APA SELEPAS ISA?
Saya bersetuju dengan pandangan bahawa ketika ini adalah masa yang terbaik untuk semua pihak melihat penghapusan ISA sebagai satu dimensi baru hasil perjuangan yang selama ini diperjuangkan oleh semua pihak yang prihatin tentang prinsip-prinsip keadilan. Walaupun perdebatan tentang siapa yang perlu mendapat kredit kerana penghapusan ini sedap untuk diceramahkan dalam pentas-pentas politik namun kita tidak perlu terheret jauh dengan perdebatan ini, apa yang harus kita lakukan ialah, perluaskan perbincangan tentang prospek ‘apa selepas ISA?’, meneruskan usaha reformasi politik dan lebih penting ialah mendidik masyarakat kita memahami dan menghayati tanggungjawab kewarganegaraan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang ada.
Saya masih belum sepenuhnya boleh meyakini bahawa Najib akan menamatkan ketempangan yang kita alami selama ini bukan kerana pesimis tetapi pengalaman gelombang reformasi di merata ceruk dunia tidak mungkin dibuat dari regim yang sudah sekian lama berkuasa, ia memerlukan identiti politik yang baru dan dinamika gerakan yang baru. Alasan kepada pemikiran ini bukanlah sukar untuk difahami, ini adalah kerana regim yang sudah lama berkuasa seperti BN (dulunya Perikatan) tidak mempunyai intipati yang diperlukan untuk melakukan perubahan dan dikukuhkan lagi oleh persepsi bahawa bebanan ketempangan ini dipikul dan dipertahankan oleh mereka sendiri selama ini. Isu kejujuran walaupun bukan alasan untuk diperdebatkan tetapi konteks sejarah lampau tetap menjadi beban kepada regim lama untuk melakukan reformasi.
Intipati perubahan yang diusahakan pula mestilah bercirikan kepada pandangan dan fahaman secara menyeluruh kepada prinsip-prinsip yang memudaratkan atau menghalang tertegaknya Keadilan, Kebebasan dan Pertanggungjawaban. Mana-mana elemen dalam dasar dan undang-undang negara serta amalannya yang mencemarkan tiga nilai ini tetap dianggap masih tempang. Sebab itu ketika Najib mengistyharkan penghapusan ISA, saya tertanya-tanya adakah ISA masalah kita ataukah prinsip-prinsip utama yang terjejas teruk kerana tidak dibela oleh pemimpin-pemimpin yang berkuasa selama ini? Kita menentang ISA kerana berlaku pencerobohan jelas terhadap hak untuk dibicarakan dan kuasa menghukum yang dirampas oleh Menteri (eksekutif) yang mana sepatutnya ia dipertanggungjawabkan kepada pihak kehakiman. Begitu juga tempoh tahanan polis yang lama (60 hari) boleh membawa kepada penyiksaan mental dan fizikal untuk mendapat pengakuan. Demikianlah seharusnya kejelasan kita terhadap sesuatu isu, walaupun ISA dihapuskan tetapi apa yang diganti tidak sepatutnya mencerobohi prinsip-prinsip keadilan, bukan namanya yang dibenci tetapi amalannya yang dipertikaikan.
Kebebasan Media turut disinggung oleh Najib dengan memberikan pendekatan baru kaedah pemberian izin operasi sekaligus. Walaupun pengumuman itu menampakkan perbezaan dari sudut tidak perlu diperbaharui secara berkala namun asas persoalan kebebasan media tetap dipersoalkan iaitu apakah “definisi bebas bahan yang dipaparkan?” Adakah jikalau pemerintah melihat bahan yang dipaparkan mengancam kepentingan mereka, izin akan dibatalkan? Jikalau begitu memberi izin sekaligus tidak akan menyelesaikan kebebasan media. Kebebasan Media mestilah dengan kepercayaan dan pertanggungjawaban yang terkawal dengan nilai-nilai budaya setempat dan undang-undang yang menjamin kebebasan tersebut. Bagaimana dengan media elektronik yang kelihatan rigid dan tidak menjadi forum mendidik maklumat dari sumber yang berbagai? Selagi dasar media menjurus kepada kongkongan dan kawalan ketat bahan dan isi kandongan selagi itulah isu pemberian izin tidak mampu menggarap persoalan sebenarnya tentang kebebasan media.
Jikalau Najib mempunyai gambaran menyeluruh tentang apa yang perlu dibuat untuk reformasi negara ini, perkara utama yang sepatutnya disentuh ialah tentang SPR. Walaupun pendedahan demi pendedahan dibuat tentang manipulasi senarai daftar pemilih, pemerintah masih bisu dan berdolak dalik. SPR seperti biasa menyalahkan pemerintah kerana katanya mereka terikat dengan undang-undang yang ada, tetapi manipulasi bukan soal peruntukan undang-undang, ia satu tanggungjawab SPR membersihkannya secara jujur dan telus. Jikalau Najib memerlukan rujukan untuk membuat reformasi SPR ia hanya perlu bertanya kepada Bersih 2.0 dan tak perlu merujuk kepada konsultan-konsultan luar negara. Apa yang berlaku dalam ketempengan SPR ialah menafikan hak ‘satu orang satu undi’. SPR juga menceroboh kuasa memilih melalui pilihanraya yang adil apabila undi pos disalahgunakan. Inilah prinsip yang perlu dibela melalui langkah-langkah reform jika Najib benar-benar mempunyai intipati jiwa seorang reformis.
Kelemahan regim lama yang berkuasa untuk membuat perubahan juga dinilai dari sudut motif pengistyharaan dibuat, apakah kerana ia satu pertanggungjawaban ataukah kosmetif efek untuk sokongan politik? Jikalau kosmetik efek ia akan dilihat tidak tulen dan akan terserlah kepincangan yang lebih buruk. Jikalau ia satu pertanggungjawaban maka ia sesuatu yang berisiko tinggi terhadap kepentingan politik regim lama kerana dengan berbuat demikian regim lama membuka jalan mudah kepada kemunculan identiti politik baru yang akan mendapat menfaat dari semua ruang-ruang yang yang ada. Ini yang berlaku kepada BJ Habibi di Indonesia dalam waktu peralihan kepada era reformasi. Saya pernah menulis semasa Pak Lah mengambil alih dari Tun Mahathir, bahawa Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) akan menjadi Perdana Menteri Transisi jikalau apa yang disebut tentang reform yang cuba hendak dibawa berlaku. Pak Lah menamatkan kepimpinannya dalam suasana tertekan dari dalam Umno sendiri dan legasi beliau kearah reform dilihat dalam akta SPRM, Suruhanjaya Kehakiman dll. Kini Najib mengorak langkah dengan nada yang sama tentang melakukan reformasi, apakah Najib akan jadi Perdana Menteri Transisi untuk kemunculan identiti politik baru menguasai pemerintah kelak selepas PRU 13? Apa selepas ini?
Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia