Sila ke BLOG Rasmi Dr. Mujahid Yusuf Rawa
http://drmujahid.com

Tuesday, July 24, 2012

OH SYABAS, OH SYABAS

oh hujan,oh hujan mengapa engkau tak turun! Lagu Rakyat ini membawa dua makna, samada ia mesej budaya suka salah menyalahi antara satu sama lain ataupun jika dilihat secara literal boleh dikatakan rangkap pertamanya ialah aduan mengapa hujan tak turun, sesuai untuk menggambarkan musim kering kontang. Apa pun di Selangor BN selaku kerajaan Pusat menyanyi lagu ini pada masa yang silap. Ketika musim hujan, BN kata ada krisis air di Selangor. Ia nyanyian silap, sepatutnya BN nyanyi macam ini : "oh Syabas, oh Syabas mengapa kau gagal rawat air di Selangor" Krisis atau Dikrisiskan? Pada masa takungan air di Selangor penuh, Kerajaan Pusat kata "krisis" perlu ditangani dengan membina Plant Air Langat menelan kos 8.65 bilion. Walaupun penyakitnya adalah kerana SYABAS gagal merawat NRW(Non Revenue Water) pada kadar 32% menyebabkan air di paip rumah-rumah di Selangor,Wilayah terganggu. Masalahnya bukan alam tetapi manusia yang ditugaskan melalui SYABAS gagal merawat NRW yg kadarnya agak tinggi berbanding dengan kota dunia yang lain seperti Dhaka 29%, Manila 11%. Itu negara yang selalu kita pandang kita lebih baik dari mereka. Perbandingan negara membangun jauh sekali seperti Germany 7%, malah Singapura hanya 5%. Kegagalan pengurusan air Selangor dalam konteks rawatan perlu dilihat sebagai puncanya dan MB Selangor telah bertindak tepat dengan kuasanya untuk ambil alih SYABAS untuk diserahkan kepada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kegagalan penswastaan air selama ini. Tapi malangnya Tan Sri Mahyudin Yassin melihat masalah ini dengan mencadangkan pembinaan Loji Air Langat yang kosnya RM8.65 bil. Masalahnya ialah kegagalan SYABAS bukan keperluan loji baru! APA ISUNYA? Kecelaruan isu Air di Selangor ini mengikut model Mahyudin hanya mengundang berbagai persoalan. Pertama bukankah rakyat Selangor berhak menuntut hak air supaya dikendalikan oleh syarikat yang lebih layak dan itulah yang dituntut oleh MB Selangor. Kedua mengapa Kerajaan Pusat membela SYABAS yang mengendalikan kepentingan dan hak orang Selangor sedangkan biarlah rakyat Selangor menentukannya? Ketiga, apa kena mengena krisis air kerana kegagalan manusia dengan membina loji baru? ada jaminan kah dengan loji ini isu NRW dapat dikurangkan? Rakyat tidak boleh disalahkan jika persepsi pembelaan Pusat kepada SYABAS adalah kerana kepentingan kroni, apatah lagi bos SYABAS adalah orang kuat UMNO. Apakah projek Loji Air Langat ada rundingan komisyen dll untuk mengkayakan kroni UMNO? Apakah ini salah satu projek tawan Selangor oleh UMNO serampang dua mata, dapat duit untuk tawan dan timbul kegelisahan sehingga rakyat menyalahkan kerajaan negeri? jikalau betul andaian saya ini, amatlah malang kerana rakyat dipertaruhkan untuk kepentingan sempit dan gelojohnya UMNO hendak menawan Selangor. Air bukan isu politik, dalam hal ini MB Selangor menjalankan tugasnya untuk mengambil-alih air dari SYABAS supaya keberkesanan rawatan air dipertingkatkan untuk kegunaan rakyat di Selangor dan Wilayah. Tindakan MB adalah pentadbiran sesuai dengan kedudukannya, manakala Mahyudin Yassin yang mewakili Pusat tindakannya adalah tidak menghormati kehendak rakyat Selangor dan dia mempunyai motif politik dan kroni yang jelas. Lagu UMNO tentang krisis air memang sumbang, masalahnya dia terus menyanyi tanpa rasa malu bahawa rakyat dah meluat, mungkin juga UmNO adalah katak yang takut dia dimakan ular, bezanya 'katak' ini berani, malangnya berani kerana kroni!

Sunday, July 22, 2012

RAMADHAN ADALAH PERJUANGAN

Antara Perjuangan dan Ramadhan Tiada terpisah antara perjuangan dan Ramadhan, perjalanannya seiring dan sejalan dan sinerginya adalah antara alat dan matlamat. Siapa yang memisahkan Ramadhan dan Perjuangan adalah umpama orang yang mahu membersihkan rumahnya yang berhabuk tetapi menolak untuk gunakan alat pembersih seperti penyapu atau vacum cleaner. Allah berfirman dalam surah Al Haj 77-78: "Wahai orang yang beriman, RUKU'LAH dan SUJUDLAH serta SEMBAHLAH Tuhan kamu dan berbuat baiklah moga-moga kamu beroleh Kejayaan "Dan Berjihadlah di jalan Allah dengan sebenar-benar Jihad..." Apakah Puasa? Bukankah puasa kemuncaknya beroleh kejayaan dan bukankah puasa adalah manifestasi ruku' dan sujud serta penyembahan pada Allah. Bukankah perjuangan itu satu Jihad dan kemuncaknya ialah keikhlasan pada Allah? Nabi bersabda: "Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan (keikhlasan)dan hanya mengharapkan Allah diampunkan dosanya yang terdahulu" Bukankah perjuangan memerlukan jiwa yang ikhlas dan senantiasa mengharapkan keampunan dengan berjuang di jalan Allah? Itulah falsafah puasa yang menghendaki pelakunya mencapai tahap ketaqwaan, ia adalah dinamika antara ruang yang Allah sediakan di bulan Ramadhan untuk mencapai matlamat kejayaan dalam perjuangan dengan segala maknanya. barangsiapa yang bertaqwa tergolonglah dia dikalangan orang yang berjaya. Sucikan Jiwa! Syarat beroleh kejayaan dari kacamata Allah ialah mereka yangmemelihara jiwanya supaya berada pada tahap kesucian manakala yang gagal memeliharanya akan menempah kegagalan. Kebangkitan sesebuah perjuangan bermula dengan kebangkitan jiwa kerana jiwa apabila bangkit dunia mampu digegarkan. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w bangkit dengan jiwanya dahulu sebelum menggegarkan dunia dengan kebangkitan Rahmatan Lil Alaminya? Apakah kita lupa bahawa khulwah Nabi di Gua Hira' adalah menjana kebangkitan jiwa yang kemudian berterusan selama 23 tahun sedangkan tapak itu diasaskan dengan kukoh. Bagaimana ayat yang memerintahkan Nabinya bangkit dari tidurnya dan berikan amaran kepada manusia dalam seruanNya dalam  awal Al Mudathhir "Wahai orang yang berselimut, Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada manusia.." Nabi menyatakan kepada Khadijah Ummul Mukminin Al Kubra setelah menerima watikah perlantikan Kenabian dengan menyatakan: "Wahai Khadijah berlalu sudah waktu berehatan dan tidur, kini waktu perjuangan!" Ia kebangkitan yang didahului dengan kebangkitan jiwa yang sudah tidak dapat dikawal lagi kemaraannya. Inilah masanya di bulan Ramadhan jiwa itu dijana dan dihidupkan tenaganya yang selama ini lemah-longlai tidak bermaya. Al Quran dan Perjuangan Ramadhan adalah bulan Al Quran yang dijunjung dan diamalkan jadi petunjuk, keterangan dan pembeda antara Haq dan Batil. Perjuangan bersumberkan Al Quran dan itu yang membezakan perjuangan Islam dengan yang lain. Al Quran pula bukan hanya simbol tetapi juga penghayatan dan penyerapan segala roh yang ada menjadi sebati dalam diri para Mujahid di jalan Allah. Bukankah selama ini perjuangan kita mengambil semangat dan rohnya dari apa yang diperkatakan oleh Al Quran, bukankah ia didahulukan dari segala-galanya? Inilah bulannya di mana hati para pejuang disatukan dalam roh kebenaran dari KitabNya untuk menjadi pemicu pada perjuangan ini. al Isra' 9: " Sesungguhnya Al Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul dan memberikan berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa mereka beroleh pahala yang besar" Menjadi Wali Allah Wali Allah ialah mereka yang mendapat pembelaan Allah dalam menjalankan tugasnya mengeakkan kebenaran. Mereka bukan golongan eksklusif dan elit tetapi semua hamba-hambaNya layak mendapat pencalonan Wali. Hadith Nabi menyebut yang diriwayatkan oleh Saidina Ali ra: "Bahawa Wali Allah tidak mendapat Rahmat Tuhan mereka kerana banyaknya ibadat tetapi mereka mendapat Rahmat kerana jiwa mereka yang melimpah ruah dan memandang keji dunia" Ibadat bukanlah matlamatnya tetapi kesan ibadat adalah lebih utama bagi melahirkan sifat yangmulia iaitu berkorban atas kepentingan sesuatu yang lebih besar dan tidak terikat dengan kemilau dunia yang menipu. jadilah calon Wali Allah sepanjang Ramadhan kerana perjuangan amat memerlukan golongan ini lebih ramai dari mereka yang berjuang atas kepentingan diri sendiri dan mengejar dunia.