalankan tugasnya mengeakkan kebenaran. Mereka bukan golongan eksklusif dan elit tetapi semua hamba-hambaNya layak mendapat pencalonan Wali. Hadith Nabi menyebut yang diriwayatkan oleh Saidina Ali ra: "Bahawa Wali Allah tidak mendapat Rahmat Tuhan mereka kerana banyaknya ibadat tetapi mereka mendapat Rahmat kerana jiwa mereka yang melimpah ruah dan memandang keji dunia" Ibadat bukanlah matlamatnya tetapi kesan ibadat adalah lebih utama bagi melahirkan sifat yangmulia iaitu berkorban atas kepentingan sesuatu yang lebih besar dan tidak terikat dengan kemilau dunia yang menipu. jadilah calon Wali Allah sepanjang Ramadhan kerana perjuangan amat memerlukan golongan ini lebih ramai dari mereka yang berjuang atas kepentingan diri sendiri dan mengejar dunia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment