Gegaran Tidak di Duga
Bagi sesetengah kita, anak-anak muda hanyalah budak hingusan yang semangat seketika dan apabila mereka meninggalkan alam pelajar semua semangatnya dan idealismanya akan ditinggalkan dibelakang. Namun bagi saya yang pernah melalui zaman 'kuasa pelajar' saya melihat ianya adalah pembentukan identiti perjuangan bagi pelajar yang jika dipupuk dengan baik akan menjadi gegaran kepada pemerintah yang boleh tumbang dengan skala gegarannya.
Kerajaan komunis terbesar seperti China turut merasai gegarannya di Tianemen Square hasil kebangkitan mahasiswa yang berani mencabar pemerintahan kuasa besar itu. Di Mesir, kebangkitan yang dikenali sebagai pemberontakan tanpa ketua digegarkan oleh anak-anak muda. Di Indonesia sebelum ini anak muda mahasiswa yang jadi korban untuk bangkitnya reformasi di Indonesia.
Anak-anak muda ini tidak boleh dipandang remeh, jikalau tidak masakan mereka mampu mencabar pemerintah yang dengan segala aparatusnya cuba menginjak kebangkitan mahasiswa.
Malaysia pada tahun 70an menyaksikan kebangkitan anak muda dari kalangan mahasiswa dan pelajar mencabar kegagalan pemerintah menyelesaikan soal kemiskinan dan peminggiran masyarakat petani di Baling, Kedah. Buat pertama kali, Mahasiswa di bawah pimpinan Anwar Ibrahim ketika itu mengirim isyarat yang jelas bahawa kami mahasiswa memerhatikan anda.
Episod perjuangan Mahasiswa selanjutnya dikengkang dengan dengan adanya AUKU kerana pemerintah tahu bahawa jika dibiarkan suara mahasiswa terus bersuara peristiwa Baling dan seumpanya akan mengancam pemerintah sekali lagi. Sejak itu diperkenalkan AUKU dan kerananya pelajar diperkasamkan dan ditempoyakkan sehingga aktivism kampus menjadi mondom.
Penglibatan pelajar dengan politik dianggap taboo dan mesti dibersihkan. HEP menjadi mata dan telinga pemerintah untuk memastikan pantang larang politik dikawal sehingga HEP yang sepatunya menggalakkan perkembangan menyeluroh pelajar menjadi pusat SB dan kepentingan politik pemerintah untuk memastikan tidak berlaku gegaran yang membahayakan.
Sewaktu zaman malap menguasai kampus, hanya Pas dilihat senantiasa memastikan aktivism pelajar diberi suntikan melalui interaksi kader-kader Pas di kampus dengan kepimpinan parti. Tidak kurang juga kader-kader Pas yang dibuang kampus dan diambil tindakan disiplin kerana penglibatan mereka dalam mencipta gegaran-gegaran berskala kecil untuk menyatakan kepada dunia, bahawa kami Mahasiswa masih bernyawa dan mengumpul potensi.
Zaman reformasi di penghujung 90an telah menyuntik semangat baru kepada gerakan pelajar di mana secara tidak langsung reformis menyebut tentang perlunya AUKU ditarik balik. Isunya hari ini ialah kebebasan intelektual dan penglibatan pelajar dalam membentuk wacana kebebasan yang menjadi tonggak perjuangan era reformasi.
Pada saat ahli-ahli politik PR menerjah tembok kuasa yang memenjarakan jiwa merdeka rakyat, tiba-tiba kita digegarkan dengan tindakan pelajar yang bernama Adam Adli menurunkan bendera berwajahkan Najib Tun Razak di Pejabat Agung UMNO. Perbuatan itu berlaku dalam perarakan pelajar untuk menyerahkan memorendum mendesak kerajaan menghapuskan AUKU.
Adam tiba-tiba menjadi perhatian oleh sipemuji dan sipengkeji, kata kesat dan mulia bercampur baur dalam suasana Gerakan Mahasiswa mahukan perhatian dan cetusan kebangkitan. UPSI yang kurang menyerlah aktivism pelajarnya sebelum ini tiba-tiba diperkenalkan oleh Adam. Rakan-rakan Adam yang lain seperti Safwan dan lain-lain memilih untuk jalan berisiko demi membebaskan Mahasiswa dari cengkaman AUKU. Mereka bukan berani sebenarnya, mereka mempunyai nilai pengorbanan yang tinggi sehingga mendorong mereka melakukan apa yang mereka lakukan.
Semalam saya berkesempatam bertemu dengan ibu bapa Adam yang kebetulan saya kenali sebelum ini dalam pertemuan secara tidak terancang di Kawasan Rehat Tapah. Adam yang ada sama dalam pertemuan tempoh hari bersembang-sembang dengan saya dengan penuh minat tentang gerakan mahasiswa. Saya sempat memberi kata rangsangan kepadanya untuk cekal dan teruskan perjuangan, saya tidak sangka budak Adam yang saya jumpa tempoh hari telah menggegarkan Malaysia dengan keberaniannya.
Adam nama yang ada makna berbagai, ia satu permulaan, ia satu harapan, ia satu pengorbanan dan ia satu cabaran, malah tanpa nama Adam tidak adalah kebangkitan. Mungkin juga itulah doa bapa dan ibunya supaya Adam hidup dengan namanya untuk berbakti kepada gerakan Mahasiswa. Bung Karno pernah berkata: 'berikan aku 1000 orang tua akan ku cabut semeru dari akarnya , berikan aku 1 anak muda nescaya akan ku guncangkan dunia!'